اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 20/2025: MENJAGA HAK, MENOLAK KEGANASAN

 

TintaMufti.jpg

MENJAGA HAK, MENOLAK KEGANASAN

Pendahuluan

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan pemerintahan berteraskan sistem demokrasi berparlimen di bawah naungan Raja Berperlembagaan. Pelaksanaan sistem demokrasi ini berlandaskan kerangka Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan kepada rakyat untuk bersuara dan menyatakan pandangan. Selain itu, rakyat turut mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan secara aman sebagai manifestasi protes atau solidariti dalam menuntut hak dan membela kebajikan mereka.

Walau bagaimanapun, kebebasan ini bukanlah bersifat mutlak. Ia mestilah dipandu oleh perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan perhimpunan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal. Kegagalan mematuhi garis panduan dan undang-undang mengakibatkan kebebasan tersebut akhirnya dipandu oleh emosi yang mengatasi akal sehingga bertindak melampaui batas. Malah ia juga berisiko untuk menjadi jenayah kerana mencabuli hak orang lain.

Syariat Islam Melarang Perbuatan Berbentuk Keganasan

Secara asasnya, syariat Islam menekankan nilai kesederhanaan dan keadilan dalam semua aspek kehidupan manusia sama ada dari sudut percakapan mahupun perbuatan. Kesederhanaan dalam Islam tidak membawa maksud yang negatif seperti pasif, tunduk dan akur semata-mata kepada sebarang arahan tanpa berfikir serta membandingkan. Sebaliknya, Islam mengajar umatnya agar bersikap kritis dan inovatif berasaskan prinsip kesederhanaan dengan menjaga keseimbangan antara tuntutan emosi dan rasional. Keseimbangan ini dipandu oleh ilmu dan adab yang mencorakkan keperibadian diri yang mulia dalam kehidupan.

Allah SWT telah menyatakan dalam al-Quran mengenai prinsip kesederhanaan berdasarkan firman-Nya:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu sebagai umat yang pertengahan (adil dan sederhana).”

Surah al-Baqarah (143)

Tuntutan agar bersikap sederhana ini kemudiannya dijelaskan lagi dalam dalil yang lain berhubung larangan daripada bersikap melampaui batas. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

Surah al-Baqarah (190)

Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda:

المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: “Seorang Muslim adalah orang menyelamatkan muslim yang lain daripada gangguan lidah dan tangannya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan bahawa syariat Islam menolak sebarang unsur keganasan dan perbuatan yang melampaui batas hingga boleh mengakibatkan kemudaratan terhadap orang lain. Dengan perkataan yang lain, syariat Islam menekankan prinsip kesederhanaan dan keadilan demi memelihara keamanan serta kestabilan masyarakat dalam sesebuah negara, selaras dengan prinsip memelihara maqasid keamanan (al-amn) dalam maqasid syariah.

Pada masa yang sama, setiap umat Islam juga perlu mengetahui bahawa setiap perkara mengandungi mizan atau neraca yang tersendiri. Hal ini amat penting bagi mengelakkan daripada berlakunya pertembungan akibat kekeliruan terhadap mizan tersebut. Sebagai contoh, mizan bagi seorang pemimpin ialah menunaikan amanah yang telah diberikan oleh rakyat tanpa menyalahi al-Quran dan al-Sunnah. Manakala mizan bagi rakyat pula ialah mentaati arahan pemimpin selagi tidak menyuruh kepada perbuatan yang bercangggah dengan syarak. Kekeliruan dalam hal ini menimbulkan salah faham yang menjadi salah satu punca terhadap keganasan dan melampaui batas.

Perhimpunan Aman dan Tanggungjawab Peserta

Dalam konteks perhimpunan aman, setiap pihak yang terlibat perlu memastikan pelaksanaan perhimpunan tidak dicemari oleh sebarang bentuk provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan. Antara garis panduan yang ditekankan ialah:

  1. Perhimpunan mestilah berlangsung dalam kerangka mematuhi undang-undang negara
  2. Menghormati pihak berkuasa yang menjalankan tugas
  3. Mengelakkan kemusnahan harta benda awam atau persendirian
  4. Tidak menzalimi orang lain sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan

Bagi situasi di Malaysia, hak untuk mengadakan perhimpunan aman telah dinyatakan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Namun, hak ini tertakluk kepada sekatan demi kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam, moral dan prinsip perlembagaan lain[1].

Selain itu, Akta Perhimpunan Aman 2012 (Peaceful Assembly Act 2012, Act 736) juga telah menyediakan rangka kerja undang-undang yang menggariskan hak, tanggungjawab penganjur dan peserta serta langkah-langkah penguatkuasaan untuk memastikan perhimpunan berlangsung secara aman[2].

Tindakan jenayah juga boleh dikenakan sekiranya peserta menyebabkan kecederaan terhadap penguatkuasa atau anggota polis, atau merosakkan harta awam, tindakan jenayah boleh dikenakan di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code, Act 574), misalnya peruntukan berhubung kesalahan mencederakan penjawat awam yang sedang bertugas[3].

Penutup

Perhimpunan aman merupakan salah hak demokratik bagi rakyat. Namun begitu, pelaksanaannya mestilah bertepatan dengan prinsip keadilan syariah dan perundangan negara. Kebebasan yang tidak diimbangi oleh tanggungjawab boleh membuka ruang kepada tindakan berasaskan emosi yang melampaui batas sehingga menimbulkan mudarat kepada masyarakat dan penguatkuasa.

Syariat Islam menyeru umatnya agar bersikap sederhana, adil dan rasional dalam mengurus perbezaan pandangan serta menolak sebarang bentuk keganasan yang mendatangkan mudarat kepada masyarakat termasuklah terhadap penguatkuasa yang menjadi benteng keamanan negara.

Wallahu a'lam 

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
19 RABIULAWAL 1447H / 12 SEPTEMBER 2025

 

Rujukan:

[1]    Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10(2), Attorney General’s Chambers of Malaysia.

[2]    Peaceful Assembly Act 2012 (Act 736), Malaysia, Laws of Malaysia, akses 11 September 2025, https://www.agc.gov.my

[3]    Penal Code (Act 574), Malaysia, Seksyen 332–333, Laws of Malaysia, akses 11 September 2025, https://www.agc.gov.my