اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #42: BENARKAH IBN KHALDUN MENOLAK TASAWWUF

khaldun tasawuf.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, benarkah Ibn Khaldun menolak Tasawwuf?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan definisi tasawwuf. Sepertimana yang biasa kami nyatakan, terdapat banyak takrifan, tetapi di sini cukuplah kami nyatakan dua takrif tasawwuf:

  • Al-Kalabazi berkata: Ahli tasawwuf (adalah) pada saf yang pertama (dalam) perjalanan menuju kepada Allah merangkumi jernih dalamannya, bersih hatinya, bercahaya dadanya, dan begitu akrab dengan Allah. (Lihat al-Ta’arruf li Mazhab Ahli al-Tasawwuf, 28-29)
  • Imam Junaid al-Baghdadi berkata: “Tasawuf adalah membersihkan hati dari yang selain Allah, berjuang memadamkan semua ajakan yang berasal dari hawa nafsu, mementingkan kehidupan yang lebih kekal, menyebarkan nasihat kepada umat manusia, dan mengikuti contoh Rasulullah SAW dalam segala hal.

Ruang lingkup pendekatan tasawwuf yang dianggap lengkap dan sempurna ialah pendekatan tasawwuf yang dilakukan oleh al-Imam al-Ghazali yang menyatukan keperluan pendekatan akidah, syariat dan akhlak di dalam pendekatan tasawufnya sebagaimana terbina di dalam karangan beliau yang bertajuk Ihya’ Ulum al-Din.

 

Berkenaan persoalan di atas, kami nukilkan pendapat Ibn Khaldun[1] di dalam kitabnya sendiri, yang menyebut:

“Ilmu tasawwuf adalah pecahan daripada ilmu Syariat di dalam Islam. Perjalanan golongan sufi adalah menuruti perjalanan salaf dari kalangan sahabat, tabi’in dan yang selepas mereka dengan menurut jalan yang benar sejak awal. Asal usulnya tekun beribadat dan memutuskan diri daripada yang lain selain hubungan dengan Allah SWT serta berpaling daripada perkara-perkara keduniaan dan perhiasannya. Begitu juga zuhud daripada perkara yang menjadi kemegahan orang ramai seperti kelazatan, harta, kemegahan, dan (mereka) mengasingkan diri dengan beribadat.

Perjalanan ini merupakan perjalanan sahabat, dan (mereka) dari kalangan salaf. Khususnya selepas meluasnya penerimaan terhadap keduniaan pada abad ke-2 Hijrah dan selepasnya serta liarnya perlakuan sebahagian umat. Lantaran itu, mereka mengkhususkan diri dengan ibadat. Dengan demikian mereka dikenali sebagai orang-orang sufi. (Lihat Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 467-475)

Semoga pencerahan ini menjadikan kita memahami hakikat tasawuf yang sebenar mengikut kaca mata ulama’ dan Ibn Khaldun. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sains Islam yang hidup antara tahun 1332 - 1395. Nama penuhnya ialah Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Abi Bakr Muhammad ibn al-Hasan Ibn Khaldun lahir pada 27 Mei 1332 di Tunisia dan meninggal 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir. Keluarga Ibn Khaldun merupakan orang berada yang memberikan pendidikan terbaik kepadanya. Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sejarah Arab teragung, juga dikenali sebagai bapa kepada sejarah kebudayaan dan sains sosial moden. Ibn Khaldun menjawat beberapa jawatan di bawah pemerintah Tunisia dan Morocco dan pada tahun 1363 menjalankan tugas sebagai duta raja Moor di Granada. Ibn Khaldun belayar ke Alexandria pada Oktober 1382, dimana beliau menghabiskan riwayatnya sebagai guru dan pensyarah di al-Azhar dan universiti lain. Ibn Khaldun juga pernah dilantik sebagai Hakim Diraja oleh Sultan Abu al-Abbas, Kaherah dan mengerjakan haji pada 1387.

Karya teragungnya iaitu Muqaddimah bermula sebagai penulisan mengenai sejarah orang-orang Arab dan Barbar, tetapi mengandungi pendekatan saintifik mengenai pemahaman sejarah, politik, dan ekonomi. Ibn Khaldun juga mempercayai bahawa perkara yang dikurniakan Allah boleh dibuktikan secara empirikal (secara pengalaman dan kajian). Ibn Khaldun juga mengembangkan konsep ekonomi, perdagangan dan kebebasan. Ibn Khaldun membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya dari keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan, mencetak dan menguruskan penghasilan wang, dan melaksanakan kepimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan.

Dari segi ekonomi, Ibn Khaldun memajukan teori nilai dan hubungkaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan ke atas harga dan keuntungan, menolak cukai yang tinggi, menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri. Ibn Khaldun juga terkenal dengan hasil kerjanya dalam sosiologi, astronomi, numerologi, kimia, dan sejarah. Ibn Khaldun telah meletakkan titik mula bagi tradisi intelelek pemikiran bebas Islam dan Arab, kerajaan bertanggung jawab, pasaran efisien, kajian sains empirikal, pengkajian sosiologi, dan penyelidikan sejarah. Antara mutiara kata Ibn Khaldun: "Sesiapa jua yang mengambil harta orang lain, atau menggunakannya untuk kerja paksa, atau membuat tuduhan yang tidak wajar hendaklah ingat bahawa ini adalah apa yang Pemberi Hukum maksudkan apabila melarang ketidakadilan." (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Al-Rahman_Ibn_Muhammad_Ibn_Khaldun)