اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 98/2026: PEMANDU MABUK MERUPAKAN PENJENAYAH JALAN RAYA

TintaMufti.jpg

 

PEMANDU MABUK MERUPAKAN PENJENAYAH JALAN RAYA

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah mensyariatkan agama ini sebagai rahmat kepada sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari kiamat.

Mutakhir ini, kita sering dikejutkan dengan insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kehilangan nyawa. Isu ini bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, bahkan menuntut penelitian serius dari sudut hukum syarak dan perundangan negara.

Arak Menurut Islam dan Undang-Undang Negara

Dalam Islam dengan tegas mengharamkan pengambilan arak kerana kesan buruknya terhadap individu dan masyarakat. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Surah al-Ma’idah (90)

Selain itu, Nabi SAW bersabda:

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَكُلُّ خَمْرٍ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan itu adalah arak, dan setiap arak itu adalah haram.”

(Riwayat Muslim)

Pengharaman ini jelas menunjukkan bahawa Islam memelihara akal manusia daripada sebarang unsur yang merosakkannya. Dengan itu, perbuatan memandu dalam keadaan mabuk merupakan satu bentuk kesalahan yang berat serta melampaui batas sehingga boleh mengundang kehilangan nyawa.

Meskipun tiada niat untuk membunuh, tindakan mengambil alkohol dan seterusnya memandu dalam keadaan hilang pertimbangan akal jelas menunjukkan sikap cuai yang tinggi, sama ada dalam bentuk melampaui batas mahupun sengaja. Keadaan ini tetap menuntut pertanggungjawaban di sisi syarak kerana ia melibatkan pencerobohan terhadap hak keselamatan dan nyawa orang lain.

Dalam konteks perundangan negara, kesalahan berkaitan pemandu mabuk diperuntukkan secara jelas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), antaranya dalam Seksyen 44(1) menyebutkan bahawa:[1]

mana-mana orang yang, semasa memandu sesuatu kenderaan motor di jalan atau tempat awam lain-

(a)  berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, setakat yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya; atau

(b)  mempunyai sebegitu banyak alkohol dalam badannya sehingga kadar alkohol di dalam nafas, darah atau air kencingnya melebihi had yang ditetapkan,

dan menyebabkan kematian mana-mana orang melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada sepuluh tahun dan tidak lebih daripada lima belas tahun dan denda tidak kurang daripada lima puluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada satu ratus ribu ringgit dan, dalam hal sabitan kali kedua atau kali kemudian, penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima belas tahun dan tidak lebih daripada dua puluh tahun dan denda tidak kurang daripada satu ratus ribu ringgit dan tidak lebih daripada satu ratus lima puluh ribu ringgit.

Pindaan terhadap akta ini menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu yang mengancam keselamatan awam. Hal ini kerana, banyak mudarat yang terhasil daripada minuman arak ini. Dalam hal ini, antara syarak dan perundangan mempunyai keterkaitan antara satu sama lain dengan tujuannya yang sama iaitu menjaga nyawa dan kemaslahatan umum.

Pengharaman arak dalam Islam bertujuan untuk memelihara kesucian agama daripada sebarang unsur yang melalaikan dan merosakkan hubungan manusia dengan Allah SWT. Dalam konteks ini, perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian jelas bertentangan dengan prinsip tersebut kerana ia lahir daripada perbuatan yang telah diharamkan secara tegas oleh syarak. Lebih daripada itu, arak juga merosakkan fungsi akal, sehingga menyebabkan hilang keupayaan seseorang untuk membezakan antara baik dan buruk.

Selain itu, kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu mabuk bukan sahaja mengancam nyawa, bahkan turut membawa kepada kerugian harta benda sama ada melibatkan kenderaan, kemudahan awam mahupun harta milik individu lain. Dalam masa yang sama, kehilangan nyawa akibat kemalangan tersebut memberi kesan yang sangat besar terhadap institusi kekeluargaan, termasuk kehilangan tempat bergantung, gangguan emosi serta terjejasnya kesinambungan keturunan. Oleh yang demikian, perbuatan memandu dalam keadaan mabuk jelas bertentangan dengan keseluruhan kerangka Maqasid Syariah bahkan juga bertentangan dengan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Keberadaan pemandu jenis ini bukan hanya menyusahkan individu lain dan negara bahkan mereka boleh dianggap sebagai penjenayah jalan raya.

Penutup

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa pengambilan arak adalah haram secara qat‘i dalam Islam. Selain itu, memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian merupakan satu jenayah besar di sisi syarak dan undang-undang negara. Bahkan, perbuatan ini bercanggah dengan Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan nyawa, akal dan kesejahteraan masyarakat. Sehubungan itu, semua pihak hendaklah memainkan peranan dalam membanteras gejala ini, sama ada melalui penguatkuasaan undang-undang, pendidikan masyarakat mahupun kesedaran individu. Semoga Allah SWT memelihara kita daripada segala bentuk kemudaratan dan memberikan kita kefahaman dalam agama serta keselamatan dalam kehidupan.

Wallahu a‘lam.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

11 SYAWAL 1447H / 31 MAC 2026

[1] Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Seksyen 41-Memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, hlm. 75.