اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #27: PIDATO PERTAMA KHALIFAH UMAR IBN ABDUL AZIZ RAHIMAHULLAH

PIDATO PERTAMA.JPG

Pada petang yang mulia ini, tatkala membelek beberapa buku, saya terpandang sebuah buku yang bertajuk Mawa’iz li al-Imam Umar Ibn Abd al-‘Aziz yang disusun oleh Syeikh Soleh Ahmad al-Syami. Pada halaman 99, ditajukkan dengan khutbah pertama tatkala Umar Ibn Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah dan berucap di hadapan orang ramai. Selepas memuji Allah, kemudian berkata:

أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّهُ لَا كِتَابَ بَعْدَ الْقُرْآنِ، وَلَا نَبِيَّ بَعْدَ مُحَمَّدٍ، عَلَيْهِ السَّلَامُ، وَإِنِّي لَسْتُ بِقَاضٍ وَلَكِنِّي مُنْفِذٌ، وَإِنِّي لَسْتُ بِمُبْتَدِعٍ وَلَكِنِّي مُتَّبِعٌ، إِنَّ الرَّجُلَ الْهَارِبَ مِنَ الْإِمَامِ الظَّالِمِ لَيْسَ بِظَالِمٍ، أَلَا إِنَّ الْإِمَامَ الظَّالِمَ هُوَ الْعَاصِي، أَلَا لَا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَإِنِّي لَسْتُ بِخَيْرٍ مِنْ أَحَدٍ مِنْكُمْ وَلَكِنِّي أَثْقَلُكُمْ حِمْلًا، أَلَا لَا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ، أَلَا هَلْ أَسْمَعْتُ ؟

Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya tiada kitab yang sebenarnya selepas al-Quran. Dan tiada Nabi yang diutuskan selepas Muhammad Alaihis Salam. Dan sesungguhnya, aku bukanlah Qadhi atau hakim, tetapi aku hanyalah pelaksana.

Dan sesungguhnya aku bukanlah yang melakukan bid’ah tetapi aku mengikut Rasulullah SAW. Sesungguhnya lelaki yang lari daripada Imam yang zalim, bukanlah yang zalim. Ketahuilah, sesungguhnya imam yang zalim adalah yang derhaka.

Ketahuilah tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah Azza wa Jalla yang Maha Pencipta. Dan sesungguhnya aku bukanlah orang yang terbaik dari kalangan kamu, tetapi aku orang yang paling berat tanggungjawabnya.

Ketahuilah tiada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada Allah. Ketahuilah, adakah aku telah menyampai dan memperdengarkan kepada kamu. (Lihat juga al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir, 12/692)

Ucapan dari hati yang bertakwa, penuh keikhlasan untuk menuju kepada Tuhannya dalam mencari mardhatillah. Semoga Allah jadikan kita semua sentiasa mentaati dan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Amin.