اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 71/2026: PADAH MALAS MEMBACA, MINDA AKAN TERPENJARA!

TintaMufti.jpg

PADAH MALAS MEMBACA, MINDA AKAN TERPENJARA!

Mukadimah

YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa pendidikan masa depan tidak wajar diukur melalui hafalan fakta semata-mata. Pendidikan masa kini menuntut pembentukan karamah insaniah melalui pembacaan mendalam iaitu keupayaan berfikir matang, menilai maklumat secara beretika dan memahami makna ilmu secara menyeluruh. Bertitik tolak daripada kesedaran ini, budaya membaca wajar digerakkan sebagai teras pembangunan negara.[1]

Budaya membaca bukan sekadar dokumen dasar. Ia juga merupakan satu amaran bahawa minda yang tidak diasah akan mudah dipermainkan. Bagi menangkis ancaman ini, pembacaan kritis diperlukan untuk membentuk daya fikir, membolehkan manusia menilai maklumat dan membuat keputusan rasional. Tanpa budaya membaca sebagai benteng, minda menjadi lemah dan pasif.[2]

Namun, realiti semasa menunjukkan gambaran berbeza. Laporan literasi antarabangsa bagi pelajar berusia 15 tahun mencatatkan hanya 42 peratus pelajar Malaysia mencapai tahap kefahaman minimum. Hampir tiada pelajar mencapai tahap tertinggi. Keadaan ini menandakan risiko generasi yang mampu mengeja, tetapi gagal memproses maklumat kompleks. Mereka sukar membezakan fakta daripada palsu dan lemah dalam membuat pertimbangan yang rasional. Ketidakmampuan ini menimbulkan jurang besar antara aspirasi pendidikan dengan kemampuan sebenar generasi muda.[3]

Justeru itu, naratif budaya membaca perlu diperhalusi dan dihayati. Ia bukan sekadar agenda negara. Ia asas ketahanan minda. Tanpa membaca, minda menyerah kepada kejahilan dan manipulasi. Tanpa membaca, masyarakat berisiko kehilangan daya saing dan tamadun mudah terdedah kepada kemerosotan intelektual.

Iqra’ sebagai Manifestasi Kekuatan Minda

Dalam Islam, membaca bukan sekadar kemahiran asas, sebaliknya ia adalah mekanisme pembinaan akal dan pemerdekaan minda. Wahyu pertama tidak dimulakan dengan hukum atau ritual, tetapi dimulakan dengan seruan membaca. Perintah ini menegaskan bahawa kebangkitan insan dan tamadun bermula daripada kesedaran intelektual, sebagaimana firman Allah SWT:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”

Surah al-Alaq (1)

Menurut al-Maraghi, perintah Iqra’ bukan sekadar suruhan teknikal. Ia ialah latihan berfikir yang disengajakan, bukannya satu proses yang lahir secara spontan. Ia terbina melalui pengulangan dan pembiasaan. Sebab itu perintah Ilahi diulang. Pengulangan ini menggantikan keperluan mengulang bahan bacaan secara literal. Ia melatih akal secara berterusan. Hasilnya, bacaan berubah menjadi malakah. Ia menjadi keupayaan berfikir yang stabil dan sebati dalam diri. Inilah pembentukan minda yang tidak rapuh dan tidak mudah goyah.[4]

Kekuatan minda tidak terbina secara segera. Latihan minda melalui bacaan berulang membolehkan pemikiran menjadi mantap dan stabil. Akal yang tidak diasah mudah keliru dan cepat jemu. Bacaan yang konsisten melatih akal untuk memahami secara mendalam, membentuk disiplin berfikir dan menghalang pemikiran reaktif atau emosional. Hafalan tanpa kefahaman hanya menghasilkan ingatan kosong, manakala bacaan berpaksikan wahyu membina pemikiran yang tersusun, kukuh dan mampu bertahan apabila diuji.

Selain itu, keupayaan membaca yang tinggi juga terbukti berkait langsung dengan kematangan berfikir. Individu yang benar-benar menguasai bacaan tidak sekadar memahami teks. Mereka mampu mentafsir makna tersirat. Mereka menilai maklumat secara kritikal. Mereka menggunakan pengetahuan untuk membuat keputusan yang berasas. Keupayaan ini melahirkan pemikiran rasional dan terarah. Ia membantu seseorang mengurus maklumat yang kompleks. Ia juga membolehkan masalah dianalisis secara sistematik. Sebaliknya, kelemahan membaca menjejaskan keupayaan menilai kebenaran. Maklumat diterima secara mentah. Emosi mengatasi rasional. Pertimbangan menjadi longgar. Dalam keadaan ini, minda mudah dipengaruhi dan sukar berdiri secara intelektual.[5]

Dalam konteks tempatan, data pendidikan menunjukkan penguasaan literasi membaca masih berdepan cabaran yang ketara. Isu ini tidak boleh disempitkan sebagai kelemahan akademik semata-mata. Ia mencerminkan ketahanan minda masyarakat secara keseluruhan. Apabila membaca menjadi lemah, maka daya fikir turut merosot. Apabila daya fikir merosot, maka keupayaan menilai maklumat turut runtuh. Ruang manipulasi terbuka luas. Kekeliruan mudah tersebar.

Dalam realiti ini, seruan Iqra’ kembali menampakkan relevannya. Ia bukan sekadar tuntutan ibadah. Ia ialah mekanisme pembebasan minda melalui latihan berterusan dan pembiasaan yang berdisiplin. Daripadanya lahir daya intelektual dalam menaakul perkara. Tanpanya, minda terperangkap dalam kejahilan moden. Dengannya, terbina insan yang berupaya berfikir, menilai dan bertindak secara bertanggungjawab dalam tamadun ilmu.[6]

Iqra’ adalah Kunci Penguasaan Dunia

Apabila seruan Iqra’ dihayati, maka budaya membaca menjadi asas pembebasan intelektual dan pembinaan ilmu. Semangat Iqra’ seperti ini melangkaui bacaan ritual kepada pembacaan strategik yang menyingkap sunnatullah, memahami sistem alam dan mengurus realiti dunia. Ibn Khaldun menegaskan bahawa kekuatan sesebuah tamadun bergantung kepada penguasaan ilmu dan kemahiran (sina‘ah). Tanpa budaya membaca yang mendalam, umat hanya menjadi pengguna teknologi dan sistem orang lain, bukan peneraju yang menentukan hala tuju sejarah.[7]

Sejarah membuktikan bahawa dunia tidak dikuasai oleh bangsa yang memiliki tentera paling besar, tetapi oleh bangsa yang menegakkan budaya ilmu. Kegemilangan Tamadun Islam pada era Abbasiyah bukan dibina semata-mata di medan perang, tetapi di medan fikir. Bayt al-Hikmah di Baghdad menjadi pusat intelektual yang mengumpul, menterjemah dan mengembangkan ilmu dunia. Bahasa Arab berkembang sebagai bahasa ilmu dan sains antarabangsa kerana tradisi membaca dan menilai yang kukuh.[8]

Apabila budaya membaca terhakis, maka kunci penguasaan berpindah tangan. Barat bangkit melalui gerakan penterjemahan karya-karya sarjana Islam. Francis Bacon merumuskan secara tegas dengan ungkapan Scientia Potentia Est yang bermaksud ilmu ialah kuasa.[9] Penguasaan ilmu secara sistematik menjadi asas kepada revolusi sains, teknologi dan industri yang membentuk kuasa dunia. Sesiapa yang membaca, menguasai dan menafsir maklumat dengan kritis, lantas menguasai hala tuju sejarah. Sebaliknya umat yang malas membaca, memenjarakan minda sendiri dan kehilangan kuasa intelektual.

Kebiasaan Membaca adalah kunci Pembebasan Minda

Membaca bukan sekadar aktiviti akademik atau persediaan peperiksaan tetapi ia merupakan proses memahami makna, menilai isi kandungan dan melatih minda untuk berfikir. Sekiranya membaca dilakukan atas dasar paksaan, maka keseronokan membaca sukar diperoleh secara semula jadi dan perhatian pembaca mudah teralih fokus kepada perkara lain yang lebih menarik. Oleh yang demikian, masyarakat perlu didorong membaca secara sukarela dengan pembentukan karakter ingin tahu terhadap ilmu. Kegagalan dalam membudayakan membaca boleh mengakibatkan minda terjerat dan melemahkan daya nilai dan pertimbangan rasional.

Salah satu teknik untuk memupuk budaya membaca harian adalah bermula dengan sasaran yang sederhana seperti bacaan ringan mengikut minat dan genre sendiri. Konsistensi harian lebih penting daripada jumlah halaman. Apabila minat terbina, maka aktiviti membaca berubah menjadi pengalaman yang menyeronokkan dan memupuk keinginan untuk membaca lebih mendalam. Kebiasaan ini melatih minda menjadi kritis, stabil dan mampu menangani maklumat kompleks.

Kebiasaan membaca yang teratur membebaskan minda daripada kemalasan dan kejahilan. Rentetatan itu, membaca yang menjadi rutin harian akhirnya melahirkan insan yang mampu menilai, berfikir rasional dan berdikari secara intelektual sekaligus menegakkan ketahanan minda dan tamadun ilmu.

Cabaran dan Peluang Membaca di Era Digital

Dalam era digital, amalan membaca semakin terhad kepada teks ringkas di paparan skrin, manakala penggunaan peranti telefon pintar yang berpanjangan menyebabkan sebahagian besar masa harian dihabiskan di hadapan skrin. Majoriti penduduk Malaysia tidak memperoleh maklumat daripada sumber formal. Sebaliknya, media sosial l kini menjadi perantaraan penting dalam membentuk pemahaman dan tafsiran masyarakat terhadap pelbagai maklumat.

Dari sudut cabarannya, ia menjejaskan fokus dan kefahaman secara mendalam kerana membaca digital cenderung bersifat pecahan maklumat dan mudah mengalih perhatian pembaca.[10] Akibatnya, minda sukar mengurus maklumat kompleks, lemahnya daya nilai dan kemampuan berfikir kritis terjejas.

Situasi cabaran tersebut sepatutnya dilihat sebagai satu peluang bagi pihak autoriti untuk menghasilkan informasi dan input yang holistik untuk dimuat naik melalui laman sesawang serta media sosial rasmi bagi membentuk pemikiran rakyat secara lebih terarah. Rangsangan minda juga boleh dibentuk melalui literasi digital yang tersusun dengan memberi penekanan kepada cara pemilihan topik yang sesuai dan menarik secara peribadi dan pemilihan bahan bacaan berdasarkan minat individu terhadap genre tertentu.

Bacaan ringkas melalui peranti mudah alih memudahkan interaksi dengan ilmu walaupun seketika. Dari titik permulaan ini, pembaca boleh beralih secara berperingkat kepada teks fizikal dan bacaan lebih panjang selaras dengan tradisi membaca generasi terdahulu. Pendekatan ini bukan tekanan baharu, tetapi latihan berterusan yang menanam rasa ingin tahu dan membentuk kebiasaan membaca yang kukuh.[11]

Gabungan bacaan digital dan cetak yang konsisten membentuk disiplin membaca dan meningkatkan kemampuan menilai maklumat secara rasional.[12] Apabila membaca menjadi kebiasaan harian, maka minda bebas daripada pengaruh maklumat dangkal dan kejahilan digital. Dengan cara ini, membaca bukan sekadar aktiviti akademik, tetapi jalan pembebasan minda dan pembangunan daya intelektual secara menyeluruh.

Penutup

Tuntasnya, malas membaca menjejaskan penghayatan agama dan pembangunan tamadun. Tanpa bacaan kritis, minda mudah terperangkap dalam tafsiran sempit atau ekstrim dan akal budi rakyat tidak berkembang sepenuhnya. Kekuatan negara bukan sekadar pada fizikal atau teknologi, tetapi terletak pada kemampuan warganya berfikir dan menilai dengan matang. Negara yang maju tetapi rakyatnya kurang berilmu berisiko kehilangan daya intelektual dan keupayaan membuat keputusan yang tepat.

Bagi masyarakat, membaca adalah alat untuk membebaskan minda dan mengasah kemampuan menilai maklumat. Amalan ini membentuk ketahanan intelektual, menajamkan pemikiran kritis dan melindungi diri daripada naratif yang menyesatkan. Apabila membaca dijadikan rutin, maka ia melahirkan individu yang berdikari dalam berfikir, malahan melahirkan masyarakat yang mampu membezakan fakta daripada khabar palsu serta berdaya saing dalam kehidupan moden.

Bagi pihak berkuasa dan agensi kerajaan, budaya membaca perlu dijadikan agenda strategik. Langkah praktikal seperti mewujudkan ruang bacaan di rumah, perpustakaan mini, program literasi digital dan aktiviti membaca berstruktur dapat melahirkan rakyat berpengetahuan dan berdaya fikir. Mengabaikan pembangunan minda sama seperti membiarkan generasi masa depan terdedah kepada kelemahan intelektual dan risiko manipulasi maklumat.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

9 SYAABAN 1447H / 28 JANUARI 2026

 

[1] Pejabat Perdana Menteri Malaysia, Teks Verbatim Ucapan YAB Perdana Menteri: Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, dicapai daripada https://www.pmo.gov.my/ms/ucapanterkini/teks-verbatim-ucapan-yab-perdana-menteri-majlis-peluncuran-rancangan-pendidikan-negara-2026-2035/

[2] Ibid

[3] OECD, PISA 2022 Results: Malaysia Country Note, OECD Publishing, 2023, dicapai daripada https://www.oecd.org/content/dam/oecd/en/publications/reports/2023/11/pisa-2022-results-volume-i-and-ii-country-notes_2fca04b9/malaysia_7246995f/1dbe2061-en.pdf

[4] Ahmad bin Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi (Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabi wa-Awladih, 1946), 30: 199:

(اقْرَأْ) أي افعل ما أمرت به من القراءة. وكرر الأمر لأن القراءة لا تكسبها النفس إلا بالتكرار والتعود على ما جرت به العادة وتكرار الأمر الإلهى يقوم مقام تكرار المقروء، وبذلك تصير القراءة ملكة للنبى صلى الله عليه وسلم، تدبر قوله تعالى: «سَنُقْرِئُكَ فَلا تَنْسى» .

[5] OECD, PISA 2022 Results (Volume I): The State of Learning and Equity in Education, https://doi.org/10.1787/53f23881-en

[6] OECD, PISA 2022 Results (Malaysia country notes), https://www.oecd.org/en/publications/pisa-2022-results-volume-i-and-ii-country-notes_ed6fbcc5-en/malaysia_1dbe2061-en.html

[7] Ssekamanya, S. A., Ibn Khaldun on the Role of Knowledge, Skills and Values in the Rise and Fall of Civilizations (Kuala Lumpur: IIUM Repository, 2007), http://irep.iium.edu.my/35/1/Educational_Awakening_v4n1y2007.pdf

[8] Bayt al-Ḥikmah: House of Wisdom, Islam, Significance, & Baghdad. Encyclopedia Britannica, 2024. https://www.britannica.com/place/Bayt-al-Hikmah.

[9] Knowledge is Power. Jurnal Perubatan & Sains Sosial (PMC - National Institutes of Health). https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC5939128/.

[10] Which Reading Comprehension is Better? A Meta‑Analysis of the Effect of Paper Versus Digital Reading in the Last Twenty Years, Telematics and Informatics Reports, vol. 14 (2024), https://doi.org/10.1016/j.teler.2024.100142.

[11] Naomi S. Baron, Words Onscreen: The Fate of Reading in a Digital World (Oxford: Oxford University Press, 2015), 101–115.

[12] A Quantitative Study between Reading Habits and Reading Comprehension of Grade 11 Students, International Journal of Research and Innovation in Social Science, diakses 27 Januari 2026, https://rsisinternational.org/journals/ijriss/articles/a-quantitative-study-between-reading-habits-and-reading-comprehension-of-grade-11-students/.