اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 93/2026: KEPENTINGAN WACANA FIQH HIBURAN DALAM INDUSTRI PERFILEMAN DAN LAKONAN

TintaMufti.jpg

KEPENTINGAN WACANA FIQH HIBURAN DALAM INDUSTRI PERFILEMAN DAN LAKONAN

Mutakhir ini, kita sedang menyaksikan realiti dunia hiburan yang semakin bercambah, selari dengan kepesatan era teknologi digital yang menyediakan akses tanpa sempadan kepada segenap lapisan masyarakat. Segala bentuk halwa telinga dan pandangan kini berada di hujung jari, semudah menekan butang pada skrin telefon pintar. Antara wadah hiburan yang paling dominan ialah industri perfileman dan lakonan, di mana statistik terkini menunjukkan trend peningkatan yang signifikan dalam penghasilan filem serta drama di Malaysia.

Meskipun tidak dinafikan bahawa pertumbuhan industri ini memberikan impak positif terhadap ekonomi negara, namun kita tidak boleh menutup mata terhadap kelompongan yang wujud daripada aspek etika dan nilai keagamaan. Natijahnya, wujud kesan negatif yang mampu menggugat keharmonian masyarakat, terutamanya melalui karya seni yang menyentuh sensitiviti agama, kaum, dan budaya. Di sinilah letaknya tanggungjawab besar para penggiat seni, khususnya para pelakon yang menjadi figura tontonan umum, untuk menampilkan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik) kepada khalayak. Sehubungan dengan itu, Tinta Mufti kali ini bertujuan memberikan panduan umum berhubung kepentingan pembinaan fiqh hiburan dan lakonan dalam memastikan ia selari dengan perintah syarak.

Hiburan Menurut Perspektif Islam

Islam merupakan agama yang meraikan fitrah dan tabiat manusia dalam kehidupan. Antara fitrah manusia adalah memerlukan kepada hiburan yang boleh memberikan ketenangan kepada jiwa dan fikiran. Pada asalnya, ketenangan jiwa yang diiktiraf dalam syariat Islam diperoleh menerusi amalan berzikir dan mengingati Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Surah al-Ra’d (28)

Dalam pada itu, terdapat juga dalil yang menyebut berkenaan hakikat hiburan dalam kehidupan dunia melalui firman Allah SWT:

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ

Maksudnya: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan.”

Surah al-An’am (32)

Secara zahirnya, ayat di atas menggambarkan dunia ini dipenuhi perkara melalaikan, namun ia bukanlah asas pengharaman secara mutlak terhadap aktiviti hiburan. Ini dibuktikan melalui hadis Rasulullah SAW yang tidak melarang masyarakat berhibur pada keadaan tertentu selagi tidak bercanggah dengan syarak. Antaranya hadis daripada Saidatina ‘Aisyah RA ketika majlis perkahwinan:

أنَّها زَفَّتِ امْرَأَةً إلى رَجُلٍ مِنَ الأنْصارِ، فقالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: يا عائِشَةُ، ما كانَ معكُمْ لَهْوٌ؟ فإنَّ الأنْصارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ.

Maksudnya: “Wahai Aisyah, tidak adakah sebarang hiburan dalam majlis perkahwinan ini? Sesungguhnya kaum Ansar amat menyukai hiburan.”

(Riwayat Bukhari)

Begitu juga kisah Baginda SAW yang melewati anak-anak gadis Bani Najjar yang memukul rebana (Daff) sambil bernyanyi memuji Baginda. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

أَنَّ النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مَرَّ بِبَعْضِ الْمَدِينَةِ فَإِذَا هُوَ بِجَوَارٍ يَضْرِبْنَ بِدُفِّهِنَّ وَيَتَغَنَّيْنَ وَيَقُلْنَ نَحْنُ جَوَارٍ مِنْ بَنِي النَّجَّارِ يَا حَبَّذَا مُحَمَّدٌ مِنْ جَارِ ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ‏ "‏ يَعْلَمُ اللَّهُ إِنِّي لأُحِبُّكُنَّ 

Maksudnya: "Bahawasanya Nabi SAW pernah melewati suatu kawasan di Madinah, lalu Baginda melihat beberapa orang anak gadis sedang memukul rebana (Daff) sambil bernyanyi, dengan berkata: 'Kami adalah anak-anak gadis daripada Bani Najjar, alangkah indahnya mempunyai Muhammad sebagai jiran.' Maka Nabi SAW bersabda: 'Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kalian sangat aku cintai (sayangi).”

(Riwayat Ibn Majah)

Contoh Isu-Isu Syariah Dalam Industri Perfileman

Walaupun ruang hiburan itu ada, namun industri hari ini berhadapan dengan pelbagai isu syariah yang memerlukan penelitian lanjut daripada perspektif hukum syarak dan kefatwaan. Antaranya:

  • Niat dan Tujuan: Adakah niat dakwah menghalalkan aksi yang dilarang syarak? Prinsip “matlamat tidak menghalalkan cara” wajib dipegang teguh.
  • Aurat dan Pakaian: Penggunaan pakaian ketat, menonjolkan bentuk badan, tabarruj melampau, pakaian berunsur syirik, atau lelaki yang menyerupai wanita (tasyabbuh).
  • Pergaulan Jantina: Adegan bersentuhan, bersalaman, atau berpelukan antara bukan mahram atas alasan melakonkan watak ibu-anak atau suami-isteri yang memaparkan kemesraan melampau.
  • Ruang dan Perkakasan: Hukum pelakon wanita haid menetap di dalam masjid untuk penggambaran, atau memasuki tempat haram seperti pusat perjudian dan kilang arak untuk menjayakan babak.
  • Genre dan Kandungan: Filem seram yang mencetuskan ketakutan melampau kepada makhluk, normalisasi adegan lucah, keganasan melampau, serta penggunaan bahasa biadab atau penghinaan (verbal dan non-verbal).

Garis Panduan Hiburan Menurut Islam

Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Halal wal Haram fi al-Islam telah menggariskan panduan penting dalam aktiviti hiburan agar ia kekal di landasan yang betul. Antara panduan yang dinyatakan adalah seperti berikut[1]:

1. Kandungan Hiburan (Maudu')

Kandungan atau subjek hiburan tersebut tidak boleh bercanggah dengan akidah, syariat, dan akhlak Islam. Sebagai contoh:

  • Tidak mengandungi unsur memuji kezaliman atau kefasikan.
  • Tidak menghina perkara yang disucikan oleh agama (seperti mempersendakan hukum Allah atau para Nabi).
  • Tidak mempromosikan gaya hidup yang dilarang (seperti memuja arak atau pergaulan bebas).

2. Cara Persembahan (Kaifiyyah)

Sesuatu hiburan itu mungkin mempunyai mesej yang baik, namun jika cara penyampaiannya melibatkan perkara haram, maka ia tetap dilarang. Ini termasuklah:

  • Aurat dan Pergaulan: Persembahan yang mengeksploitasi tubuh badan atau melibatkan pergaulan yang melanggar batas mahram.
  • Gaya yang Membangkitkan Syahwat: Nyanyian atau lakonan yang disertakan dengan gerakan badan atau nada suara yang bertujuan merangsang nafsu (al-Ighra').

3. Tidak Berlebih-lebihan (I'tidal)

Hiburan dalam Islam adalah sebagai "garam dalam masakan"—ia diperlukan untuk kelazatan hidup tetapi tidak boleh menjadi hidangan utama. Al-Qardhawi menekankan:

  • Hiburan tidak boleh mencuri masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk kewajipan agama (seperti solat) atau tanggungjawab duniawi (seperti mencari nafkah).
  • Sikap melampau dalam berhibur (al-Israf) boleh mematikan hati dan melalaikan manusia daripada tujuan asal penciptaan.

4. Niat dan Matlamat

Tujuan berhibur mestilah untuk menyegarkan semula jiwa (tarwih al-nufus) agar manusia kembali bersemangat untuk melakukan ketaatan. Jika niatnya adalah untuk meruntuhkan akhlak atau sekadar membuang masa tanpa faedah, ia jatuh kepada makruh atau haram.

5. Keadaan Penonton/Pendengar

Al-Qardhawi juga mengingatkan bahawa penilaian hiburan juga bergantung kepada impak terhadap individu. Jika sesuatu hiburan itu secara peribadi membangkitkan fitnah atau syahwat kepada seseorang (walaupun kandungan asalnya umum), maka individu tersebut wajib menjauhinya.

Sementara dalam konteks Malaysia, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam sebagai rujukan etika bagi penggiat industri dan masyarakat[2]. Antara kandungan dalam garis panduan tersebut adalah seperti panduan kepada para artis ketika menjayakan persembahan dan lakonan:

  1. Peribadi yang mulia dan akhlak yang baik hendaklah sentiasa dikekalkan walaupun berada di luar persembahan sesuai dengan mesej yang dibawa
  2. Tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah sama ada di bawah undang-undang syariah atau sivil
  3. Penampilan yang sopan dan beradab hendaklah sentiasa dikekalkan walaupun berada di luar persembahan
  4. Berpakaian menutup aurat, kemas dan sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam;
  5. Adab berpakaian, tatarias dan dandanan rambut yang tidak menyerupai jantina yang berlainan;
  6. Hiasan dan dandanan hendaklah pada kadar yang bersesuaian dan sederhana sesuai dengan uruf masyarakat.

Walau bagaimanapun, garis panduan ini juga dicadangkan agar perlu sentiasa disemak dan diperkukuh dari semasa ke semasa seiring dengan evolusi dunia hiburan yang mencetuskan cabaran baharu.

Kesimpulan

Industri filem dan lakonan merupakan instrumen penting dalam pembangunan negara dan ketamadunan masyarakat. Karya yang berkesan bukan sekadar mengejar kutipan pecah panggung, malah mampu mengubah watak manusia ke arah kebaikan. Justeru, inisiatif memastikan industri ini menepati kehendak syarak adalah amat kritikal kerana ia berpotensi besar menyebarkan syiar Islam. Usaha ini selari dengan prinsip Maqasid Umran yang menekankan pembangunan tamadun manusia yang seimbang antara kemajuan material dan tuntutan agama (tadayun). Semoga wacana fiqh hiburan ini terus diperkasakan demi melahirkan industri seni yang berkat dan diredhai Allah SWT.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

27 RAMADAN 1447H / 17 MAC 2026

 

[1] Yusuf al-Qaradawi, Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (Kaherah: Maktabah Wahbah, 2012), 273-278.

[2] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) (Putrajaya: JAKIM, 2015), 10, https://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/2025/Garis_Panduan_Hiburan_Dalam_Islam_Edisi_Kedua_2015.pdf.