UGUTAN BUNUH - NYAWA PRINSIP TERAS DALAM MAQASID SYARIAH
Pada era teknologi moden masa kini, ruang kritikan dan hak bersuara terbuka luas khususnya melalui medium media sosial. Walaupun ia memberi peluang kepada masyarakat untuk berkongsi pandangan dan menyuarakan pendapat, namun hakikatnya kebebasan tersebut tidak boleh disalahgunakan sehingga menzalimi orang lain. Hal ini ditegaskan dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghifari RA bahawa Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman:
يَا عِبَادِي: إنِّي حَرَّمْت الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْته بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا؛ فَلَا تَظَالَمُوا.
Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku telah haramnya antara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi.”
(Riwayat Muslim)
Baru-baru ini muncul isu berkaitan ugutan bunuh yang berpunca daripada rasa tidak puas hati serta perbezaan pandangan. Fenomena ini jelas merupakan suatu tindakan yang tidak wajar malah bersifat keterlaluan sehingga melanggar batas kemanusiaan secara umum dan batas sebagai seorang Muslim secara khusus. Lebih membimbangkan perbuatan tersebut berpotensi menimbulkan kegusaran dan ketakutan kepada individu yang diugut. Dari perspektif syarak, ugutan sedemikian termasuk dalam perbuatan yang diharamkan serta dikategorikan sebagai dosa besar kerana ia termasuk dalam bentuk kezaliman sebagaimana yang ditegaskan dalam hadis Nabi SAW di atas.[1]
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembunuhan walaupun hanya sekadar dengan kata-kata maka ia akan terhalang daripada mendapat rahmat Allah SWT. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَعَانَ عَلَى قَتْلِ مُؤْمِنٍ بِشَطْرِ كَلِمَةٍ لَقِيَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ آيِسٌ مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membantu dalam pembunuhan seorang mukmin walaupun hanya dengan sebahagian daripada kata-kata, maka dia akan berhadapan dengan Allah ‘Azza wa Jalla sedangkan tertulis di antara kedua matanya: Tiadalah baginya harapan mendapat rahmat Allah.”
(Riwayat Ibn Majah)
Islam amat menitikberatkan pemeliharaan nyawa manusia sebagaimana yang digariskan dalam maqasid syariah iaitu menjaga nyawa sebagai prinsip kedua terpenting selepas menjaga agama. Perbuatan membunuh sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain adalah dilarang keras dan pelakunya boleh dikenakan hukuman qisas, diyat atau kaffarah demi memastikan nyawa sentiasa terpelihara. Imam al-Ghazali menyebut dalam karyanya:
ومقصود الشرع من الخلق خمسة : وهو أن يحفظ عليهم دينهم ونفسهم وعقلهم ونسلهم ومالهم
Maksudnya: “Dan tujuan Syari’at itu ada lima, iaitu: Untuk memelihara agama, nyawa, ‘aqal, keturunan dan harta mereka.”[2]
Di Malaysia, perbuatan mengugut merupakan satu kesalahan jenayah sebagaimana yang termaktub dalam Kanun keseksaan akta 574 BAB XXII MENAKUTKAN SECARA JENAYAH, AIB DAN KEGUSARAN. Seksyen 503 Kesalahan menakutkan secara jenayah.[3] Hal ini menunjukkan bahawa perbuatan ugut dan ancaman bukan sahaja salah di sisi agama kerana termasuk dalam bentuk kezaliman, bahkan perbuatan ini juga dilarang keras oleh undang-undang negara.
Kesimpulannya, Islam menolak sekeras-kerasnya segala bentuk kezaliman termasuk ugutan dan ancaman yang boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman masyarakat. Hak bersuara yang diberikan bukanlah lesen untuk menindas atau menzalimi orang lain. Nyawa, maruah dan harta manusia wajib dihormati sebagaimana yang telah digariskan dalam maqasid syariah. Bahkan undang-undang negara juga telah menetapkan bahawa ugutan merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman.
Justeru, setiap individu Muslim hendaklah berhati-hati dalam tutur kata dan tindakannya serta mengamalkan adab dalam perbezaan pandangan agar kita semua terhindar daripada dosa dan hidup dalam suasana harmoni yang diberkati Allah SWT.
Wallahu’alam
Rujukan:
[1] Wizarah al-Auqaf wa al-Syuun al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (Kuwait: Dar al-Salasul, 1404-1427h) Jld. 6 Hlm. 101
الإكراه بغير حق ليس محرما فحسب، بل هو إحدى الكبائر، لأنه أيضا ينبئ بقلة الاكتراث بالدين، ولأنه من الظلم. وقد جاء في الحديث القدسي: يا عبادي إني حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرما فلا تظالموا. . .
[2] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, al-Mustasfa. (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1413H) Hlm. 174
[3] Kanun keseksaan akta 574 BAB XXII MENAKUTKAN SECARA JENAYAH, AIB DAN KEGUSARAN. Seksyen 503 Kesalahan menakutkan secara jenayah.
“Barang siapa mengugut hendak mendatangkan kepada seseorang apa-apa bencana kepada tubuh, nama baik atau harta orang itu, atau kepada tubuh atau nama baik seseorang yang orang itu ada kepentingan, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang itu, atau hendak menyebabkan orang itu melakukan apa-apa perbuatan yang ia tidak terpaksa di sisi undang-undang melakukan, atau meninggalkan daripada melakukan apa-apa perbuatan yang ia berhak di sisi undang-undang melakukan, sebagai jalan bagi mengelakkan perlaksanaan ugutan itu, adalah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah.”