PUTRAJAYA, 15 September – Unit Latihan dan Integriti, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) telah mengadakan Perbincangan Khas Program Pensijilan Profesional Guru Takmir
hasil kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (UPSI-JAKIM) bersama Profesor Madya Dr. Saipolbarin bin Ramli, Pensyarah Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta Profesor Ts. Dr. Sumaiya binti Zainal Abidin @ Murad dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Ketua Penolong Mufti, para Ketua Unit serta pegawai-pegawai Unit Istinbat, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Sesi ini bertujuan mendapatkan pandangan, kepakaran dan input berhubung pembangunan serta pelaksanaan Program Pensijilan Profesional Guru Takmir sebagai panduan kepada JMWP dalam merangka dan membangunkan program pensijilan profesional yang berteraskan bidang kefatwaan serta memenuhi keperluan semasa.
Dalam perbincangan tersebut, Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, menegaskan kepentingan membangunkan kompetensi dan profesionalisme Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam di Wilayah Persekutuan melalui program latihan dan pensijilan yang tersusun, selaras dengan usaha memperkasakan kualiti penyampaian ilmu, memperkukuh institusi kefatwaan serta melahirkan tenaga pengajar agama yang berwibawa dan berdaya saing.