اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #15 : TAHNIAH TABUNG HAJI (TH) DAN MALAYSIA AIRLINES (MAS)

Alhamdulillah dalam perjalanan pulang daripada menunaikan haji pada kali ini 3/9/2018, kami menzahirkan setinggi kesyukuran kepada-Nya kerana dikurniakan pelbagai nikmat seperti dapat menyempurnakan manasik haji, kesihatan, kemudahan dan lain-lain.

Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Tabung Haji (TH) yang begitu efisien dan sentiasa berusaha seupaya mungkin dengan ‘teamnya’ untuk mengislahkan perkhidmatannya.

Ketika kami di Nadwah Haji, sempat bertemu dengan Mufti Mesir ‘Allamah Dr Shauqi ‘Allam yang menzahirkan rasa kagum dan memuji jemaah haji Malaysia dan pengurusannya. Inilah yang kita harapkan saban tahun dan juga pada tahun-tahun mendatang. Proses islah dan tajdid islah ke arah yang lebih baik sentiasa menjadi agenda tahunan TH.

Seperkara lagi, bagi saya yang mungkin dilihat picisan dan kecil tetapi memberi seribu impak dan makna ialah berkenaan Malaysia Airlines (MAS). Dalam pemerhatian saya semasa pulang ke tanah air, saya dapati MAS melalui kakitangannya telah menzahirkan perubahan yang amat baik. Antaranya:

  • Menyantuni setiap jemaah dengan penuh ihsani termasuk yang tua, veteran dan yang kurang sihat.
  • Salah seorang krew MAS memulakan dengan memohon maaf atas sedikit kelewatan dan membaca doa safar. Inilah sunnah Rasulullah SAW.
  • Pramugari mengumumkan waktu solat. Begitu juga setiap penumpang boleh solat. (Sila lihat Bayan Linnas Siri 53: Solat Di Atas Kapal Terbang: Hukum Dan Caranya)[1]
  • Pakaian pramugari semuanya menutup aurat. Amat sopan dan sesuai dengan sifat keislaman dan budaya ketimuran.
  • Menjadi pemudah cara dalam apa jua kehendak penumpang khususnya isu arah kiblat solat, tandas, makan dan sebagainya.

Cadangan kami ialah supaya MAS dan mana-mana penerbangan yang lain dapat mengekalkan perkara-perkara yang kami nyatakan ini.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas kepada Tabung Haji daripada Hotel Movenpick TH hingga pulang ke KLIA dan juga MAS atas layanan serta tindakan yang murni ini.

Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada juruterbang MAS kerana menyantuni saya walaupun seketika. Terima kasih kepada:

  • Kapten Abdul Rahim bin Harun
  • Kapten Yusri Sajari
  • Dato’ Kapten Mohamad Johan Yusof

Saya berdoa kepada Allah SWT semoga Tabung Haji dan juga MAS sentiasa diberkati oleh Allah serta dapat meraih keuntungan yang penuh keberkatan. Amin.

 

Salam hormat.

 

Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

 

*Catitan di atas kapal terbang pada Isnin, 3/9/2018 selepas solat Zohor dan Asar, jam 13:40 waktu tempatan.

 

[1] Sila lihat di pautan berikut: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1834-bayan-linnas-siri-ke-53-solat-di-atas-kapal-terbang-hukum-dan-caranya