اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 33/2025: MAQASID AL-TADAYYUN, SARANAN GOLONGAN MUDA DALAM MEMUPUK ISTITA’AH KEWANGAN DAN KESIHATAN DEMI MENUJU KE BAITULLAH

TintaMufti.jpg

 

MAQASID AL-TADAYYUN, SARANAN GOLONGAN MUDA DALAM MEMUPUK ISTITA’AH KEWANGAN DAN KESIHATAN DEMI MENUJU KE BAITULLAH

 

Saranan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Agama Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Bin Mokhtar ke atas golongan muda untuk menabung dalam Lembaga Tabung Haji dan menjaga kesihatan sebagai persediaan untuk menunaikan ibadah haji adalah selari dengan konsep maqasid al-Tadayyun iaitu tujuan individu muslim dalam mengamalkan agama dalam kehidupannya dengan menyempurnakan rukun Islam ke lima.

Dalam menunaikan ibadah haji, antara syarat penting adalah istita’ah iaitu berkemampuan untuk menunaikannya sama ada dari sudut kewangan mahupun kesihatan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya”.

(Surah Ali Imran, 97)

Bagi menghuraikan konsep istita’ah dari sudut kewangan dan kesihatan, imam al-Nawawi menyebut bahawa antara ciri-ciri istita’ah salah satunya adalah sihat tubuh badan. Beliau menjelaskan seperti berikut:

الاسْتِطَاعَةُ نَوْعان: اسْتِطَاعَة مُباشَرَةٍ بنفْسه واسْتِطَاعَةُ تحصِيلِهِ بغَيره، فَالأُوْلَى تتعَلَقُ بخَمْسَة أُمُور: الرَّاحِلَةُ إن كان بَيْنَهُ وبينَ مكَّة مرْحَلَتَان فَصاعداً والزادُ وأَمْن الطريق وصحةُ الْبَدن وإمْكَانُ السيْر

Maksudnya: “Istita’ah terbahagi kepada dua: Istita’ah secara langsung terhadap dirinya dan Istita’ah yang diperoleh melalui bantuan orang lain. Bagi yang pertama (Istita’ah secara langsung terhadap dirinya) tertakluk kepada lima perkara: kenderaan sekiranya jarak antara dirinya dengan Mekah melebihi dua marhalah atau lebih, bekalan, aman perjalanan, sihat tubuh badan dan berkemampuan untuk melakukan perjalanan.” [1]

Selain itu, saranan menyimpan ketika usia muda untuk tujuan ibadah haji juga merupakan satu perkara penting. Hal ini kerana kewangan merupakan salah satu daripada syarat istita’ah sebagaimana yang dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji. Kenyataannya seperti berikut:

والاستطاعة تتحقق بأن يملك الإنسان المال الذي يلزمه لأداء الحج والعمرة،

Maksudnya: “Istita‘ah (berkemampuan) itu terlaksana apabila seseorang memiliki harta yang diperlukan untuk menunaikan haji dan umrah.[2]

Mengambil semangat ini, golongan muda disarankan untuk membudayakan gaya hidup sihat dan mula menyimpan agar dapat memenuhi kriteria panggilan haji apabila tiba waktunya. Bahkan hal ini juga yang dituntut oleh syarak bagi memenuhi tututan rukun Islam ke lima.

Justeru itu, golongan muda perlu mengambil semangat daripada saranan Menteri Hal Ehwal Agama agar mula menabung bagi tujuan ibadah haji dan menjaga kesihatan diri yang sejajar dengan tuntutan maqasid al-Tadayyun dan syarat istita’ah yang menjadi asas kewajipan haji. Kedua-dua aspek ini telah dinyatakan oleh para ulama seperti Imam al-Nawawi dan dijelaskan dalam Fiqh al-Manhaji bahawa seseorang itu hendaklah memiliki harta yang mencukupi dan kesihatan tubuh badan untuk menunaikan ibadah haji bagi memastikan ibadah tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Wallahu’alam

 
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
3 JAMADILAKHIR 1447H / 24 NOVEMBER 2025
 

Rujukan: 

[1] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah. (Beirut: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, 1414H) Hlm. 96

الاسْتِطَاعَةُ نَوْعان: اسْتِطَاعَة مُباشَرَةٍ بنفْسه واسْتِطَاعَةُ تحصِيلِهِ بغَيره، فَالأُوْلَى تتعَلَقُ بخَمْسَة أُمُور: الرَّاحِلَةُ إن كان بَيْنَهُ وبينَ مكَّة مرْحَلَتَان فَصاعداً والزادُ وأَمْن الطريق وصحةُ الْبَدن وإمْكَانُ السيْر

[2] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-fiqkh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al_nashr wa al-Tauz’I, 1413) Jld. 2 Hlm. 123