اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 15/2025: KAEDAH BERINTERAKSI DALAM MUAMALAH ANTARA MUSLIM DAN NON-MUSLIM

 

TintaMufti.jpg

 

KAEDAH BERINTERAKSI DALAM MUAMALAH ANTARA MUSLIM DAN NON-MUSLIM

Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki kepelbagaian etnik, agama dan budaya. Realiti kepelbagaian ini telah membentuk sebuah proses interaksi sosial yang berlaku antara pelbagai pihak, termasuklah umat Islam dengan masyarakat bukan Islam. Kepelbagaian latar belakang agama dan budaya sememangnya menjadi satu faktor perbezaan antara kelompok masyarakat. Perbezaan ini sekiranya tidak ditangani dengan baik dibimbangi boleh menimbulkan salah faham, ketegangan serta membangkitkan sentimen permusuhan antara kaum. Ia kemudiannya berisiko untuk meruntuhkan perpaduan masyarakat dan menggagalkan agenda pembangunan negara. Lebih membimbangkan kerana negara Malaysia dari sudut demografinya terdiri daripada majoriti penduduk yang beragama Islam, malah agama Islam juga diiktiraf sebagai agama rasmi di peringkat Persekutuan. Dengan perkataan yang lain, Malaysia seharusnya menjadi contoh negara Islam terbaik yang berjaya meraikan kepelbagaian masyarakat dalam keadaan kesucian agama Islam sentiasa dipelihara.

Islam sebagai Panduan Hidup Bermasyarakat

Syariat Islam sejak awal lagi telah menyediakan garis panduan yang jelas dalam mengatur kehidupan manusia secara bersama. Panduan ini terkandung dalam al-Quran, al-Sunnah serta dihuraikan oleh para ulama dalam pelbagai disiplin ilmu Islam.

Firman Allah SWT:

وَالْأَرْضَ وَضَعَهَا لِلْأَنَامِ

Maksudnya: “Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain.”

(Surah al-Rahman: 10)

Ayat ini menegaskan bahawa bumi diciptakan untuk kegunaan semua makhluk, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa. Dalam menghuraikan maksud ayat ini, al-Razi menukilkan bahawa istilah لِلْأَنَامِ merujuk kepada seluruh manusia secara umum, tanpa pengkhususan terhadap sesuatu kelompok[1]. Manakala al-Baidhawi pula mentafsirkan lafaz tersebut sebagai setiap hidupan yang memiliki roh[2]. Tafsiran ini memberi kefahaman bahawa bumi ini bukanlah hak milik eksklusif mana-mana kaum atau kelompok tertentu, tetapi dikurniakan kepada semua makhluk untuk menjalani kehidupan secara aman dan damai.

Selain itu, Rasulullah SAW juga telah menunjukkan contoh praktikal dalam menguruskan hubungan dengan golongan bukan Islam. Diriwayatkan bahawa Baginda SAW pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi bagi mendapatkan makanan untuk keluarganya. Peristiwa ini membuktikan bahawa interaksi sosial dan urusan muamalat antara umat Islam dan bukan Islam adalah sesuatu yang normal, bahkan sejajar dengan realiti kehidupan bermasyarakat.

Interaksi Masyarakat Islam dan Bukan Islam dari Perspektif Maqasid Syariah dan Fiqh Mizan

Kehidupan bersama golongan bukan Islam juga perlu difahami dalam kerangka maqasid syariah yang menekankan prinsip keadilan, kesaksamaan, kebebasan serta penghormatan terhadap hak-hak asasi manusia. Allah SWT menciptakan manusia dengan pelbagai latar belakang agar mereka saling berkenalan, saling menghormati dan bekerjasama dalam memakmurkan bumi. Prinsip ini selaras dengan tujuan penciptaan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Sementara menurut perspektif fiqh al-mizan, umat Islam perlu mengetahui bahawa neraca atau mizan yang digunakan dalam memahami dalil atau nas berkaitan kepelbagaian ialah melihatnya dari perspektif seorang manusia yang memiliki latar belakang tersendiri dan menghormati perbezaan masing-masing. Kegagalan dalam memahami neraca ini dengan tepat menyebabkan penggunaan neraca yang salah terhadap dalil berkenaan, lalu kemudiannya melahirkan tindakan yang cenderung ke arah skeptikal, prejudis, agresif dan ekstrimisme.

Oleh yang demikian, keharmonian hidup antara masyarakat Islam dan bukan Islam membawa banyak manfaat. Antaranya ialah:

  1. Pemeliharaan agama dan keamanan: Tiada konflik berdarah yang mengorbankan nyawa.
  2. Kestabilan politik dan sosial: Masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman tanpa ketegangan berpanjangan.
  3. Pembangunan ekonomi: Suasana damai membolehkan ekonomi negara berkembang pesat.
  4. Peningkatan kesejahteraan sosial: Rakyat dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Kesemua ini menepati prinsip pemeliharaan terhadap al-dharuriyyat al-khams atau lima perkara asas dalam maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Sementa

Walaupun syariat Islam mengiktiraf kepelbagaian manusia, namun pada masa yang sama terdapat juga beberapa prinsip asas yang perlu dipatuhi oleh umat Islam dalam bermuamalah dengan golongan bukan Islam:

  1. Mengutamakan sifat rahmah dengan cara menunjukkan sifat belas kasihan dan keprihatinan sesama manusia.
  2. Toleransi dalam beragama dengan cara menghormati kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing selagi tidak bercanggah dengan undang-undang.
  3. Menolak elemen provokasi dengan cara tidak mencetuskan permusuhan atau sengaja menimbulkan kontroversi yang boleh meretakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
  4. Perdamaian melalui dialog iaitu mengutamakan kaedah perbincangan dan rundingan sebagai jalan penyelesaian.
  5. Menghormati undang-undang negara dengan menjadikan Perlembagaan dan sistem perundangan sebagai landasan penyatuan dalam masyarakat berbilang kaum.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, proses interaksi sosial antara umat Islam dan bukan Islam merupakan realiti yang tidak dapat dielakkan dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Setiap Muslim perlu memahami hakikat penciptaan manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah bahawa kepelbagaian adalah sunnatullah yang mengandungi maqasid dan hikmah yang tersendiri. Pada masa yang sama, prinsip-prinsip syariat seperti rahmah, toleransi, keadilan dan pemeliharaan maslahah perlu dijadikan panduan utama dalam menjalinkan hubungan tersebut. Sejajar dengan itu, keharmonian masyarakat dapat dipelihara, kesucian agama Islam terus dijaga dan negara membangun lebih maju dalam suasana aman dan sejahtera.

WaAllahu a’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
26 SAFAR 1447H / 20 OGOS 2025

 

 

Rujukan: 

[1] Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghayb (Beirut:Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi,1420H), 29:344.

مَا قِيلَ: إِنَّ الْأَنَامَ يَجْمَعُ الْإِنْسَانَ وَغَيْرَهُ مِنَ الْحَيَوَانِ، فَقَوْلُهُ لِلْأَنامِ لَا يُوجِبُ الِاخْتِصَاصَ بِالْإِنْسَانِ

[2] Nasir al-Din al-Baidhawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil (Beirut:Dar Inya’ al-Turath al-‘Arabi,1418H), 5:171.

وقيل الأنام كل ذي روح.