اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #68: MUAT TURUN APLIKASI ZODIAK

ih124 17709312

Soalan: Bagaimana pandangan Mufti tentang aplikasi zodiak yang boleh dimuat turun?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, zodiak adalah garisan melengkung khayalan di langit yg terbahagi kpd 12 bahagian, dan tiap-tiap satunya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas. Salah satu cabang ilmu astrologi adalah berkaitan dengan zodiak (bintang 12). Zodiak merupakan garisan yang dilalui oleh matahari dalam masa setahun. Garisan ini merupakan satu garisan melengkung khayalan (imaginary line). Dalam proses itu matahari dipercayai melalui 12 bahagian dan setiap bahagian akhirnya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas (Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces).

Setiap bintang ini mempunyai kekuatan dan kelemahan, sifat-sifat yang tersendiri yang mempengaruhi kehidupan dan seseorang individu. Dengan melihat kepada kedudukan planet, kedudukan matahari dan bulan pada waktu kelahiran, karakter seseorang dapat diketahui dengan terperinci.

 

Hikmah Kewujudan Bintang

Firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ النُّجُومَ لِتَهْتَدُوا بِهَا فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

Maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.”

(Surah al-An’am: 97)

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.”

(Surah al-Mulk: 5)

Firman Allah SWT:

وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ

Maksudnya: “serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya…”

(Surah al-A’raf: 54)

Berkata Qatadah: Allah SWT menciptakan bintang-bintang ini dengan tiga fungsi:

  1. Hiasan bagi langit-langit
  2. Alat-alat pelempar syaitan
  3. Panduan atau penunjuk arah

Barangsiapa yang mentakwilkannya kepada selain daripada 3 fungsi di atas, maka itu adalah pendapatnya sendiri yang keliru serta memberatkan dirinya terhadap apa yang dia tidak tahu. (Lihat Tafsir al-Tabari, 12/166)

 

Hukum Hakam Berkaitan Ilmu Astrologi

Daripada Ibn ‘Abbas RA, Nabi SAW bersabda:

مَنِ اقْتَبَسَ عِلْمًا مِنَ النُّجُومِ، اقْتَبَسَ شُعْبَةً مِنَ السِّحْرِ، زَادَ مَا زَادَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambl bagian dari ilmu bintang maka ia telah mengambil bagian dari ilmu sihir.”

(Riwayat Abu Daud, no. 3905)

Menurut Ibn Ruslan, apa yang dilarang adalah berhubung ilmu berkenaan alam semesta yang tidak berlaku atau bakal berlaku di masa hadapan. Mereka mendakwa memperolehnya pengetahuan tentangnya daripada rahsia bintang-bintang pada peredarannya, perhimpunannya dan perpisahannya. Hal ini berkait rapat dengan ilmu yang menjadi hak milik-Nya.

Ada pun ilmu bintang-bintang yang dengannya dikenali gelinciran matahari dan arah kiblat, berapa hari yang telah berlalu, berapa pula baki yang tinggal, tidak termasuk dalam larangan di atas. Apa yang dilarang adalah perbincangan tentang kedatangan hujan, turunnya salji, bertiupnya angin (ini tidak berkaitan dengan ramalan cuaca) dan berubahnya harga barang. (Lihat Nail al-Autar, 7/152)

  • Membaca zodiak

Hukum sekadar membaca tanpa mempercayainya adalah harus. Pun begitu, ianya tidak digalakkan kecuali atas keperluan, misalnya kajian.

  • Mempercayai zodiak

Hukum mempercayainya adalah syirik. Perbuatan syirik kepada Allah SWT antara dosa-dosa besar yang Allah SWT memberikan ancaman azab kepada pelakunya. Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa: 48)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa ia bermaksud Allah SWT tidak mengampun dosa sesiapa yang bertemu denganNya dalam keadaan melakukan syirik kepadaNya (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/86). Pun begitu, Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman.

Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa. Walaubagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya samada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka.

Imam al-Sanusi dalam al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis:

  1. Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu)
  2. Syirik tab’id: Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
  3. Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.
  4. Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23.
  5. Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis
  6. Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riak.

Bagi no. 1 – 4, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi no. 6, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Adapun bagi no. 5, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasik dan ahli bid’ah. (Lihat al-Nasamat al-Quddusiyyah Syarh al-Muqaddimat al-Sanusiyyah, m. 50-55)

Dalam hal ini, kami cenderung menyatakan Muslim yang mempercayai zodiak termasuk dalam syirik asbab kerana mereka umumnya mempercayai ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk. Maka, mereka dikira fasik dan ahli bid’ah dan sudah pasti berdosa.

  • Bertemu dengan peramal

Diriwayatkan oleh Safiyyah R.Anha, daripada para isteri Nabi SAW, bahawa Baginda pernah bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Barangsiapa mendatangi ‘arraaf (dukun) dan bertanya kepadanya akan sesuatu, tidak akan diterima salatnya selama empat puluh malam”.

(Riwayat Muslim, no. 125)

Pada riwayat yang lain Baginda SAW bersabda,

مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Barangsiapa mendatangi kahin atau arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (Al Qur’an)”.

(Riwayat Ahmad, no. 9536)

Ibnul Athir menjelaskan bahawa ‘arraaf (peramal) adalah ahli nujum yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib padahal hanya Allah SWT yang mengetahui persoalan ghaib. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 3/442) Tukang ramal ini termasuk dalam kategori kahin (dukun).

Al-Baghawi pula menerangkan: ‘Arraaf adalah orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara tertentu dengan cara-cara tertentu yang dipakai sebagai petunjuk akan barang hilang atau tempat hilangnya barang dan semisalnya. Sedangkan kahin adalah orang yang memberitahu akan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi pada masa akan datang. Dan pendapat lain mengatakan kahin adalah orang yang mengetahui apa yang ada di dalam hati (mengetahui isi hati/membaca fikiran). (Lihat Syarh al-Sunnah, 12/182)

Kedua-dua hadith ini terkandung ancaman Nabi SAW terhadap dua jenis manusia. Pertama, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun dengan niat hanya untuk bertanya. Kedua, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun untuk bertanya lalu mempercayainya. Masing-masing berada dalam keadaan yang berbeza dan baginda Rasulullah SAW juga menjelaskan tentang akibatnya yang juga berbeza.

Dalam konteks moden, hal ini mungkin hampir tidak berlaku lagi. Namun, ianya boleh diqiyaskan dengan memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk mengetahui nasib. Mereka yang sengaja memuat turun atau melanggan dengan niat untuk mengetahui nasib ini dikhuatiri menyamai maksud hadith “mendatangi ´arraf” yang sudah pasti tidak diterima solatnya selama 40 malam.

Menurut Imam al-Nawawi, “Maksud tidak diterima solatnya adalah orang tersebut tidak mendapatkan pahala. Namun solat yang dia lakukan tetap dianggap dapat menggugurkan kewajiban solatnya dan dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya.” (Syarh Shahih Muslim, 14/227). Ini bermakna, solatnya adalah sia-sia.

Bagi mereka yang memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk mengetahui nasib dan mempercayainya, hal ini secara jelasnya adalah haram dan berdosa besar.

Manakala, bagi mereka yang memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar bagi tujuan kajian semata-mata tanpa mempercayainya, ianya adalah diharuskan.

 

Kesimpulan

Tiada seorangpun yang mengetahui perkara ghaib, melainkan Allah ‘Azza wa Jalla. Firman-Nya di dalam al-Qur’an al-Azim:

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَداً وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah, hanya miliknya bilakah berlakunya kiamat, dan Dia Mengetahui apa yang ada di dalam rahim-rahim. Tiada seorangpun yang tahu apa yang dia akan lakukan pada hari esok, dan tiada seorangpun tahu di mana dia akan menemui kematian.

(Surah Luqman: 34)

Firman Allah SWT lagi:

قُلْ لا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: Katakanlah, tidak ada satupun di langit dan dibumi yang mengetahui hal ghaib, kecuali Allah.

(Surah al-Naml: 65)

Jelas daripada dalil-dalil di atas, bahawa kepercayaan berhubung astrologi, mengetahui sifat seseorang melalui tarikh atau nombor tertentu melalui ilmu numerologi adalah berdosa dan dilarang di sisi Islam. Kami lampirkan di sini beberapa keadaan dan hukumnya:

  1. Meyakini zodiak boleh menentukan nasib baik dan buruk seseorang boleh membawa kepada kekufuran.
  2. Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya dengan niat untuk menggunakannya bagi mengetahui nasib dengan tujuan hobi atau sekadar suka-suka, dikira fasik dan berdosa besar.
  3. Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk menggunakannya bagi mengetahui nasib dan meyakininya tetapi masih beriman bahawa ianya berlaku dengan daya yang dijadikan oleh Allah SWT, ia adalah diharamkan. Mereka dikira fasik dan ahli bid’ah dan sudah pasti berdosa besar kerana melibatkan syirik.
  4. Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar bagi tujuan kajian semata-mata (khusus bagi tujuan penyelidikan) tanpa mempercayainya, ianya adalah diharuskan.