Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #963: HUKUM MEMAKAN BELALANG

BELALANG.PNG

Soalan:

Apakah hukum makan belalang?

Jawapan:

Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Hukum makan belalang secara umumnya adalah harus, dan ia disebut dalam banyak hadith, antaranya riwayat daripada Abu Ya’fur R.A, beliau berkata:

سَأَلْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى عَنْ قَتْلِ الْجَرَادِ، فَقَالَ غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم سِتَّ غَزَوَاتٍ نَأْكُلُ الْجَرَادَ

Maksudnya: Aku bertanya ‘Abdullah bin Abi Aufa tentang membunuh belalang, dia menjawab “Aku pernah pergi berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak enam kali, dan kami memakan belalang”. (Dalam riwayat Muslim, disebut sebanyak tujuh peperangan)

                                                                                  Sahih Muslim (1952), Sunan Abi Dawud (4357), Sunan al-Nasa’ie (4357)

Manakala daripada Ibn ‘Umar R.’Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ الْحُوتُ وَالْجَرَادُ

Maksudnya: Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai: ikan dan belalang.

Sunan Ibn Majah (3218)

Berdasarkan hadith ini Imam al-Nawawi memfatwakan keharusan memakan ikan dan belalang meskipun tidak melalui proses penyembelihan. Hal ini kerana kedua-dua jenis binatang tersebut adalah mustahil untuk disembelih, maka syarat sembelihan itu gugur. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 9/72)

Terdapat juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, yang menceritakan satu perjalanan Rasulullah SAW bersama para sahabat untuk mengerjakan haji dan umrah, dan mereka terserampak dengan sekelompok belalang, lalu mereka membunuhnya. Baginda SAW pun bersabda:

كُلُوهُ فَإِنَّهُ مِنْ صَيْدِ الْبَحْرِ

Maksudnya: Makanlah ia, kerana ia sama jenisnya dengan binatang buruan di laut (yang halal dimakan).

Sunan Ibn Majah (3222)

Ibnu Qudamah pula menyebutkan riwayat dari Ibnu Umar, bahawa suatu hari ada belalang goreng dihidangkan kepada beliau. Ibn Umar mengatakan, cara memasak belalang ialah dengan dipatahkan sayapnya, kemudian dimasukkan ke dalam minyak dan digoreng dalam keadaan ia masih hidup. (Rujuk Al-Mughni, 11/43).

Kesimpulannya, hukum makan belalang adalah harus berdasarkan riwayat-riwayat yang disebutkan di atas.

Wallahu a’lam.