Putrajaya, 22 November 2026 – Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Ahmad Fauwaz Fadzil, mensyarahkan hadis dalam bab 47 hingga 49 kitab Raudah Syamā’il Muhammadiyyah pada Majlis Sama’ Hadis Jami‘ al-Tirmidhi dan al-Syamā’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra hari ini.
Ketiga-tiga bab tersebut membicarakan sifat tawaduk, kemuliaan akhlak dan sifat malu Rasulullah SAW. Dalam syarahannya, Sahibus Samahah menjelaskan bahawa sifat tawaduk Baginda terserlah melalui cara Baginda menyantuni golongan miskin, manakala kesabaran dan kesediaan Baginda memaafkan orang lain mencerminkan kemuliaan akhlak Baginda. Beliau turut mengingatkan para hadirin agar memelihara sifat malu dengan menjaga tutur kata dan tingkah laku, di samping tetap berani menyampaikan kebenaran.
Pada sesi penutup bacaan al-Syamā’il al-Muhammadiyyah, Menteri Wakaf Mesir, Sheikh Profesor Dr. Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari, menzahirkan harapan agar pengajian Sama’ Hadis di Malaysia diteruskan sehingga khatam keenam-enam kitab dalam Kutub Sittah. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan Kerajaan Malaysia atas usaha memelihara tradisi pengajian hadis. Selepas ucapan beliau, Mufti Besar India, Syeikh al-Allamah Abu Bakar Ahmed, menyampaikan kata-kata hikmah kepada para hadirin dalam sesi penutup yang sama bagi menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW serta mendorong mereka meneladani akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.