اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #63: KISAH 3 NASIHAT

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Arus politik Malaysia kembali bergolak beberapa hari ini. Masing-masing dengan hujah dan strategi untuk memenangkan kem mereka. Selagi mana ianya berlangsung mengikut lunas syarak, kami mendoakan semoga Allah SWT mempermudahkan urusan semua dan mengeratkan lagi perpaduan sesama umat Islam.

Meneliti akhbar dan media sosial kebelakangan ini, kami teringat akan sebuah kisah yang masyhur di Tanah Arab berkenaan mahalnya sebuah nasihat. Pada satu hari, seorang lelaki telah melangsungkan perkahwinan. Alhamdulillah, mereka dikurniakan seorang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama.

Pada satu hari, lelaki ini berkata kepada isterinya, “Saya terpaksa tinggalkan awak untuk mencari rezeki. Saya takkan pulang selagi bekalan tidak cukup.”. Si suami yang bertanggungjawab ini memikirkan bekalan wang dan makanan yang semakin berkurang, lalu memutuskan untuk mencari kerja.

Si suami pun keluar bermusafir meninggalkan kampung halaman. Beliau masuk ke seluruh pelusuk kampung dan bandar, namun rezeki tidak menyebelahinya. Namun, beliau tidak pernah berputus asa.

Sedang dalam perjalanan, beliau bertemu dengan seorang kaya. Beliau memohon untuk bekerja dengannya. Orang kaya tersebut bersetuju dan bekerjalah si suami dengan penuh bersungguh-sungguh.

Semasa mengikat perjanjian untuk bekerja, si suami menyebutkan beberapa syarat kepada majikannya. “Saya ada beberapa syarat untuk saya bekerja dengan tuan. Pertama, saya tak nak gajinya buat masa ini. Saya harap tuan simpan. Kedua, saya boleh berhenti pada bila-bila masa. Ketiga, jika saya berhenti, saya mahu semua simpanan gaji tersebut.”

Setelah berlalu beberapa tahun lamanya, si suami memutuskan untuk berhenti kerja. Beliau bertemu dengan majikannya dan menyampaikan hasratnya. Majikannya bertanya, “Saya boleh beri kepada kamu gaji atau nasihat. Kamu boleh memilih salah satu.”

Si suami termenung panjang dan akhirnya membuat keputusan. Kata si suami, “Saya pilih nasihat, tuan.” Maka, majikannya pun berpesan, “Nasihat saya,

  • Jangan pilih jalan pintas.
  • Jangan sibuk urusan orang lain.
  • Jangan membuat tindakan ketika marah.

Saya beri kamu 3 buku roti. Makanlah dalam perjalanan, ketika berhenti rehat dan roti terakhir makanlah dengan isteri kamu.”

Ketika dalam perjalanan pulang, beliau terserempak dengan seorang lelaki. Beliau bertanyakan jalan pulang dan lelaki tersebut memberikan jalan yang lebih dekat untuk sampai ke kampung halamannya. Beliau pun melalui jalan tersebut.

Di pertengahan jalan, beliau teringatkan nasihat pertama oleh majikannya. Maka, beliau berpatah balik dan memilih jalan biasa. Sambil berjalan, beliau menikmati roti yang diberikan oleh majikannya. Beliau berselisih dengan beberapa orang yang mengkhabarkan berhubung musibah yang berlaku di jalan pintas tadi.

Setelah lama berjalan, hari sudah pun gelap. Beliau sampai di sebuah pekan dan menyewa rumah tumpangan untuk merehatkan badan. Pada tengah malam itu, beliau dikejutkan dengan bunyi bising perbalahan beberapa individu yang sangat dekat dengan biliknya. Beliau sempat melihat dan bingkas bangun untuk membantu. Namun, beliau tiba-tiba teringkatkan nasihat kedua majikannya. Beliau kembali ke katil dan tidur.

Keesokan paginya ketika beliau sedang menikmati roti, pemilik rumah tumpangan tergesa-gesa datang kepadanya. “Nasib baiklah kamu tidak keluar bilik. Jika tidak, kamu sudah mati.”, kata pemilik rumah tersebut.

Si suami sampai di rumah ketika matahari sudah terbenam. Dari tingkap, beliau ternampak isterinya sedang memeluk seorang lelaki. Beliau merasa amat kecewa atas apa yang dilihatnya. Beliau lantas bergegas masuk ke dalam rumahnya. Tetapi, beliau teringat pula nasihat ketiga majikannya. Beliau keluar perlahan-lahan supaya tidak disedari isterinya dan memilih untuk tidur di sebuah masjid.

Keesokan paginya, beliau pulang ke rumah. Isterinya amat terkejut dan gembira menyambut kepulangan suaminya yang sudah bertahun lamanya tidak pulang. Si suami bertanya, “Awak gembira dengan kepulangan saya?” Jawab isteri, “Sudah tentulah gembira.”

“Kalau gembira, siapa lelaki yang kamu peluk semalam?”, tanya suami dengan meninggikan suara.

Isteri tersenyum dan berkata, “Abang, itu kan anak kita. Abang sudah tinggalkan anak kita sejak kecil. Sekarang sudah besar.” Si suami tersenyum dan terus ketawa. Beliau meminta isterinya untuk menghidangkan makanan termasuk roti daripada majikannya.

Semasa mencubit sedikit roti tersebut, si suami terkejut melihat gumpalan wang dan sekeping nota di dalamnya.  Beliau membuka nota berkenaan dan membaca, “Kepada pekerjaku. Terima kasih atas kesungguhanmu bekerja. Ini gajimu selama bertahun-tahun lamanya engkau bekerja. Terima kasih juga kerana ingin menerima nasihat saya. Makanlah roti terakhir ini dengan gembira.”

Si suami bersyukur kepada Allah SWT atas pengalaman yang diperoleh dan tiga nasihat yang membekas dan memberi kesan besar dalam hidupnya.

Apa yang boleh dikaitkan dengan kegawatan politik yang berlaku ini? Anda boleh renungkan dan fikir sedalam-dalamnya. Inilah nasihatku kepada seluruh rakyat Malaysia.