اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #38: SELAMAT HARI IBU

SELAMAT HARI IBUU.JPG

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".

Surah al-Ahqaf (15)

Syeikh al-Maraghi dalam menjelaskan ayat ini berkata: Kami memerintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, mengasihi kedua-duanya dan berbakti kepada kedua-duanya semasa mereka hidup atau selepas mereka mati. Oleh sebab itu, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa itu dianggap sebagai amalan yang paling utama, manakala derhaka terhadap kedua-duanya dianggap sebagai dosa yang besar. Oleh sebab itu, terdapat banyak ayat al-Quran dan hadith yang menceritakan tentang perkara ini.

Kemudian, Allah SWT menyebutkan pula sebab Allah SWT memerintahkan berbuat demikian dan membicarakan secara khusus tentang ibu. Ini disebabkan ibu adalah lebih lemah dan lebih memerlukan perhatian, sedangkan jasa-jasanya lebih banyak. Hal ini dapat dipadankan dengan hadith Rasulullah SAW yang mana ibu berhak mendapat layanan baik tiga kali lebih daripada bapa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6339)

Nas di atas menunjukkan betapa mulianya ibu. Tanpanya maka terhentilah keturunan manusia. Allah ciptakan ibu dengan sifat kasih sayang yang luar biasa dalam mengasihi anaknya. Pernah satu ketika, Aisyah R.Anha melihat seorang ibu yang memberikan tamar kepada dua anak perempuannya dan baki yang satu lagi dibelahnya dan kemudian dibahagikan kepada anaknya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Nabi SAW telah dibawa seorang tawanan di mana ia adalah seorang perempuan yang sedang menyusu. Maka apabila didapatinya terdapat seorang kanak-kanak dalam kalangan tawanan tersebut, lantas diambilnya, dipeluk dan disusukannya. Nabi SAW bersabda kepada kami:

أَتُرَوْنَ هَذِهِ طَارِحَةً وَلَدَهَا فِي النَّارِ قُلْنَا لَا وَهِيَ تَقْدِرُ عَلَى أَنْ لَا تَطْرَحَهُ فَقَالَ لَلَّهُ أَرْحَمُ بِعِبَادِهِ مِنْ هَذِهِ بِوَلَدِهَا

Maksudnya: “Menurut kamu adakah perempuan seperti ini sanggup mencampakkan anaknya ke dalam api?” Kami jawab, “Tidak mungkin kerana dia mampu untuk tidak mencampakkannya.” Maka sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya melebihi kasih sayang seorang ibu ini terhadap anaknya.”

Riwayat al-Bukhari (5999)

Ibu merupakan madrasah pertama kita. Dengannya terbina pemimpin agung dan generasi soleh. Pepatah Arab menyebut:

الأُمُّ مَدْرَسَةٌ إِذَا أَعْدَدْتَهَا                 أَعْدَدْتَ شَعْبًا طَيِّبَ الأَعْرَاقِ

                      Ibu sebagai madrasah, jika kamu sediakannya dengan sebaik-baiknya

                                               Maka sebenarnya kamu sediakan generasi yang utuh lagi hebat

Pepatah melayu menyebut, “Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia.” Ungkapan ini menggambarkan betapa kuatnya pengaruh seorang ibu terhadap pendidikan dan perkembangan anak-anaknya.

Sebenarnya jasa ibu tiada tandingan dan bandingan bagi seseorang. Sifat rahmat, kasih sayang, ithar dan sanggup berkorban dalam apa jua sekalipun ini kekal wujud bagi semua ibu. Ibu membela anak untuk hidup dan bahagia, sebaliknya anak membela ibu dalam keadaan tidak sama sepertimana ibu membela anak. Inilah hakikat dan realiti bahawa betapa mulianya seorang ibu.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut: “Tugas wanita juga adalah menguruskan rumah tangga dengan membahagiakan suami. Selain itu, membentuk sebuah keluarga bahagia yang berasaskan ketenangan, kemesraan dan kasih sayang. Dicatatkan, wanita yang menjadi pendamping yang baik kepada suaminya dikira satu jihad pada jalan Allah SWT.” (Lihat Fatawa Mu’asirah (terjemahan), 2/204)

Sempena hari ibu ini, kami berdoa kepada Allah semoga para ibu dirahmati Allah dan ditempatkan bersama golongan yang solehah atas pengorbanan yang tiada tolok bandingnya. Kami katakan: “Terima kasih ibu, jazakillah khairal jaza’.”

Marilah sama-sama kita berdoa untuk kedua ibu bapa kita seperti yang diajar oleh Nas Ilahi:

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Surah al-Isra’ (24)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita menginsafi untuk berbakti kepada ibu selama mana hayat di kandung badan dan inilah nikmat yang terbesar. Ingatlah ibu mempunyai doa yang mustajab. Apabila didoakannya maka amat mudah dimakbulkan Tuhan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita menjadi anak yang soleh dan solehah serta bersikap ihsan kepada ibu dan bapa. Amin.