ROGOL SUKA SAMA SUKA : ISLAH PERUNDANGAN DEMI MEMELIHARA KEADILAN DAN MAQASID SYARIAH
Pendahuluan
Jenayah rogol bawah umur suka sama suka kini merupakan isu sosial yang serius dan semakin membimbangkan di Malaysia. Statistik terkini menunjukkan trend peningkatan ketara dalam jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Berdasarkan data yang dilaporkan, kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak meningkat daripada 2,541 kes pada 2020 kepada 3,892 kes pada tahun 2024, satu peningkatan sebanyak 53.2 peratus. Jumlah mangsa juga meningkat dari 2,561 orang kepada 3,988 orang dalam tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 55.7 peratus[1]. Peningkatan ini amat membimbangkan, terutamanya apabila ia melibatkan hubungan konsensual antara remaja bawah umur yang seringkali bermula daripada fenomena "grooming" melalui media sosial.
Faktor-faktor yang mendorong peningkatan ini antaranya termasuklah pengaruh penyebaran bahan lucah dalam talian, kelalaian ibu bapa, konflik keluarga dan pergaulan bebas dalam kalangan remaja. Namun, aspek yang lebih kritikal adalah lacuna atau kelompongan perundangan yang sedia ada. Undang-undang sedia ada khususnya Seksyen 375 Kanun Keseksaan mentakrifkan rogol sebagai jenayah yang dilakukan oleh lelaki, dengan hukuman hanya dikenakan ke atas pelaku lelaki. Walaupun undang-undang menganggap persetubuhan dengan individu di bawah umur 16 tahun sebagai rogol, tanpa mengira persetujuan, ia menimbulkan persoalan dari sudut keadilan dan keberkesanan undang-undang kerana pihak wanita yang turut bersetuju tidak dikenakan hukuman.
Situasi ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa undang-undang bersifat berat sebelah kerana hanya menghukum satu pihak sahaja walaupun kedua-duanya bersalah secara moral. Tindakan ini dilihat tidak menyelesaikan permasalahan yang dihadapi kerana jenayah rogol atau hubungan kelamin antara pasangan bukan mahram sama ada secara rela atau tidak, jelas bertentangan dengan syariat Islam. Justeru, ia menuntut penelitian semula terhadap undang-undang berkaitan jenayah rogol bawah umur suka sama suka sebagai salah satu agenda islah (pembaharuan) dan reformasiperundangan negara.
Konsep Rogol dan Undang-Undang Berkaitan di Malaysia
Definisi rogol dalam perundangan Malaysia termaktub di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan[2]. Mengikut peruntukan ini, rogol berlaku apabila seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan dalam mana-mana keadaan berikut:
- Tanpa persetujuan perempuan itu.
- Dengan persetujuan perempuan itu, apabila dia tidak dapat memahami jenis perbuatan yang dilakukan.
- Dengan persetujuan perempuan itu, apabila persetujuan itu diperoleh melalui ketakutan atau salah anggapan.
- Dengan persetujuan perempuan itu, apabila lelaki itu tahu dia bukan suami yang sah di sisi undang-undang.
- Dengan atau tanpa persetujuan, apabila perempuan itu berusia di bawah 16 tahun.
Walaupun persetujuan diberikan oleh mangsa, jika mangsa berusia bawah 16 tahun, perbuatan tersebut masih dikategorikan sebagai rogol di bawah undang-undang. Namun, isu ini menjadi lebih kompleks apabila mangsa wanita berusia bawah umur itu secara sedar dan rela bersetuju. Kelompangan ini timbul kerana undang-undang hanya meletakkan beban hukuman ke atas pelaku lelaki, sementara mangsa wanita yang turut terlibat secara rela tidak dikenakan sebarang tindakan.
Falsafah Perundangan dan Pelaksanaan Hukuman dalam Islam
Undang-undang jenayah dalam syariat Islam merangkumi hudud, qisas dan takzir yang bersumberkan wahyu daripada al-Quran dan al-Sunnah. Maqasid atau tujuan pelaksanaan hukuman dalam Islam bertujuan menegakkan keadilan iaitu menjatuhkan hukuman terhadap individu yang disabitkan kesalahan atau jenayah. Menurut perspektif fiqh al-mizan, mizan atau neraca dalam perundangan ialah menegakkan keadilan dengan menyeimbangkan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah dengan kesan yang telah menimpa ke atas mangsa.
Selain itu, undang-undang Islam juga tidak bersifat berat sebelah atau diskriminatif. Semua pihak yang melakukan kesalahan sama ada lelaki mahupun perempuan perlu dikenakan hukuman. Prinsip ini jelas terlihat dalam dalil-dalil al-Quran berkaitan jenayah hudud. Berdasarkan firman Allah SWT:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ
Maksudnya: "Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah."
Surah al-Maidah (38)
Begitu juga hukuman sebatan ke atas lelaki dan perempuan yang berzina. Berdasarkan firman-Nya:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
Maksudnya: "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat."
Surah al-Nur (2)
Pelaksanaan hukuman dalam Islam juga menepati prinsip hifz al-amn (memelihara keamanan) yang merupakan sebahagian daripada maqasid syariah. Pengecualian hukuman terhadap mana-mana pihak yang bersalah adalah bercanggah dengan prinsip ini. Ia juga menyalahi prinsip maqasid 'imarah, di mana setiap individu dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan bumi dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Undang-undang Islam bertujuan memberikan pendidikan (ta'dib) kepada pelaku dan masyarakat secara keseluruhannya, agar jenayah tidak berulang[3]. Oleh itu, pelepasan hukuman terhadap satu pihak sahaja dilihat tidak selari dengan tujuan dan prinsip perundangan syarak.
Analisis
Pada asasnya, penguatkuasaan undang-undang rogol terhadap kaum lelaki yang disabitkan melakukan jenayah tersebut adalah wajar menurut Islam. Hal ini kerana kedudukan lelaki dalam Islam adalah sebagai pemimpin dan pelindung kepada wanita. Oleh itu, lelaki memikul tanggungjawab yang lebih besar dan beban kesalahan yang lebih berat berbanding dengan wanita. Pendekatan ini menunjukkan bahawa agama Islam amat memelihara dan memuliakan kaum wanita.
Namun begitu, perkara ini bukanlah bermaksud undang-undang Islam tidak adil. Jika wanita didapati bersalah, mereka juga wajib dikenakan hukuman. Contohnya, jika seorang wanita disabitkan kesalahan berzina, maka dia tetap akan dihukum. Dalam konteks rogol bawah umur suka sama suka, walaupun undang-undang sivil memberikan perlindungan kepada mangsa wanita, ia tidak seharusnya melepaskan mereka daripada tanggungjawab moral dan hukuman jika mereka turut menyumbang kepada perlakuan jenayah. Hukuman yang adil dan setimpal ke atas kedua-dua pihak yang bersalah akan memberikan pengajaran dan pendidikan yang lebih efektif.
Bahkan, pelepasan kelompok tertentu daripada sebarang hukuman boleh menggalakkan perlakuan jenayah yang sama pada masa akan datang. Ia juga menafikan realiti bahawa dalam banyak kes, kedua-dua pihak terlibat secara sedar dan rela, walaupun salah seorang daripadanya adalah bawah umur. Lantaran itu, hukuman terhadap kedua-dua pihak akan menegaskan bahawa jenayah bukanlah isu melibatkan jantina tertentu, tetapi ia adalah isu moral dan perundangan yang melibatkan sesiapa sahaja yang melanggar peraturan serta undang-undang.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa berhak untuk mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap lelaki yang berzina dengan perempuan bawah umur secara rela. Hal ini kerana, perempuan di bawah umur masih belum mencapai tahap usia yang matang untuk berfikir dengan sebaiknya. Sebaliknya, menjadi tanggungjawab bagi pihak lelaki untuk membimbing dan melindungi, bukan merosakkan kaum wanita.
Selain itu, pengehadan umur kanak-kanak sehingga umur 16 tahun juga boleh dipertimbangkan pindaan kepada umur yang lebih rendah seperti 12 tahun sebagai contoh, berikutan perubahan sosial dan kewajaran mereka yang berada pada usia 12 tahun untuk dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan, khususnya bagi kes-kes zina suka sama suka, tanpa unsur-unsur jenayah atau pujuk rayu daripada pihak lelaki.
Hal ini wajar untuk dipertimbangkan berdasarkan kepada konsep keadilan dan kesamarataan dalam undang-undang dan hukuman bagi setiap yang melakukan kesalahan, selaras dengan Perkara 8(1), Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan:
“Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”
Di samping itu, kita juga tidak wajar untuk hanya berbincang mengenai hukuman semata-mata, dan mengabaikan aspek pencegahan. Hakikatnya, falsafah hukuman di dalam Islam adalah merujuk kepada pendekatan terakhir yang boleh dilaksanakan oleh pemerintah (ulil amri) dalam proses islah setelah usaha-usaha dakwah, serta pencegahan tidak memberikan hasil.
Justeru, terdapat ruang penambahbaikan dalam undang-undang yang sedia ada yang boleh dicadangkan seperti hukuman atau penalti yang turut dikenakan ke atas ibubapa atau penjaga dalam konteks kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak jika boleh disabitkan kecuaian mereka dalam memberikan pendidikan yang sewajarnya. Hukuman seperti ini juga turut diperuntukkan oleh Seksyen 128(2), Akta Tatacara Jenayah Syariah (wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560], walaupun dengan jumlah yang agak minimum, iaitu dengan jumlah denda tidak melebihi RM200, setelah siasatan dilakukan dan mahkamah syariah berpuas hati bahawa terdapat kecuaian di pihak ibubapa atau penjaga.
Kesimpulan
Berdasarkan analisis di atas, pihak kerajaan berhak untuk meneliti semula undang-undang berkaitan jenayah rogol bawah umur suka sama suka. Hukuman yang lebih setimpal perlu dikenakan kepada semua pihak yang terlibat. Pelepasan daripada sebarang hukuman tidak akan menyelesaikan masalah, malah sebaliknya membuka ruang kepada perlakuan jenayah lain pada masa hadapan.
Penerapan prinsip keadilan dalam perundangan Islam yang menghukum semua pihak yang bersalah perlu menjadi asas dalam reformasi ini. Hal ini penting bagi memastikan undang-undang negara tidak hanya berkesan dalam menghukum, bahkan juga dalam mencegah dan mendidik masyarakat agar tidak terlibat dalam jenayah yang jelas bertentangan dengan norma agama dan sosial. Usaha ini menandakan satu langkah signifikan dalam pembaharuan undang-undang yang mengutamakan keadilan dan keberkesanan, di samping menggabungkan perspektif undang-undang sivil dan syariah. Penambahbaikan undang-undang yang dicadangkan ini juga wajar diusahakan agar seiring dengan semangat tajdid dan reformasi yang diangkat oleh negara, dan dilaksanakan melalui wacana pemikiran yang segar dan berwawasan.
Wallahu a'lam
[1] Majlis Sosial Negara, "Majlis Sosial Negara Serius Tangani Jenayah Seksual Kanak-kanak – Ahmad Zahid," 29 Julai 2025; Berita RTM, "Tindakan Bersepadu Tangani Jenayah Seksual Kanak-kanak," 29 Julai 2025; BERNAMA, "Kes Rogol, Sumbang Mahram Di Kelantan Meningkat," 9 April 2025.
[2] Kanun Keseksaan (Akta 574), s. 375.
[3] Muhammad Abu Zahra, al-Jarimah wa al-'Uqubah fi al-Fiqh al-Islami (Kaherah: Dar al-Fikr al-Arabi, 1987); Abu Ishaq Al-Shatibi, al-Muwafaqat fi Usul al-Shari'ah (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1997).