اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MAJLIS APRESIASI JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN

KUALA LUMPUR, 19 NOVEMBER 2024- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) telah mengadakan Majlis Apresiasi Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun penubuhannya di Menara Kuala Lumpur hari ini. Majlis telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dengan kehadiran semua staf JMWP.

SS Datuk Mufti merakamkan jutaan tahniah dan penghargaan kepada semua staf JMWP dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan jayanya. JMWP telah mula berkembang sejak tahun 1974 dengan pencapaian-pencapaian yang memberi impak tinggi hingga ke persada antarabangsa melalui kajian penyelidikan kefatwaan, falak dan kemasyarakatan. Kini, JMWP telah berkembang menjadi sebuah institusi kefatwaan yang disegani memainkan peranan besar dalam memperkukuh kefahaman agama, menyebarkan ilmu, serta memperkasakan syariat Islam di Wilayah Persekutuan.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Pingat Pertabalan sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Yang Ke-17, Sultan Ibrahim kepada Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan & Encik Ahmad Noor Syaiful Azmi bin Mohammad Noor, Penolong Mufti Kanan Bahagian Khidmat Sokongan.

Majlis juga diserikan dengan perkongsian ilmu daripada YBrs. Cr. Hj. Hushim bin Hj. Salleh, Pakar Motivasi & Kaunselor Berdaftar bertajuk ‘Memacu Kecemerlangan Organisasi’. Semoga para pegawai dan kakitangan JMWP terus Istiqamah memacu kecemerlangan sebagai peneraju utama dalam memartabatkan syariat Islam dan kefatwaan serta merungkai persoalan hukum-hakam agama semasa sekali gus memberi manfaat kepada ummah.