اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 30/2025: LARANGAN MENGIBARKAN BENDERA ISRAEL: SUATU TINJAUAN DARI PERSPEKTIF SYARIAH DAN DASAR NEGARA

 

TintaMufti.jpg

LARANGAN MENGIBARKAN BENDERA ISRAEL: SUATU TINJAUAN DARI PERSPEKTIF SYARIAH DAN DASAR NEGARA

Mukadimah

Bendera atau panji berfungsi sebagai simbol utama yang mewakili kedaulatan, identiti dan nilai-nilai sesebuah entiti sama ada melambangkan negara, kerajaan atau kumpulan. Lazimnya, perbuatan mengibarkan bendera secara terbuka dikaitkan dengan suatu bentuk pengiktirafan, penghormatan dan kecintaan terhadap entiti yang diwakilinya. Dalam konteks hubungan antarabangsa, perbuatan mengibarkan bendera negara lain di khalayak ramai sering kali ditafsirkan sebagai isyarat persahabatan, persetujuan atau pengakuan terhadap legitimasi entiti tersebut.

Walau bagaimanapun, tindakan mengibarkan bendera yang mewakili ideologi kekejaman dan kezaliman khususnya bendera yang mengandungi lambang Zionis-Israel telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat. Lebih-lebih lagi, perdebatan mengenai kewajaran atau keperluan untuk mengibarkan bendera tersebut bagi tujuan-tujuan tertentu. Bagi umat Islam, tindakan mengibarkan bendera rejim Zionis merupakan perkara yang amat sensistif kerana ia berkait rapat dengan simbol kezaliman, penjajahan dan penindasan berpanjangan terhadap umat Islam di Palestin. Bahkan, ia juga bercanggah dengan dasar kerajaan Malaysia yang mengambil pendekatan tegas dengan tidak mewujudkan sebarang hubungan bersama Israel serta solidariti yang telah diperjuangkan sejak sekian lama.

Rentetan senario itu, tindakan mengibarkan bendera Israel secara terbuka di negara ini telah menimbulkan beberapa persoalan yang memerlukan penjelasan terutamanya dari perspektif syarak.

Larangan Bekerjasama dan Mengiktiraf Perjuangan Kaum Yahudi dan Nasrani

Secara asasnya, syariat Islam telah menyediakan garis panduan umum dalam hal-hal yang melibatkan hubungan di antara umat Islam dengan golongan kafir khususnya kaum Yahudi dan Nasrani. Antaranya termasuklah larangan daripada mengambil kaum tersebut sebagai wali, penjaga dan melakukan sebarang perbuatan yang menunjukkan sokongan atau pengiktirafan terhadap mereka. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘبَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu."

Surah al-Ma'idah (51)

Menurut al-Baghawi, larangan mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali atau teman rapat bermaksud tegahan supaya orang beriman tidak bergantung harap kepada mereka dan tidak bergaul dengan mereka dalam bentuk pergaulan yang bersifat kasih sayang[1]. Sementara menurut al-Razi, larangan ini turut merangkumi sebarang bentuk perbuatan yang boleh menunjukkan sifat berkasih sayang kepada mereka[2]. Tafsiran ini menunjukkan bahawa secara asasnya umat Islam mestilah berhati-hati dalam melakukan sebarang perkara yang menyentuh perihal kaum Yahudi dan Nasrani. Hal ini termasuklah juga perbuatan-perbuatan yang boleh menonjolkan identiti, ideologi dan kepercayaan kaum tersebut atau menunjukkan pengiktirafan kepada mereka seperti mengibarkan bendera.

Sementara itu, tuntutan agar mengambil sikap berhati-hati ini juga telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW. Baginda SAW melarang umat Islam daripada meniru atau menyerupai perbuatan-perbuatan yang melambangkan identiti, budaya dan kepercayaan kaum tersebut. Baginda SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: "Sesiapa yang meniru mana-mana kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka."

(Riwayat Abu Daud)

Dalam menghuraikan maksud hadis di atas, al-Munawi berpandangan bahawa sesiapa yang menyerupai orang kafir atau golongan fasik dalam pakaian, gaya hidup, perbuatan haram atau lambang khas mereka, maka dia juga akan menerima dosa seperti mereka walaupun tidak jatuh ke dalam kekufuran[3].

Larangan Mengibarkan Bendera Yang Mengandungi Simbol Permusuhan dan Kekejaman Terhadap Umat Islam

Dalil dan pandangan ulama di atas menegaskan bahawa umat Islam pada asasnya perlu mengambil sikap berwaspada dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara yang menyentuh perihal orang kafir. Lebih-lebih lagi golongan kafir yang memusuhi umat Islam seperti rejim Zionis-Israel. Tuntutan ini bertujuan memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara daripada unsur yang menyeleweng dan menyesatkan serta memelihara kemuliaan syiar Islam.

Di samping itu, larangan daripada tunduk kepada kaum Yahudi dan Nasrani, mengambil mereka sebagai wali serta tuntutan agar berhati-hati dalam perkara-perkara yang boleh menyerupai mereka adalah selaras dengan prinsip memelihara agama (hifz al-din) dalam maqasid syariah. Lantaran itu, perbuatan yang boleh menonjolkan identiti dan perjuangan mereka seperti mengibarkan bendera adalah bertentangan dengan prinsip tersebut kerana mengiktiraf kedaulatan dan kepercayaan kaum berkenaan.

Sementara daripada perspektif fiqh al-mizan, setiap individu perlu memahami bahawa mizan atau neraca terhadap larangan daripada bekerjasama atau menyerupai golongan kafir bertujuan memelihara akidah umat Islam daripada terpesong. Selain itu, larangan tersebut juga bagi menzahirkan pemisahan di antara perkara yang haq dan batil. Perbuatan mengenakan pakaian atau peralatan yang mengandungi logo atau simbol golongan kafir secara tidak langsung telah memperakui atau mengiktiraf kepercayaan serta perjuangan mereka. Lantaran itu, perbuatan sedemikian termasuk dalam kategori perkara yang melampaui batas syarak.

Sehubungan dengan itu, tindakan umat Islam mengibarkan bendera Israel secara asasnya adalah dilarang kerana ia mengandungi unsur-unsur pengakuan atau pengiktirafan terhadap agama, kepercayaan dan perjuangan mereka. Bahkan, kibaran bendera berkenaan juga seolah-olah membenarkan kekejaman dan pembunuhan umat Islam di Gaza dan Palestin.

Pendirian dan Dasar Malaysia terhadap Israel

Kerajaan Malaysia secara konsisten tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat dan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik. Dasar ini sejajar dengan pendirian Malaysia yang menyokong penuh perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut hak kemerdekaan dan kedaulatan negara mereka berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin[4].

Tambahan pula, kerajaan Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Antaranya menerusi kenyataan rasmi Wisma Putra dengan menyifatkan tindakan Israel sebagai “barbaric airstrikes” iaitu tidak bertamadun dan menyeru masyarakat antarabangsa agar segera mengambil tindakan menamatkan kekejaman yang berlaku[5].

Selain itu, dasar imigresen Malaysia juga tidak membenarkan penggunaan pasport Israel untuk masuk ke negara ini kecuali dengan kebenaran khas. Hal ini memperlihatkan keselarasan dasar luar, perundangan dan sikap kemanusiaan Malaysia yang menolak sebarang bentuk hubungan dengan rejim Zionis serta mendukung perjuangan Palestin secara berterusan[6].

Kesimpulan

Berdasarkan dalil dan hujah di atas, umat Islam hendaklah berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan yang menyentuh perihal golongan kafir, khususnya kelompok yang menzahirkan permusuhan dan kezaliman terhadap umat Islam.

Tindakan mengibarkan bendera Israel secara terbuka adalah dilarang kerana ia termasuk dalam perbuatan yang melampaui batas syarak apabila menzahirkan pengiktirafan terhadap kezaliman dan menyinggung sensitiviti umat Islam di seluruh dunia. Selain itu, tindakan tersebut juga bercanggah dengan dasar luar kerajaan Malaysia yang menolak sebarang hubungan dengan Israel.

Oleh itu, umat Islam sewajarnya lebih berhati-hati dan berwaspada dalam perkara yang boleh membawa kepada salah faham atau fitnah terhadap agama Islam dan perjuangan ummah Palestin.

Wallahu a'lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
24 RABIULAKHIR 1447H / 16 OKTOBER 2025
 
 

Rujukan:

[1] al-Husayn ibn Mas‘ud al-Baghawi, Ma‘alim al-Tanzil (Beirut: Dar Tayyibah, 1997), 3:61.

فلا تعتمدوا عليهم ولا تعاشروهم معاشرة الأحباب

[2] Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghayb (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1999), 12:49.

ومعنى لا تتخذوهم أولياء : أي لا تعتمدوا على الاستنصار بهم ، ولا تتوددوا إليهم

[3] ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi, Fayd al-Qadir Sharh al-Jami‘ al-Saghir (Kaherah: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1356H), 6:104.

"أي من تشبّه بالكفار أو الفسّاق في زيّهم أو هيئتهم أو أفعالهم المحرّمة أو شعارهم، فهو منهم في الإثم، وإن لم يكن منهم في الكفر."

[4] “Malaysia Condemns Relentless Suppression Campaign by Israel Against Palestinians.” Prime Minister’s Office Malaysia (PMO), 2 Februari 2023.

[5] “Malaysia Condemns Continued Barbaric Airstrikes by Israel in Gaza.” Wisma Putra Official Statement, 27 Mei 2024.

[6] “Immigration D-G: Nas Daily an Israeli but Came to Malaysia on St. Kitts Passport.” Malay Mail, 19 Oktober 2022.