اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 84/2026: PENGHINAAN TERHADAP AL-QURAN: TINDAKAN MELAMPAU YANG PERLU DIKENAKAN HUKUMAN TEGAS

TintaMufti.jpg

 

PENGHINAAN TERHADAP AL-QURAN: TINDAKAN MELAMPAU YANG PERLU DIKENAKAN HUKUMAN TEGAS

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Tindakan menghina al-Quran dengan cara memijaknya adalah satu perbuatan yang sangat biadab, melampau dan tidak boleh diterima sama sekali, khususnya di dalam negara Malaysia yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Apatah lagi ia berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia yang turut dikenali sebagai bulan al-Quran yang diagungkan oleh umat Islam. Kitab al-Quran merupakan kalam Allah SWT dan kitab suci umat Islam yang wajib dijaga dan dipelihara kesuciaannya. Selain itu, memuliakan al-Quran adalah lambang ketakwaan sepertimana firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar agama Allah, maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari ketakwaan hati.

(Surah Al-Hajj: 32)

Selain itu, hal ini jika dilakukan oleh seorang muslim maka hukum perbuatan memijak al-Quran tersebut adalah haram dan berdosa, bahkan jika dilakukan dengan tujuan menghina boleh menyebabkan dia menjadi murtad dan kafir secara ijma’ ulama. Imam al-Nawawi menyebutkan hal ini dengan berkata:

وأجمعوا على ان من استخف بالقرآن أو بشئ منه ‌أو ‌بالمصحف أو ألقاه في قاذورة أو كذب بشئ مما جاء به من حكم أو خبر أو نفى ما أثبته أو أثبت ما نفاه أو شك في شئ من ذلك وهو عالم به كفر.

Maksudnya: Para ulama telah berijma’ bahawa sesiapa yang meremehkan Al-Quran atau sebahagian daripadanya, atau meremehkan mushaf atau membuangnya ke tempat kotor, atau mendustakan sesuatu yang dibawa olehnya sama ada berupa hukum atau berita, atau menafikan sesuatu yang telah ditetapkan olehnya, atau menetapkan sesuatu yang telah dinafikan olehnya, atau ragu-ragu tentang sesuatu daripadanya sedangkan dia mengetahuinya, maka dia telah kafir.[1]

Manakala bagi orang bukan Islam yang melakukan perbuatan menghina perkara suci dalam agama Islam akan diberikan balasan azab yang pedih atas perbuatan penghinaan mereka tersebut. Firman Allah SWT:

وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ ‎﴿١٠﴾

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.

(Surah al-An’am: 10)

Imam Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa golongan kafir itu akan ditimpakan azab yang dahsyat dimana mereka menyangkan bahawa azab itu tidak akan berlaku ke atas mereka.[2]

Oleh yang demikian, umat Islam wajib berasa marah dan menolak perbuatan ini secara tegas. Ketegasan di sini bermaksud kita mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang sekeras-kerasnya terhadap pelaku tanpa sebarang kompromi. Hal ini supaya kejadian yang biadab seperti ini tidak akan berulang lagi oleh mana-mana pihak pada masa hadapan kesan daripada hukuman yang tegas tersebut.

Dalam kejadian yang menimbulkan kemarahan ini, Islam mengajar kita untuk menjadi umat yang bijaksana dalam mengambil tindakan yang tepat bagi menangani dengan berkesan dan berhikmah. Oleh itu, umat Islam tidak boleh membiarkan provokasi murahan ini mengheret mereka kepada konflik yang lebih besar. Api kemarahan yang tidak terkawal kelak ia membawa kepada kerugian dan akibat yang sukar dibaiki .

Selain itu, perbuatan menghina perkara suci dalam Islam seperti ini menunjukkan kepada tanda jiwa dan hati yang rosak serta kejahilan diri yang mendalam. Oleh itu, ia perlu dihukum dengan sepatutnya dan dididik dengan cara yang sewajarnya. Oleh itu, Rasulullah SAW telah mengingatkan kita tentang erti kekuatan yang sebenar bukanlah dengan menunjukkan kekuatan fizikal tetapi kemampuan seseorang menahan diri ketika marah. Sabda Rasulullah SAW:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Maksudnya: Orang yang kuat itu tidak dinilai dengan kekuatan pergelutan. Sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.

(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Oleh yang demikian, dalam berhadapan dengan golongan yang jahil atau sengaja membangkitkan kemarahan, Allah SWT mengajar kita untuk membalasnya dengan pendekatan yang lebih baik dan matang agar kebenaran Islam itu lebih terserlah. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Maksudnya: Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

(Surah Fussilat: 34)

Sikap matang dan berhikmah dalam mengambil tindakan bukan sahaja dapat menyelesaikan isu dengan berkesan, tetapi juga dapat mengelakkan daripada pelbagai konflik lain yang tidak sepatutnya timbul. Inilah cara dan kaedah yang betul diajarkan oleh Islam dalam menangani isu-isu seperti ini. Oleh yang demikian, kita perlu menyerahkan urusan ini kepada pihak berkuasa agar diberikan hukuman tegas dan setimpal dengan perbuatan biadab yang telah dilakukan tersebut. Selain itu, umat Islam dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri yang dibimbangi membawa kepada konflik yang lebih besar.

Berdasarkan perkembangan semasa, tindakan sudah diambil terhadap individu terbabit dan sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkfili Hasan dan Menteri Komunikasi, YB Dato’ Ahmad Fahmi Fadzil dan pelbagai agensi kerajaan yang lain telah mengeluarkan kenyataan masing-masing yang mengecam keras perbuatan tersebut dan menegaskan bahawa ia merupakan tindakan biadab yang menghina Islam serta mencabar sensitiviti masyarakat, di samping memberi jaminan bahawa siasatan dan tindakan tegas akan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang sedia ada. Justeru dengan hukuman tegas yang bakal dikenakan kepada individu tersebut diharapkan tiada lagi pihak yang sengaja menimbulkan permusuhan dan provokasi terhadap isu 3R (Religion, Race and Royalty) dalam negara yang tercinta ini.

Waallahu a’lam.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

8 RAMADAN 1447H / 26 FEBRUARI 2026

 

Rujukan:

[1] Al-Nawawi, Muhyiddin ibn Syaraf, al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab (Kaherah: al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H), jld. 2, hlmn. 170.

[2] Ibn Kathir, Isma’il ibn Umar, Tafsir Ibn Kathir (Riyadh: Dar al-Tiybah, 1999), jld. 5, hlmn. 344.


يَعْنِي: مِنَ الْعَذَابِ الَّذِي كَانُوا يَسْتَبْعِدُونَ وُقُوعَهُ.