اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 87/2026: DADAH MENGANCAM KESEJAHTERAAN NEGARA

TintaMufti.jpg

 

DADAH MENGANCAM KESEJAHTERAAN NEGARA

Pendahuluan

Isu penyalahgunaan dadah bukan lagi sekadar masalah individu, bahkan telah menjadi ancaman serius terhadap kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara. Dalam konteks Malaysia, masalah ini memberi kesan langsung kepada struktur sosial, kestabilan ekonomi serta pembangunan negara. Oleh itu, pendekatan menyeluruh yang melibatkan aspek undang-undang, pendidikan, sosial, kesihatan dan agama amat penting bagi mengekang penularan gejala ini.

Dadah Sebagai Ancaman Negara

Dadah merupakan bahan yang memberi kesan terhadap sistem saraf manusia sehingga menyebabkan perubahan terhadap fungsi fizikal, emosi dan mental seseorang. Penyalahgunaan bahan ini boleh membawa kepada ketagihan yang akhirnya merosakkan kehidupan individu serta memberi impak kepada keluarga dan masyarakat.

Dari sudut keselamatan negara, penyalahgunaan dadah boleh menyumbang kepada peningkatan jenayah seperti kecurian, pemanduan secara berbahaya, rompakan, keganasan dan kegiatan pengedaran dadah secara terancang. Sindiket dadah yang semakin kompleks juga sering berkait dengan rangkaian jenayah antarabangsa yang boleh menggugat kestabilan negara.

Selain itu, generasi muda yang terjebak dengan dadah berpotensi kehilangan produktiviti dan masa depan mereka. Jika fenomena ini tidak ditangani secara serius, ia boleh menjejaskan pembinaan modal insan negara yang sepatutnya menjadi tonggak kepada kemajuan dan kemakmuran negara.

Kesan Terhadap Ekonomi Negara

Dari perspektif ekonomi, penyalahgunaan dadah membawa implikasi yang besar kepada negara. Kerajaan perlu menanggung kos yang tinggi untuk rawatan pemulihan penagih, penguatkuasaan undang-undang, operasi keselamatan serta program pencegahan.

Di samping itu, ketagihan dadah juga menjejaskan produktiviti tenaga kerja. Individu yang terlibat dengan dadah sering mengalami kemerosotan prestasi kerja, masalah disiplin dan kesihatan yang serius. Hal ini menyebabkan kerugian kepada sektor industri dan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Lebih membimbangkan, penglibatan individu dalam pengedaran dadah turut mewujudkan ekonomi gelap yang tidak memberi manfaat kepada negara bahkan merosakkan struktur ekonomi yang sah. Wang hasil daripada aktiviti haram ini sering disalurkan kepada kegiatan jenayah lain yang akhirnya memberi kesan kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara.

Hukum Fiqh Berkaitan Dadah

Dalam perspektif Islam, penggunaan dadah yang memudaratkan adalah diharamkan. Prinsip asas dalam syariat Islam ialah memelihara lima perkara utama (maqasid al-syariah), iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dadah secara jelas merosakkan akal manusia dan seterusnya membawa kepada kemudaratan terhadap aspek-aspek yang lain.

Para ulama mengqiyaskan ‘illah hukum dadah dengan arak kerana kedua-duanya mempunyai kesan yang memabukkan dan merosakkan akal. Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ وَمَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فِي الدُّنْيَا فَمَاتَ وَهُوَ يُدْمِنُهَا لَمْ يَتُبْ لَمْ يَشْرَبْهَا فِي الآخِرَةِ

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah khamr, dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum arak di dunia ini lalu meninggal dunia dalam keadaan ketagih kepadanya dan tidak bertaubat, maka dia tidak akan diberi minum di akhirat.”

Riwayat Muslim

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

Maksudnya: “Apa sahaja yang memabukkan sama ada banyak atau sedikit, ia adalah haram.”

Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi

Berdasarkan sabda Nabi SAW, Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa semua jenis yang memabukkan adalah haram. Ini merangkumi apa sahaja bahan memabukkan, sama ada yang telah wujud pada zaman Rasulullah SAW mahupun yang muncul selepasnya.[1]

Berdasarkan kaedah fiqh,

الأصْلُ فِي الأشْيَاءِ الضَّارَّةِ التَّحْرِيم

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara yang memberi kemudaratan adalah haram.”

Maka segala perkara yang membawa kepada kerosakan terhadap individu dan masyarakat wajib dicegah. Oleh itu, penyalahgunaan dadah bukan sahaja haram dari sudut syarak, bahkan menjadi tanggungjawab pemerintah dan masyarakat untuk membendungnya.

Dadah dikategorikan sebagai bahan racun yang mempunyai tahap kemudaratan yang lebih tinggi dan berbahaya berbanding arak. Walaupun pada dasarnya haram, penggunaan dadah untuk tujuan rawatan dalam kadar terkawal yang tidak memudaratkan adalah diharuskan oleh para ulama atas dasar kaedah fiqh “al-Darurah Tubih al-Mahzurat” (keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang) dengan syarat penggunaannya benar-benar diperlukan, terkawal dan tidak membawa kepada penyalahgunaan.

Oleh itu, pemberian dan penggunaan bahan tersebut mestilah dikendalikan sepenuhnya oleh badan berautoriti atau pakar perubatan bertauliah, bukannya ditentukan oleh individu secara sendirian bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Pendekatan Harm Reduction dalam Menangani Dadah

Dalam usaha menangani isu dadah secara lebih berkesan, pendekatan harm reduction atau pengurangan kemudaratan turut diberi perhatian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pendekatan ini tidak bertujuan menghalalkan penggunaan dadah, tetapi bertujuan mengurangkan kesan buruk yang lebih besar terhadap individu dan masyarakat.

Contohnya, program rawatan dan pemulihan seperti Methadone Maintenance Therapy (MMT)[2] serta Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP)[3] dilaksanakan bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit seperti HIV dalam kalangan penagih dadah suntikan. Pendekatan ini juga membantu penagih mendapatkan rawatan secara berperingkat sehingga mereka mampu keluar daripada kitaran ketagihan.

Dari perspektif fiqh, pendekatan ini boleh difahami melalui kaedah

ارتكاب أخف الضررين

Maksudnya: “Mengambil mudarat yang lebih ringan antara dua mudarat.”

Maka pendekatan ini ialah dengan memilih kemudaratan yang lebih ringan bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar. Dalam keadaan tertentu, langkah-langkah yang bertujuan mengurangkan kemudaratan boleh dipertimbangkan selagi tidak membawa kepada penggalakan penggunaan dadah secara terbuka.

Pendekatan ini juga selari dengan prinsip maqasid syariah khususnya dalam memelihara nyawa (hifz al-nafs) dan akal (hifz al-‘aql). Oleh itu, program pengurangan kemudaratan perlu dilaksanakan secara berhati-hati, disertai dengan usaha pendidikan, rawatan dan pemulihan yang berterusan agar matlamat utama iaitu pembebasan individu daripada ketagihan dadah dapat dicapai.

Wallahu a'alam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

16 RAMADAN 1447H / 6 MAC 2026

 

Rujukan:

 

Penutup

Kesimpulannya, dadah merupakan ancaman serius yang boleh merosakkan kesejahteraan negara dari sudut sosial, keselamatan dan ekonomi. Dalam kerangka Islam, penyalahgunaan dadah jelas diharamkan kerana ia merosakkan akal dan membawa kepada pelbagai kemudaratan. Usaha membanteras gejala ini memerlukan pendekatan yang menyeluruh, termasuk penguatkuasaan undang-undang, pendidikan masyarakat, rawatan pemulihan serta pendekatan kesihatan awam seperti harm reduction. Selain itu, usaha membanteras ancaman dadah dapat diperkukuh melalui kerjasama padu daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi agama, keluarga, dan masyarakat. Kerjasama ini amat penting untuk membentuk masyarakat yang bebas dadah, berakhlak mulia, dan hidup dalam kesejahteraan. Wallahua’lam.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

16 RAMADAN 1447H / 6 MAC 2026

[1] Ibn Rajab al-Hanbali, Jami’ al-’Ulum wa al-Hikam fi Syarh Khamsin Hadithan min Jawami’ al-Kalim, ed. Syu’aib al-Arna’ut & Ibrahim Bajis (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2001), jld. 2: hlm. 463.

وَقَدْ كَانَتِ الصَّحَابَةُ تَحْتَجُّ بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ» عَلَى تَحْرِيمِ جَمِيعِ أَنْوَاعِ الْمُسْكِرَاتِ، مَا كَانَ مَوْجُودًا مِنْهَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَا حَدَثَ بَعْدَهُ

[2] Harm Reduction, laman sesawang Malaysian AIDS Council, https://mac.org.my/v4/harm-reduction/.

[3] Program Harm Reduction (Program Pertukaran Jarum dan Pemberian Kondom), Kementerian Kesihatan Malaysia, https://infosihat.moh.gov.my/penerbitan-multimedia/flyer/item/harm-reduction.html.