
STATUS SYAHID BAGI PEMIMPIN ISLAM YANG TERKORBAN DALAM SERANGAN TENTERA MUSUH
Syahid adalah merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Mereka yang mati syahid difirmankan oleh Allah SWT sebagai orang yang hidup dan mendapat pelbagai nikmat yang dikurniakan kepada mereka. Firman Allah SWT:
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ﴿١٦٩﴾ فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿١٧٠﴾
Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (169) (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (170) Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman”.
[Surah āl `Imrān, 169-170]
Syahid secara umumnya dibahagikan kepada tiga kategori utama: (i) syahid dunia dan akhirat (mereka yang gugur di medan perang), (ii) syahid akhirat sahaja (mereka yang meninggal dunia dalam keadaan tertentu yang dijanjikan ganjaran syahid di akhirat, dan (iii) syahid dunia sahaja, iaitu mereka yang mati di medan perang, namun niatnya bukan kerana Allah SWT.[1]
Kata al-Khaṭīb al-Shirbīniy ketika menghuraikan hukum berkaitan syahid dunia dan akhirat:[2]
(وَلَا يُغَسَّلُ الشَّهِيدُ وَلَا يُصَلَّى عَلَيْهِ) أَيْ يَحْرُمَانِ؛ لِأَنَّهُ حَيٌّ بِنَصِّ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “tidak dimandikan orang yang mati syahid dan tidak disolatkan ke atasnya, iaitu kedua-duanya diharamkan, kerana dia dianggap hidup berdasarkan nas al-Quran”.
Hukum ini hanya terpakai bagi mereka yang dikategorikan sebagai syahid dunia dan akhirat, iaitu mereka yang terbunuh di dalam medan perang. Kata Imam al-Shīrāziy:[3]
ومن مات من المسلمين في جهاد الكفار بسبب من أسباب قتالهم قبل انقضاء الحرب فهو شهيد لا يغسل ولا يصلى عليه
Maksudnya: “sesiapa daripada kalangan orang Islam yang mati dalam jihad menentang orang kafir disebabkan oleh salah satu sebab daripada sebab-sebab peperangan mereka sebelum tamat peperangan, maka dia adalah syahid; tidak dimandikan dan tidak disolatkan ke atasnya”.
Selain itu, terdapat juga dalam hadis-hadis lain yang menunjukkan bahawa terdapat punca-punca kematian lain yang juga dikategorikan sebagai mati syahid, antaranya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الشُّهداءُ خمسةٌ: المطعونُ والمبطونُ والغرِقُ وصاحبُ الهدمِ والشَّهيدُ في سبيلِ اللهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang mati kerana wabak taun, orang yang mati kerana penyakit perut, orang yang mati lemas, orang yang mati ditimpa runtuhan, dan orang yang mati syahid di jalan Allah”.
[Muttafaq ‘Alayh]
Imam al-Nawawi menjelaskan mengenai hukum-hukum bagi orang yang dianggap sebagai mati syahid akhirat sahaja seperti berikut:
الشهداء الذين لم يموتوا بسبب حرب الكفار كالمبطون والمطعون والغريق وصاحب الهدم والغريب والميتة في الطلق ومن قتله مسلم أو ذمي أو مأثم في غير حال القتال وشبههم فهؤلاء يغسلون ويصلى عليهم بلا خلاف
Maksudnya: “Orang yang mati syahid yang tidak mati kerana peperangan melawan orang kafir seperti orang yang mati kerana penyakit perut, mati kerana wabak taun, mati lemas, mati ditimpa runtuhan, mati dalam keadaan asing (perantauan), wanita yang meninggal ketika melahirkan, serta orang yang dibunuh oleh seorang Muslim atau zimmi atau terbunuh secara zalim bukan dalam keadaan peperangan dan yang seumpamanya, maka mereka ini dimandikan dan disolatkan tanpa sebarang khilaf”.
Rasulullah SAW dalam hadis lain menjelaskan beberapa aspek yang perlu untuk dipertahankan, dan seseorang yang terkorban akibat mempertahankan aspek-aspek ini dianggap sebagai syahid, iaitu aspek harta, agama dan keluarga. Berdasarkan hadis ini juga, dapat difahami bahawa setiap orang Islam yang meninggal dunia kerana mempertahankan salah satu daripada aspek ini adalah dianggap sebagai mati syahid. Sa`īd bin Zayd RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:
مَنْ قُتِلَ دُونَ مالِهِ فهوَ شَهيدٌ. ومَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فهوَ شَهيدٌ. ومَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فهوَ شَهيدٌ، ومَنْ قُتِلَ دُونَ أهلِهِ فهوَ شَهيدٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia ialah syahid. Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia ialah syahid. Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya (nyawanya), maka dia ialah syahid. Dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia ialah syahid”.
[Riwayat al-Tirmizi]
Dari sudut ini, seorang pemimpin negara Islam boleh dianggap sebagai seorang yang sedang memikul tanggungjawab untuk menjaga aspek-aspek yang dinyatakan di atas, kerana seorang pemimpin hakikatnya dia menjaga harta miliknya sendiri serta harta milik rakyatnya daripada diceroboh pihak musuh, dia juga memelihara dirinya serta memelihara nyawa seluruh rakyatnya, dan juga dia sedang memelihara keluarganya dan juga keluarga besarnya yang terdiri daripada seluruh rakyatnya.
Kematian seorang pemimpin negara Islam akibat tindakan musuh, adalah merupakan suatu tindakan keganasan dan pencerobohan terhadap kedaulatan negara dan nyawa. Oleh itu, kematian sedemikian dianggap sebagai mati syahid kerana ia adalah akibat langsung daripada permusuhan terhadap umat Islam dan pemimpin mereka. Ia jatuh dalam kategori kematian yang berpunca daripada kezaliman dan mempertahankan diri serta negara.
WaLlāhu A’lam
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
15 RAMADAN 1447H / 5 MAC 2026
Rujukan:
[1] Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Nawawi (1347H), al-Majmū' Sharḥ al-Muhadhdhab, Kaherah: Idārah al-Tibāʻah al-Munīriyyah, 5:264.
[2] Shams al-Dīn Muḥammad al-Khaṭīb al-Shirbīniy (1994), Mughnī al-Muḥtāj ilā Maʻrifah Maʻānī al-Minhāj, Beirut: Dār al-Kutub al-'Ilmiyyah, 2:33.
[3] Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Nawawi (1347H), al-Majmū' Sharḥ al-Muhadhdhab, Kaherah: Idārah al-Tibāʻah al-Munīriyyah, 5:260.