
PANDUAN PERNIAGAAN RUNCIT
Sektor perniagaan runcit merupakan nadi utama yang menggerakkan ekonomi domestik dan memenuhi keperluan asas masyarakat seharian. Dalam mendepani krisis kenaikan harga dan persaingan pasaran yang semakin sengit, pengusaha runcit Muslim perlu melihat bidang ini bukan sekadar aktiviti pertukaran barang, malah sebagai satu bentuk amanah dalam menyantuni hajat orang ramai. Kecekalan dalam menguruskan perniagaan runcit secara profesional bukan sahaja menjamin kelestarian ekonomi individu, malah menjadi benteng kekuatan ekonomi negara. Amalan perniagaan runcit ini juga memenuhi aspek maqasid syariah menjaga nyawa dan harta kerana ia memenuhi keperluan asas individu dan menjadi sumber pendapatan untuk menyara diri dan keluarga
Namun, dalam menjalankan perniagaan runcit, setiap Muslim wajib mematuhi panduan-panduan dan akhlak yang telah ditetapkan oleh agama. Islam yang merupakan agama yang syumul telah menetapkan panduan yang wajib diamalkan oleh umatnya dalam semua aspek, termasuklah dalam hal perniagaan.
- Niat yang Betul
Agama Islam menyuruh umatnya untuk mengikhlaskan niat dalam segala ibadah yang dilakukan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar”
Menjalankan perniagaan runcit atau bekerja secara umum boleh dikira sebagai satu ibadah jika dibuat dengan niat yang betul iaitu untuk mematuhi arahan agama untuk menyara diri dan keluarga supaya tidak meminta-minta daripada orang lain. Ka’ab bin ‘Ujrah meriwayatkan:
مَرَّ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم رَجُلٌ، فَرَأَى أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ جِلْدِهِ وَنَشَاطِهِ، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ: لَوْ كَانَ هَذَا فِي سَبِيلِ اللهِ؟، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: «إِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى وَلَدِهِ صِغَارًا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَإِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى أَبَوَيْنِ شَيْخَيْنِ كَبِيرَيْنِ فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَإِنْ كَانَ يَسْعَى عَلَى نَفْسِهِ يُعِفُّهَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَإِنْ كَانَ خَرَجَ رِيَاءً وَمُفَاخَرَةً فَهُوَ فِي سَبِيلِ الشَّيْطَانِ»
Maksudnya: “"Seorang lelaki telah lalu berhampiran Nabi SAW, lalu para sahabat Rasulullah SAW melihat betapa hebatnya tubuh badan dan kecergasan (semangat) lelaki itu. Maka mereka pun berkata: Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika (kekuatan dan kecergasan) ini digunakan pada jalan Allah (fisabilillah)? Lalu Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya dia keluar berusaha (bekerja) untuk menyara anak-anaknya yang masih kecil, maka dia berada pada jalan Allah. Sekiranya dia keluar berusaha untuk menyara kedua ibu bapanya yang telah tua, maka dia berada pada jalan Allah. Sekiranya dia berusaha untuk dirinya sendiri bagi menjaga kehormatan dirinya (supaya tidak meminta-minta), maka dia berada pada jalan Allah. Namun, sekiranya dia keluar (bekerja) kerana riyak (menunjuk-nunjuk) dan bermegah-megah, maka dia berada pada jalan syaitan.”
(Riwayat al-Tabarani)
Dalam hal ini, Imam al-Syatibi berkata:
النية شرط في كون العمل عبادة، والنية المرادة هنا نية الامتثال لأمر الله ونهيه، وإذا كان هذا جاريا في كل فعل وترك، ثبت أن في الأعمال المكلف بها طلبا تعبديا على الجملة.
Maksudnya: "Niat merupakan syarat bagi menjadikan sesuatu perbuatan itu sebagai ibadah. Niat yang dimaksudkan di sini adalah niat untuk patuh kepada perintah Allah dan larangan-Nya. Apabila perkara ini diaplikasikan dalam setiap perbuatan mahupun tindakan meninggalkan sesuatu, maka sabitlah bahawa dalam setiap amalan yang ditaklifkan itu mengandungi tuntutan pengabdian secara keseluruhannya."[1]
Oleh itu, sangat rugi bagi peniaga-peniaga yang berhempas pulas dan berpenat lelah menjalankan perniagaan tetapi tidak mengikhlaskan niat mereka bekerja sebagai ibadah demi mematuhi arahan Allah untuk menyara diri dan keluarga agar tidak terlibat dalam perbuatan meminta-minta daripada orang lain. Selain itu, perniagaan runcit juga memenuhi tuntutan agama untuk mencukupkan keperluan asas manusia yang manusia tidak dapat hidup tanpanya.
- Melazimi Akhlak yang Terpuji
Para muslim yang menjalankan perniagaan runcit hendaklah mengamalkan akhlak yang terpuji termasuk berkata benar, jujur, amanah, bermanis muka serta menunaikan janji dan hak-hak pelanggan dengan sebaiknya. Mengamalkan akhlak-akhlak ini bukan sahaja demi memenuhi kewajipan agama, bahkan ia juga membentuk pandangan yang baik terhadap perniagaan yang dijalankan dan menarik pelanggan.
Dalam sebuah hadis, Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
التاجرُ الصَّدُوقُ الأمينُ : مع النَّبِيِّينَ، والصِّدِّيقِينَ، والشهداءِ، والصالحينَ
Maksudnya: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”
Riwayat al-Tirmizi
Dalam hadis yang lain pula, Rifa’ah bin Rafi’ bahawa beliau keluar bersama Rasulullah SAW ke tempat solat dan Rasulullah SAW melihat peniaga-peniaga sedang berurus niaga, lalu Rasulullah SAW bersabda:
يا مَعشَرَ التُّجارِ فاسْتجابُوا لِرسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ورَفَعُوا أعناقَهمْ وأبْصارَهُمْ إليه فقال إنَّ التُّجارَ يُبعثُونَ يَومَ القِيامةِ فُجَّارًا إلا مَنِ اتَّقَى اللهَ وبَرَّ وصَدَقَ
Maksudnya: “Wahai peniaga-peniaga sekalian. Lalu mereka menyahut seruan Rasulullah SAW dan mengangkat tengkuk dan pandangan mereka kepada Baginda. Baginda SAW lantas bersabda: “Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.”
(Riwayat al-Tirmizi)
- Menjauhi Akad-akad yang Haram
Para peniaga yang menjalankan perniagaan runcit juga wajib menjauhi akad-akad yang haram seperti akad yang mengandungi unsur riba, perjudian, gharar dan tipu daya. Perkara-perkara ini akan menyebabkan terjerumus ke dalam memakan harta orang lain secara batil yang dilarang dalam firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan (menggunakan) harta sesama kamu dengan cara yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali melalui perniagaan yang dilakukan atas dasar reda-meredai (suka sama suka) antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri! Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”
Surah al-Nisa’ (29)
Oleh yang demikian, para peniaga hendaklah berusaha menuntut ilmu-ilmu berkaitan fiqh muamalat daripada sumber-sumber yang dipercayai supaya dapat membezakan yang halal dan yang haram. Dalam hal ini, diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab RA pernah memukul sesiapa yang ditemuinya di pasar dalam keadaan orang itu tidak mengetahui hukum-hakam jual beli, seraya beliau berkata:
لا يبع في سوقنا إلا من تفقه في ديننا
Maksudnya: “Janganlah berjual beli di pasar kami ini melainkan orang yang telah faham (mendalami ilmu) tentang agama kami.”
Riwayat al-Tirmizi
Kesimpulan
Dunia perniagaan runcit merupakan medan beramal yang luas. Dengan menggabungkan kehebatan dan usaha keras dalam perniagaan serta nilai-nilai murni Islam, para peniaga mampu membina perniagaan yang bukan sahaja menguntungkan, malah membawa kebaikan kepada seluruh komuniti. Para peniaga disaran untuk menuntut ilmu bukan sahaja berkenaan pengurusan perniagaan, bahkan juga ilmu fiqh muamalat supaya dapat menjalankan perniagaan yang patuh syariah sepenuhnya dan mencapai keberkatan.
Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha para peniaga kita, mengurniakan ilham dalam mengatur strategi serta menjadikan setiap sen keuntungan sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
WaAllahua’lam.
Rujukan:
[1] Ibrahim bin Musa al-Syatibi, al-Muwafaqat, (T.tp: Dar Ibn Affan, 1997), 2:537.