اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 112/2026: PEMBINAAN RUMAH UNTUK GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH MERUPAKAN PERLAKSANAAN MAQASID AL-‘UMRAN

TintaMufti.jpeg

PEMBINAAN RUMAH UNTUK GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH MERUPAKAN PERLAKSANAAN MAQASID AL-‘UMRAN

Mukadimah

Rumah bukan hanya sekadar bangunan akan tetapi rumah merupakan tempat manusia berlindung, membina keluarga, mendidik anak-anak, beribadah dan menjalani kehidupan dengan aman. Oleh sebab itu, penyediaan kediaman yang selamat dan selesa kepada golongan berpendapatan rendah tidak sewajarnya dianggap sebagai bantuan kebajikan sementara semata-mata. Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab membangunkan masyarakat yang adil, sejahtera dan berperadaban.

Dalam kerangka Islam, tanggungjawab pembangunan ini dapat difahami melalui konsep Maqasid al-‘Umran. Perkataan ‘umran membawa pengertian kehidupan, penempatan, pembangunan dan pembinaan peradaban. Justeru, Maqasid al-‘Umran ialah segala makna, hikmah dan tujuan yang diambil kira oleh Allah SWT sebagai Pembuat Syariat dalam pensyariatan berkaitan pembangunan dan peradaban, demi menegakkan pengabdian kepada Allah SWT serta merealisasikan kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat.[1]

Dalam hal ini, Maqasid al-‘Umran dilihat menekankan pembangunan kehidupan manusia secara menyeluruh dengan menyeimbangkan aspek kerohanian, sosial, ekonomi dan alam sekitar. Ia tidak menilai kemajuan hanya berdasarkan pertumbuhan ekonomi atau kemegahan bangunan, tetapi berdasarkan kemampuan pembangunan itu menghasilkan keadilan, kesejahteraan dan kemaslahatan kepada manusia.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa Maqasid al-‘Umran berfungsi sebagai kerangka pembangunan ketamadunan yang berpaksikan nilai Rabbani serta keseimbangan duniawi dan ukhrawi. Kelestarian sosial dalam kerangka ini merangkumi pemenuhan keperluan asas manusia seperti kesihatan, makanan, tempat tinggal, pendidikan dan budaya supaya masyarakat yang inklusif serta tahan menghadapi cabaran dapat dibentuk.

Rumah Sebagai Keperluan Asasi Manusia

Golongan miskin bandar sering berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan tidak menentu dan pilihan perumahan yang terhad. Dalam keadaan tersebut, keluarga mungkin terpaksa tinggal dalam keadaan rumah yang daif dan kurang selesa, yang boleh menjejaskan kesihatan, emosi, pendidikan anak-anak, keharmonian keluarga serta keselamatan harta benda.

Program Pembasmian Kemiskinan Bandar memberikan perhatian terhadap permasalahan ini melalui Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar dan Projek Rumah Sejahtera. Program baik pulih ditujukan kepada rumah yang mengalami kerosakan tetapi masih ekonomik untuk dibaiki, manakala Rumah Sejahtera disediakan apabila rumah sedia ada tidak lagi selamat untuk didiami. Matlamat yang dinyatakan dengan jelas ialah menyediakan kediaman yang selamat dan selesa bagi meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan keluarga miskin bandar.[2]

Program ini dapat merealisasikan maslahah atau keperluan masyarakat miskin bandar dan selari dengan tujuan maqasid syariah bagi menjaga kemaslahatan manusia sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Ahmad Raisuni:

الغايات التي وضعت الشريعة لأجل تحقيقها لمصلحة العباد

Maksudnya: Tujuan yang telah ditetapkan oleh syariat adalah bagi merealisasikan kemaslahatan manusia.

Matlamat tersebut selari dengan kedudukan rumah sebagai salah satu keperluan daruriyyah, iaitu keperluan asas yang mesti dipenuhi bagi memastikan kehidupan manusia dapat diteruskan dengan baik. Kajian mengenai perumahan menurut maqasid syariah turut menegaskan bahawa rumah bukan sahaja menyediakan tempat berteduh, tetapi turut memberikan keselamatan, keselesaan dan rasa memiliki dalam masyarakat. Akses kepada perumahan yang sesuai dan mampu didiami merupakan asas pembentukan komuniti yang adil, inklusif dan sejahtera.[3] Hal ini bertepatann dengan konsep Maqasid Syariah yang lima iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Ghazali:

ومقصود الشرع من الخلق خمسة : وهو أن يحفظ عليهم دينهم ونفسهم وعقلهم ونسلهم ومالهم

Maksudnya: Tujuan Syariat itu ada lima, iaitu: Untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka.

Aplikasi Maqasid Syariah dalam Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar dan Projek Rumah Sejahtera

Pembinaan dan baik pulih rumah memenuhi tuntutan hifz al-nafs dengan melindungi penghuni daripada risiko kecederaan, penyakit dan kehilangan nyawa akibat kediaman yang tidak selamat. Keluarga berpendapatan rendah berhak menikmati kediaman yang bersih, selesa dan mempunyai kemudahan asas. Pembinaan dan baik pulih rumah dapat mengurangkan tekanan psikologi serta beban kewangan, sekali gus membantu mereka menumpukan perhatian kepada pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.

Rumah yang sesuai menyokong hifz al-nasl (pemeliharaan keluarga dan keturunan) iaitu dapat menjaga privasi, keharmonian dan hubungan kekeluargaan. Kediaman yang selesa dan mempunyai ruang yang mencukupi akan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk ibu bapa membimbing anak-anak serta membina keluarga yang kukuh.

Selain itu juga, kediaman yang stabil dapat menyokong hifz al-‘aql dengan menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk pembelajaran. Ruang belajar yang sesuai membantu meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak serta menyokong pembangunan intelektual keluarga.

Pembinaan rumah memenuhi tuntutan hifz al-mal dengan membantu memelihara harta dan mengurangkan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah. Apabila memperoleh rumah yang sesuai atau bantuan baik pulih, mereka dapat mengurangkan kos sewa dan menggunakan pendapatan untuk keperluan penting seperti makanan, pendidikan dan kesihatan.

Pembinaan rumah untuk golongan pendapatan rendah merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan yang selaras dengan maqasid syariah. Rumah yang baik membantu memelihara nyawa (hifz al-nafs) melalui persekitaran yang lebih sihat dan selamat, menyokong penjagaan akal (hifz al-‘aql) melalui persekitaran pembelajaran yang baik serta memelihara harta (hifz al-mal) dengan membantu keluarga keluar daripada kitaran kemiskinan. Selain itu, ia turut mengukuhkan kesejahteraan keluarga selaras dengan pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl).

Selaras dengan Maqasid al-‘Umran, kemakmuran bandar hendaklah dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Oleh itu, pembangunan bandar tidak seharusnya tertumpu kepada kepentingan golongan berpendapatan tinggi semata-mata, sebaliknya perlu memastikan golongan yang kurang berkemampuan turut menikmati persekitaran kehidupan yang selesa, selamat dan bermaruah.

Kesimpulan

Penyediaan perumahan yang selamat dan selesa kepada golongan berpendapatan rendah bukan sekadar memenuhi keperluan asas tempat tinggal, bahkan merupakan satu usaha pembangunan insan dan masyarakat yang selari dengan tuntutan Maqasid al-‘Umran dan Maqasid Syariah. Rumah berfungsi sebagai ruang perlindungan, pembentukan keluarga serta pendidikan anak-anak. Program pembinaan dan baik pulih rumah yang dilaksanakan kepada golongan berpendapatan rendah merupakan satu bentuk maslahah yang penting dalam memastikan kesejahteraan hidup masyarakat serta mengurangkan kesan kemiskinan bandar.

Selain itu, program ini juga turut merealisasikan pemeliharaan lima maqasid utama, khususnya hifz al-nafs, hifz al-‘aql, hifz al-nasl dan hifz al-mal. Kediaman yang berkualiti membantu melindungi nyawa, menyokong perkembangan pendidikan, mengukuhkan institusi keluarga serta mengurangkan beban ekonomi isi rumah. Justeru, pembangunan bandar yang berteraskan Maqasid al-‘Umran hendaklah bersifat inklusif dan adil dengan memastikan golongan miskin turut menikmati manfaat pembangunan. Hanya dengan pendekatan sedemikian, kemakmuran bandar dapat diterjemahkan secara menyeluruh dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera, berdaya tahan dan berperadaban.

Wallahu’alam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

3 MUHARAM 1448H / 19 JUN 2026

 

Rujukan 

[1] Ilyas Bulfakhaz, Maqasid al-‘Umran fi al-Syariʻah al-Islamiyyah, Tesis Kedoktoran, Universiti Hammah Lakhdhour, al-Wadi. Hlm. 42.

[2] Belanjawan 2026 Malaysia Madani, “Bantuan Baik Pulih dan Bina Baharu Rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB),” laman sesawang Manfaat, https://manfaat.mof.gov.my/b2026/individu/ppkb

[3] Sohaimi, N. S. ., Ahmad Musadik, S. H. S. ., Ishak, N. S. ., & Kamal Azhar, S. M, Building Communities Of Security And Wellbeing: The Role Of Maqasid Al Shari’ah In Housing, Al-Qanatir: International Journal of Islamic Studies, 33(5), 2024, hlm. 210–222.