اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 109/2026: GARIS PANDUAN HUKUM HAKAM TUNTUTAN (CLAIM) DI PEJABAT KERAJAAN

TintaMufti.jpg

 

GARIS PANDUAN HUKUM HAKAM TUNTUTAN (CLAIM) DI PEJABAT KERAJAAN

Islam meletakkan prinsip amanah sebagai asas utama dalam setiap urusan kehidupan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan harta awam. Allah SWT memerintahkan agar amanah diserahkan kepada yang berhak, sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)”.

Surah al-Nisa’ (58)

Ibn Kathir menjelaskan bahawa amanah merangkumi semua tanggungjawab manusia, sama ada terhadap Allah SWT seperti solat dan zakat, atau sesama manusia seperti menjaga harta dan kepercayaan, yang wajib ditunaikan dengan integriti[1]. Dalam perkhidmatan awam, elaun dan tuntutan juga merupakan amanah daripada dana negara yang mesti dijaga dengan penuh integriti.

Pada asalnya, tuntutan elaun dan seumpamanya adalah diharuskan dalam syarak kerana ia termasuk dalam urusan muamalat yang dibenarkan selagi tidak terdapat dalil yang mengharamkannya. Kaedah fiqh menyebut:

الأصل في المعاملات المالية الإباحة، والصحة، ولا يحرم منها ولا يبطل إلا ما دل الشرع على تحريمه 

Maksudnya: “Hukum asal dalam urusan muamalat kewangan ialah harus dan sah; tidak dihukum haram atau batal melainkan terdapat dalil syarak yang menunjukkan pengharamannya.[2]

Oleh itu, tuntutan yang dibuat selaras dengan peraturan, berdasarkan perbelanjaan sebenar serta tanpa sebarang unsur penipuan adalah halal dan dianggap sebagai rezeki yang baik. Namun demikian, sekiranya seseorang membuat tuntutan palsu, membesar-besarkan jumlah tuntutan, menggunakan resit yang tidak benar atau menuntut sesuatu yang tidak dilakukan, maka perbuatan tersebut adalah haram. Ini kerana ia termasuk dalam larangan memakan harta secara batil sebagaimana firman Allah SWT

وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَٰطِلِ

Maksudnya: “Janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah”.

Surah al-Baqarah (188)

Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa larangan memakan harta orang lain tanpa hak merangkumi segala bentuk pengambilan harta secara batil seperti perjudian, penipuan, perampasan dan penafian hak, serta setiap harta yang tidak diredai pemiliknya atau yang diharamkan oleh syarak walaupun dengan kerelaan, seperti hasil daripada perkara yang haram[3].

Rasulullah SAW turut memberi amaran keras terhadap penipuan dengan sabdanya:

مَن غَشَّ فليسَ مِنِّي

Maksudnya: “Sesiapa yang menipu bukanlah daripada kalangan Baginda.”

(Riwayat Muslim)

Al-Khattabi menjelaskan bahawa hadis ini bermaksud orang yang melakukan penipuan dan meninggalkan sikap saling menasihati sebenarnya tidak mengikuti jalan dan sunnah Nabi SAW, bukan bermaksud dia keluar daripada Islam sebagaimana yang difahami oleh sebahagian pihak. Oleh itu, hadis ini menjadi dalil yang jelas bahawa penipuan adalah haram dan perkara ini merupakan ijmak dalam kalangan ulama[4].

Selain itu, terdapat juga keadaan yang berada dalam ruang syubhah, iaitu apabila sesuatu tuntutan dibenarkan dari sudut teknikal peraturan tetapi tidak menepati semangat amanah atau apabila perbelanjaan bercampur antara urusan rasmi dan peribadi. Dalam situasi sebegini, sikap wara’ amat dituntut, iaitu dengan meninggalkan perkara yang meragukan demi menjaga kesucian harta dan integriti diri. Hal ini selaras dengan hadis Nabi SAW:

الحلال بين والحرام بين، وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس

Maksudnya: “Perkara yang halal itu jelas, dan perkara yang haram itu jelas. Dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh ramai manusia.”

Sehubungan itu, penjawat awam hendaklah memastikan beberapa perkara di bawah:

  1. Setiap tuntutan dibuat dengan penuh kejujuran dan ketelusan.
  2. Mematuhi segala peraturan kewangan yang ditetapkan.
  3. Mengelakkan sebarang bentuk manipulasi atau eksploitasi.
  4. Setiap perbelanjaan hendaklah disokong dengan dokumen yang sah dan jelas.
  5. Tuntutan yang dibuat adalah benar-benar berasaskan keperluan dan bukan didorong oleh keinginan untuk mengambil kesempatan.

Sekiranya urusan tuntutan tidak dilaksanakan dengan betul dan berintegriti, ia bukan sahaja memberi kesan kepada individu bahkan turut menjejaskan kewangan negara secara keseluruhan. Tuntutan palsu atau berlebihan akan menyebabkan ketirisan dana awam, meningkatkan beban perbelanjaan kerajaan serta mengurangkan peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat. Dalam jangka panjang, amalan tidak berintegriti ini boleh melemahkan sistem kewangan negara, menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan. Oleh itu, menjaga ketelusan dalam tuntutan bukan sahaja tuntutan agama, bahkan tanggungjawab terhadap kestabilan ekonomi negara.

Kesimpulan

Kesimpulannya, tuntutan dalam perkhidmatan awam adalah suatu kemudahan yang diharuskan oleh syarak selagi mana ia dilaksanakan secara jujur dan mengikut peraturan yang ditetapkan. Sebaliknya, sebarang bentuk penyelewengan seperti tuntutan palsu atau ‘overclaim’ adalah haram dan termasuk dalam dosa besar kerana melibatkan pengkhianatan terhadap harta awam. Ketelusan dan integriti dalam urusan tuntutan amat penting bagi memelihara amanah, mengelakkan ketirisan dana awam serta menjamin kestabilan kewangan negara. Oleh itu, setiap penjawat awam hendaklah sentiasa memelihara amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab, kerana setiap harta yang diambil akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

16 ZULKAEDAH 1447H / 4 MEI 2026

[1] Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, (Riyadh: Dar Taibah li al-Nashr wa al-Tawzi‘, 1999), 2:339.

وَهَذَا يَعُمُّ جَمِيعَ الْأَمَانَاتِ الْوَاجِبَةِ عَلَى الْإِنْسَانِ، مِنْ حُقُوقِ اللَّهِ، عَزَّ وَجَلَّ، عَلَى عِبَادِهِ، مِنَ الصَّلَوَاتِ وَالزَّكَوَاتِ، وَالْكَفَّارَاتِ وَالنُّذُورِ وَالصِّيَامِ، وَغَيْرِ ذَلِكَ، مِمَّا هُوَ مُؤْتَمَنٌ عَلَيْهِ لَا يَطَّلِعُ عَلَيْهِ الْعِبَادُ، وَمِنْ حُقُوقِ الْعِبَادِ بَعْضِهِمْ عَلَى بَعْضٍ كَالْوَدَائِعِ وَغَيْرِ ذَلِكَ مِمَّا يَأْتَمِنُونَ بِهِ(٢) بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ مِنْ غَيْرِ اطِّلَاعِ بَيِّنَةٍ(٣) عَلَى ذَلِكَ. فَأَمَرَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ، بِأَدَائِهَا، فَمَنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فِي الدُّنْيَا أُخِذَ مِنْهُ ذَلِكَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ،

[2] Abdullah bin Radi, Ahkam Uqud al-Tamwil fi al-Fiqh al-Islami, (Saudi: Dar al-Kunuz, 2017), 48.

[3] Al-Qurtubi, Jami’ li Ahkam al-Quran,

فَيَدْخُلُ فِي هَذَا: الْقِمَارُ وَالْخِدَاعُ وَالْغُصُوبُ وَجَحْدُ الْحُقُوقِ، وَمَا لَا تَطِيبُ بِهِ نَفْسُ مَالِكِهِ، أَوْ حَرَّمَتْهُ الشَّرِيعَةُ وَإِنْ طَابَتْ به نفس مالكه، كهر الْبَغِيِّ وَحُلْوَانِ الْكَاهِنِ وَأَثْمَانِ الْخُمُورِ وَالْخَنَازِيرِ وَغَيْرِ ذَلِكَ.

[4] al-Azimabadi, ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Dawud, (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H), 9:231,

قَالَ الْخَطَّابِيُّ مَعْنَاهُ لَيْسَ عَلَى سِيرَتِنَا وَمَذْهَبِنَا يُرِيدُ أَنَّ مَنْ غَشَّ أَخَاهُ وَتَرَكَ مُنَاصَحَتَهُ فَإِنَّهُ قَدْ تَرَكَ اتِّبَاعِي وَالتَّمَسُّكَ بِسُنَّتِي وَقَدْ ذَهَبَ بَعْضُهُمْ إِلَى أَنَّهُ أَرَادَ بِذَلِكَ نَفْيَهُ عَنِ الْإِسْلَامِ وَلَيْسَ هَذَا التَّأْوِيلُ بِصَحِيحٍ وَإِنَّمَا وَجْهُهُ مَا ذَكَرْتُ لَكَ وَهَذَا كَمَا يَقُولُ الرَّجُلُ لِصَاحِبِهِ أَنَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ يُرِيدُ بِذَلِكَ الْمُتَابَعَةَ وَالْمُوَافَقَةَ وَيَشْهَدُ لِذَلِكَ قَوْلُهُ تَعَالَى فَمَنْ تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رحيم انْتَهَى وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى تَحْرِيمِ الْغِشِّ وَهُوَ مُجْمَعٌ عَلَيْهِ