TINTA MUFTI: KERJASAMA AGENSI AGAMA DAN PERANAN JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Dalam konteks pentadbiran Islam di Malaysia, pelbagai agensi dan institusi agama mempunyai kepentingan untuk menjalinkan kerjasama dan menggembleng kekuatan masing-masing demi membina ekosistem Islam yang lebih tersusun dan berkesan yang selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan teras kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Ini bermaksud setiap institusi agama mempunyai peranan dan kepakaran tersendiri yang jika digabungkan akan melahirkan sinergi yang kukuh. Justeru, pentadbiran dan hal ehwal Islam di Malaysia akan bergerak secara harmoni dan teratur apabila semua pihak melaksanakan fungsi masing-masing. Kerjasama ini selaras dengan saranan yang disebutkan oleh Yang Berhormat Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia tentang peri pentingnya kesepaduan dan gandingan antara pihak berkuasa agama Islam khususnya di Wilayah Persekutuan dalam memelihara kesucian akidah, syariah dan akhlak umat Islam.
Usaha ini amat bertepatan konsep al-Ta’awun ‘ala al-Birri wa al-Taqwa iaitu kerjasama dan kesepaduan dalam melaksanakan tindakan yang membawa kepada kebaikan dan ketaqwaan agar pentadbiran agama Islam di Malaysia khususnya terus selari dengan tuntutan syarak dan keperluan masyarakat. Walaupun setiap satunya mempunyai peranan yang berbeza namun sumbangan tersebut saling melengkapi dan akhirnya membentuk sistem pengurusan Islam yang lebih formatik. Di samping itu, dengan adanya silang kepakaran, data dan maklumat maka ia dapat menghasilkan penyelesaian yang lebih komprehensif untuk isu dan cabaran Islam semasa. Apabila kerjasama ini diperkukuh antara institusi agama, ia bukan sahaja menjaga kesucian agama Islam malah memperkukuh keutuhan negara Malaysia.
Seiring dengan peranan agensi agama yang lain, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan melalui fungsi utamanya yang bersepadu. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) berautoriti dalam mengkaji dan mengeluarkan fatwa berkaitan isu semasa serta memastikan fatwa atau hukum yang dikeluarkan sentiasa relevan, sahih dan berlandaskan sumber yang muktabar. Selain itu, Jabatan ini juga bertanggungjawab memperkukuhkan pengajaran dan pembelajaran agama melalui pengeluaran tauliah mengajar agama Islam di Wilayah Persekutuan, di samping memberikan khidmat nasihat, konsultasi serta perkhidmatan berkaitan akidah, syariah dan akhlak.
Bagi memastikan budaya ilmu dapat dihidupkan dan ajaran Islam mampu difahami secara syumul dan berkesan, maka penyampaian maklumat hukum syarak bukan sahaja disampaikan melalui medium media cetak bahkan melalui pembangunan sistem media elektronik. Jusetu, usaha ini telah menjadikan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) sebagai rujukan utama bagi umat Islam berkaitan hukum syarak, sekali gus berperanan sebagai pemelihara kesucian akidah Islam dan kemaslahatan ummah.
Wallahu a'lam