اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BENGKEL GUBALAN SOALAN PENILAIAN SISTEM E-TAULIAH & BENGKEL SEMAKAN INFOGRAFIK DAN TERJEMAHAN ARTIKEL

SHAH ALAM, 13 NOVEMBER 2024 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP), melalui Unit Istinbat dan Unit Komunikasi Korporat (UKK), telah berjaya menganjurkan Bengkel Gubalan Soalan Penilaian Sistem e-Tauliah dan Bengkel Semakan Infografik serta Terjemahan Artikel yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini. Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, telah merasmikan penutupan kedua-dua bengkel pada pagi ini.

Bengkel Gubalan Soalan Penilaian Sistem e-Tauliah, bertujuan bagi membangunkan satu sistem soalan untuk menilai kelayakan pemohon tauliah di Wilayah Persekutuan melalui e-Tauliah. Sebanyak 600 soalan telah disusun oleh panel untuk memastikan hanya pemohon yang benar-benar layak akan terpilih ke peringkat temuduga. Usaha ini diyakini dapat membendung dakyah dan ajaran sesat daripada tersebar disamping meningkatkan kualiti para pendakwah bertauliah khususnya di Wilayah Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Bengkel Semakan Infografik dan Terjemahan Artikel dihadiri lebih 20 pegawai daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Bengkel ini bertujuan memudahkan pemahaman masyarakat melalui bahan ilmiah yang disampaikan dalam bentuk visual yang mudah difahami. Sebanyak 69 bahan telah disemak untuk diubah menjadi infografik bagi tahun 2025. Di samping itu, enam artikel telah disemak dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Arab untuk memperluas penyampaian maklumat kepada khalayak bukan berbahasa Malaysia.

Adalah diharapkan hasil daripada kedua-dua bengkel ini dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat dengan memastikan informasi agama yang tepat, mudah difahami dan relevan disampaikan kepada semua lapisan masyarakat serta memperkukuh kedudukan institusi kefatwaaan di peringkat antarabangsa dan menyebarkan ilmu Islam secara meluas dan efektif.