Mukadimah
Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan pelancaran seruan azan versi baharu dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Artificial intelligence) oleh sebuah syarikat rangkaian televisyen ternama di tanah air. Suara azan dikumandangkan dilatari dengan visual dan animasi ciptaan yang tidak asli dihasilkan dengan bantuan AI. Berikut adalah kupasan berkaitan dengan isu ini dari perspektif hukum yang boleh dilihat dalam beberapa situasi.
Penggunaan Kecerdasan Buatan (Ai) & Generative Ai dalam Karya Seni
Kecerdasan buatan atau lebih dikenali dalam kalangan masyarakat dunia dengan istilah Artificial Intelligence (Ai) telah memberi impak kepada dunia dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Kecerdasan buatan ini merupakan satu bentuk sistem komputer yang mampu meniru cara manusia berfikir sehingga merubah cara bekerja manusia dan landskap kehidupan manusia. Seiring dengan teknologi big data dan internet of things (IoT), teknologi ini telah melahirkan Revolusi Perindustrian 4.0.
Salah satu bidang AI yang kebelakangan ini sedang mendapat tempat dalam kalangan para pencipta karya digital khususnya mereka yang bekerja dalam bidang grafik dan fotografi adalah Generative Artificial Intelligence (GenAI). Generative AI ialah salah satu cabang daripada AI yang digunakan untuk menghasilkan konten berdasarkan berbagai jenis input. Input dan output model AI ini dihasilkan dalam pelbagai bentuk dokumen seperti teks, gambar, suara, animasi, model 3D, atau jenis data lainnya. Teknologi generatif AI juga dikatakan mampu menghasilkan grafik digital yang berkualiti sehingga sukar dibezakan dengan karya asli dihasilkan manusia. Meskipun Generative AI membawa banyak manfaat ia telah mencetuskan cabaran dan isu etika dari segi hak cipta dan kepemilikan intelektual, boleh juga membuka ruang kepada penyalahgunaan dan penipuan maklumat atau imej.[1]
Hukum Penambahan Bunyi Latar Pada Laungan Azan
Azan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam sebagai syiar utama yang dilaungkan bagi menandakan masuknya waktu solat fardu. Terdapat pelbagai hadis yang menunjukkan keutamaan laungan azan sebagai satu bentuk seruan kepada umat Islam untuk menunaikan kewajipan solat secara berjemaah. Justeru itu, majoriti fuqaha berpandangan bahawa hukum melaungkan azan adalah sunat yang sangat dituntut (sunnah muakkadah), bahkan sebahagian fuqaha berpandangan bahawa hukumnya adalah fardu kifayah. Imam al-Nawawi menjelaskan hal ini seperti berikut:
الأذان والإقامة سنة وقيل فرض كفاية
Maksudnya: "azan dan iqamat adalah sunat. Ada juga pandangan yang mengatakannya fardu kifayah".[2]
Para fuqaha banyak menjelaskan mengenai hukum dan adab berkaitan dengan laungan azan. Antara perkara sunat dalam melaungkan azan adalah dengan melaungkannya dengan suara yang kuat dan indah. Hal ini demikian bagi memastikan laungan azan tersebut dapat didengari oleh seramai yang mungkin dan mampu untuk mengajak kepada solat berjemaah. Syeikh Khatib al-Shirbiniy menjelaskan hal ini seperti berikut:[2]
(وَيُسَنُّ) لِلْأَذَانِ مُؤَذِّنٌ حُرٌّ؛ لِأَنَّهُ أَكْمَلُ مِنْ غَيْرِهِ (صَيِّتٌ) أَيْ عَالِي الصَّوْتِ لِقَوْلِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فِي خَبَرِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ «أَلْقِهِ عَلَى بِلَالٍ فَإِنَّهُ أَنْدَى مِنْكَ صَوْتًا» أَيْ أَبْعَدُ، وَلِزِيَادَةِ الْإِبْلَاغِ (حَسَنُ الصَّوْتِ) لِيَرِقَّ قَلْبُ السَّامِعِ وَيَمِيلَ إلَى الْإِجَابَةِ، وَلِأَنَّ الدَّاعِيَ يَنْبَغِي أَنْ يَكُونَ حُلْوَ الْمَقَالِ
Maksudnya: "disunatkan azan dilakukan oleh seorang muazin yang merdeka, kerana dia lebih sempurna daripada selainnya. (Muazin tersebut hendaklah) memiliki suara yang lantang, berdasarkan sabda Nabi SAW dalam hadis Abdullah bin Zaid: "Ajarkanlah (lafaz azan) kepada Bilal, kerana suaranya lebih nyaring daripadamu," iaitu lebih kuat, supaya lebih sampai seruan tersebut. (Muazin juga hendaklah) memiliki suara yang merdu supaya hati para pendengar menjadi lembut dan cenderung untuk menyahut seruan, kerana seorang yang menyeru kepada sesuatu sewajarnya memiliki ucapan yang indah".[3]
Sungguhpun disunatkan azan dilaungkan oleh orang yang mempunyai suara yang indah, namun perlu juga dipastikan supaya tidak berlebihan dalam melagukan azan tersebut. Hal ini turut dijelaskan oleh Syeikh Khatib al-Shirbiniy seperti berikut:
يُكْرَهُ تَمْطِيطُ الْأَذَانِ: أَيْ تَمْدِيدُهُ وَالتَّغَنِّي بِهِ: أَيْ التَّطْرِيبُ
Maksudnya: "Makruh memanjangkan azan, iaitu dengan memanjangkan mad (melebihi kadarnya) dan melagu-lagukan lafaznya".[4]
Selain itu, disunatkan juga agar laungan azan tersebut hanya dilaungkan oleh seorang muazin sahaja bagi memastikan tiada bunyi suara yang bercampur yang boleh menyebabkan kekeliruan kepada pendengar. Syeikh Khatib al-Shirbiniy menjelaskan hal ini seperti berikut:
وَيُشْتَرَطُ فِي الْأَذَانِ وَالْإِقَامَةِ عَدَمُ بِنَاءِ غَيْرِهِ عَلَى أَذَانِهِ أَوْ إقَامَتِهِ؛ لِأَنَّ ذَلِكَ مِنْ شَخْصَيْنِ يُوقِعُ فِي لَبْسٍ غَالِبًا
Maksudnya: "Disyaratkan dalam azan dan iqamat supaya tiada orang lain menyambung azan atau iqamatnya, kerana perkara tersebut jika dilakukan oleh dua orang biasanya akan menyebabkan kekeliruan".[5]
Berdasarkan kepada penjelasan hukum yang dikemukakan oleh para fuqaha silam, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hukum memasukkan bunyi latar yang berlebihan dalam laungan lafaz azan, apatah lagi bunyi yang tiada kaitan dengan lafaz azan adalah merupakan satu perbuatan yang makruh. Hal ini antara lainnya adalah kerana bunyi latar yang berlebihan boleh menyebabkan gangguan terhadap suara laungan azan yang sewajarnya dikekalkan pada lafaz asalnya sahaja sebagai syiar Islam yang merupakan seruan kepada seluruh umat Islam untuk menunaikan solat.
Hukum Penggunaan AI dalam Penghasilan Imej atau Video
Secara asasnya, hukum menghasilkan imej menggunakan teknologi Generative Ai, iaitu seseorang memasukkan arahan pada perisian atau aplikasi untuk gambar yang dikehendaki kemudian menghasilkan imej digital atau video mengambil hukum sama seperti hukum melukis gambar.
Dalam hal ini, para fuqaha berbeza pendapat dalam menentukan hukum gambar berdasarkan jenis imej yang dihasilkan sama ada daripada benda yang bernyawa atau tidak, serta tujuan di sebalik sesuatu gambar tersebut dihasilkan.
Bagi hukum melukis gambar yang tidak mempunyai roh atau tidak bernyawa seperti pokok-pokok atau gunung ganang, sungai, alam semesta dan sebagainya adalah harus dan dalam hal ini tidak ada perselisihan di kalangan ulama. Hal ini berdasarkan kepada riwayat antaranya daripada Ibnu Abbas RA katanya:
وَيْحَكَ إِنْ أَبـَيْتَ إِلاَّ أَنْ تَصْنَعَ ، فـَعَلَيْكَ َبِهَذَا الشَّجَرِ ، كُلِّ شَىْءٍ لَيْسَ فِيهِ رُوحٌ
Maksudnya: Jika engkau masih tetap ingin melukis, maka gambarlah pohon atau segala sesuatu yang tidak memiliki roh.[6]
(Riwayat Bukhari)
Manakala, hukum melukis gambar makhluk yang hidup dan sempurna adalah haram menurut majoriti ulama[7]. Hal berdasarkan sabda Nabi SAW:
إِنَّ الَّذِينَ يَصْنَعُونَ هَذِهِ الصُّوَرَ يُعَذَّبُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُقَالُ لَهُمْ: أَحْيُوا مَا خَلَقْتُمْ
Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat seraya diseru, Hidupkan apa yang kalian buat.[8]
(Riwayat al-Bukhari)
Perkara ini dilarang sebagai sadd al-zari’ah (menyekat jalan-jalan keburukan) supaya dapat menutup dan mencegah unsur-unsur penyembahan berhala, memerangi syirik, dan memastikan manusia hanya mengagungkan Allah semata-mata.[9]
Namun, larangan ini tidak berlaku sekiranya gambar makhluk bernyawa tersebut tidak sempurna iaitu hanya menampilkan sebahagian anggota sahaja iaitu jika dengan ketiadaan sebahagian anggota seperti kepala tersebut maka tiada bernyawa manusia dan haiwan itu. Hal ini difahami berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa:
اسْتَأْذَنَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ادْخُلْ فَقَالَ كَيْفَ أَدْخُلُ وَفِي بَيْتِكَ سِتْرٌ فِيهِ تَصَاوِيرُ فَإِمَّا أَنْ تُقْطَعَ رُءُوسُهَا أَوْ تُجْعَلَ بِسَاطًا يُوطَأُ
Maksudnya: Jibril AS meminta izin kepada Nabi SAW untuk masuk ke rumah Baginda. Nabi SAW menyebut: Masuklah. Kata Jibril: Bagaimana aku nak masuk sedangkan di dalam rumah engkau ada langsir yang ada lukisan padanya. Sama ada engkau potong kepala (lukisan tersebut) atau dijadikan alas yang dipijak-pijak.[10]
(Riwayat al-Nasa’i)
Malah menurut ulama mazhab Syafi’i haram melukis makhluk yang hidup walaupun dalam bentuk yang tidak sempurna atau makhluk yang tidak pernah wujud seperti gambar manusia yang memiliki sayap[11]. Namun pandangan kedua dalam mazhab Syafi’i iaitu pandangan Imam Abu Hamid al-Marwazi harus melukis gambar makhluk yang tidak wujud di alam nyata[12]
Walau bagaimanapun, terdapat pandangan yang membenarkan antaranya pendapat Syeikh Yusuf al-Qaradhawi. Beliau berpandangan bahawa imej atau gambar digital makhluk yang bernyawa seperti manusia dan haiwan tidak termasuk dalam larangan dalam hadis kerana tidak terdapat sebab pengharaman yang dijelaskan dalam hadis. Malah, imej yang dihasilkan sama ada melalui alat tertentu (kamera atau teknologi-teknologi lain) adalah seperti menangkap bayang-bayang bukan seperti lukisan atau ukiran yang dipahat mempunyai tiga dimensi.[13]
Sebahagian ulama pula memberikan mengharuskan hukum penghasilan dan penggunaan gambar untuk tujuan yang tidak bercanggah dengan syarak dan tujuan mencapai kemaslahatan seperti pendidikan atau dakwah[14].
Berdasarkan penjelasan di atas, visual video atau gambar yang melatari azan yang dikumandangkan termasuk dalam tujuan ini. Keharusan untuk menghasilkan dan menggunakan imej digital ini mestilah tertakluk kepada syarat:
- Gambar yang melibatkan makhluk bernyawa yang dihasilkan tidak menampilkan gambar yang sempurna iaitu hanya sebahagian anggota tubuh badan.
- Gambar yang dihasilkan tidak membawa apa unsur yang bercanggah dengan syarak
- Gambar yang dihasilkan dan digunakan untuk tujuan menyebarkan manfaat dan kebaikan.
Kesimpulan
Azan merupakan antara syi’ar Islam yang bersifat ta’abbudi dan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. Oleh itu, sewajarnya dikekalkan pada lafaz asalnya sahaja tanpa menambah sebarang bunyi latar yang berlebihan dalam laungan lafaz azan, apatah lagi bunyi yang tiada kaitan dengan lafaz azan. Sebarang penambahan bunyi atau suara pada azan merupakan satu perbuatan yang makruh.
Hukum menghasilkan imej menggunakan teknologi Generative Ai mengambil sama seperti hukum melukis gambar. Oleh itu, penghasilan imej digital ini adalah harus dengan syarat ia digunakan untuk tujuan yang tidak bercanggah dengan syarak dan tujuan mencapai kemaslahatan seperti pendidikan atau dakwah.
Keharusan untuk menghasilkan dan menggunakan imej digital ini mestilah tertakluk kepada syarat:
- Gambar yang melibatkan makhluk bernyawa yang dihasilkan tidak menampilkan gambar yang sempurna iaitu hanya sebahagian anggota tubuh badan.
- Gambar yang dihasilkan tidak membawa apa unsur yang bercanggah dengan syarak
- Gambar yang dihasilkan dan digunakan untuk tujuan menyebarkan manfaat dan kebaikan.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Mengenali Dunia Generative Ai, diakses 19 Januari 2024 daripada pautan: http://www.idec.upm.edu.my/artikel/mengenali_dunia_generative_ai-78079
[2] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawi (2005), Minhāj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, Beirut: Dār al-Fikr, 22.
[3] Shams al-Din Muhammad al-Khaṭīb al-Shirbīniy, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma'rifah Ma'āni al-Minhāj, (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1994), Jil.1, hal. 324.
[4] al-Khaṭīb al-Shirbīniy, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma'rifah Ma'āni al-Minhāj, Jil. 1, hal. 325.
[5] al-Khaṭīb al-Shirbīniy, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma'rifah Ma'āni al-Minhāj, Jil.1, hal. 323.
[6] Abu Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhari al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, Peny. Mustafa Dib al-Bugha, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), Jil.2, hal. 775.
[7] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Kuwait: Dar al-Salasil, 2006), Jil. 12, hal. 110.
إِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ كَصِنَاعَةِ ذَوَاتِ الظِّل. وَهَذَا قَوْل جُمْهُورِ الْفُقَهَاءِ مِنَ الْحَنَفِيَّةِ وَالشَّافِعِيَّةِ وَالْحَنَابِلَةِ، وَنُقِل عَنْ كَثِيرٍ مِنَ السَّلَفِ.
[8] Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qushayri Al-Nisaburi, Sahih Muslim, (Turki: Dar Al-Tiba’ah Al-‘Amarah, 1915), Jil. 6, hal. 161.
[9] Wahbah Al-Zuhayli, Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu (Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1989), Jil. 4, ms. 2670.
والحكمة من التحريم: منع التشبه بعبادة الأوثان والأصنام، ومحاربة الشرك، وتوفير التعظيم لله وحده
[10] Abu Abd al-Rahman,Sunan al-Nasa’i (Kaherah: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra. 1930). Jil. 8, hal. 216.
[11] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Barlisi Umairah, Hasyiata Qalyubi wa Umairah, (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), Jil 3, hal. 298.
(وَيَحْرُمُ تَصْوِيرُ حَيَوَانٍ) وَلَوْ عَلَى هَيْئَةٍ لَا يَعِيشُ مَعَهَا مَا لَا نَظِيرَ لَهُ كَمَا مَرَّ أَوْ مِنْ طِينٍ أَوْ مِنْ حَلَاوَةٍ،
[12] Abu Hassan Ali bin Muhammad al-Mawardi, Al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab Imam al-Syafi’i, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1999), Jil. 9, hal. 565.
وَالْوَجْهُ الثَّانِي: وَهُوَ قَوْلُ أَبِي حَامِدٍ الْمَرْوَزِيِّ لَا تَحْرُمُ؛ لِأَنَّهُ يَكُونُ بِالتَّزَاوِيقِ الْكَاذِبَةِ أَشْبَهَ مِنْهُ بِالصُّوَرِ الْحَيَوَانِيَّةِ، فَعَلَى الْوَجْهِ الْأَوَّلِ يَحْرُمُ عَلَيْهِ أَنْ يُصَوِّرَ وَجْهَ إِنْسَانٍ بِلَا بَدَنٍ وَعَلَى الْوَجْهِ الثَّانِي لَا يَحْرُمُ.
[13] Yusuf al-Qaradawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, (Kaherah: Maktabah Wahbah, 2007), hal. 137-138
أن العلة التي نصت عليها بعض الأحاديث في عذاب المصورين - وهي أنهم يضاهون خلق الله - لا تتحقق هنا في الصور الفوتوغرافية ؟ وحيث عدمت العلة عدم المعلول ،كما يقول الأصوليون
أن أخذ الصورة بالفوتوغرافيا - الذي هو عبارة عن حبس الظل
[14] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Jil. 12, hal. 113.
لَمْ نَجِدْ أَحَدًا مِنَ الْفُقَهَاءِ تَعَرَّضَ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا، عَدَا مَا ذَكَرُوهُ فِي لُعَبِ الأَْطْفَال: أَنَّ الْعِلَّةَ فِي اسْتِثْنَائِهَا مِنَ التَّحْرِيمِ الْعَامِّ هُوَ تَدْرِيبُ الْبَنَاتِ عَلَى تَرْبِيَةِ الأَْطْفَال كَمَا قَال جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ، أَوِ التَّدْرِيبُ وَاسْتِئْنَاسُ الأَْطْفَال وَزِيَادَةُ فَرَحِهِمْ لِمَصْلَحَةِ تَحْسِينِ النُّمُوِّ كَمَا قَال الْحَلِيمِيُّ، وَأَنَّ صِنَاعَةَ الصُّوَرِ أُبِيحَتْ لِهَذِهِ الْمَصْلَحَةِ، مَعَ قِيَامِ سَبَبِ التَّحْرِيمِ، وَهِيَ كَوْنُهَا تَمَاثِيل لِذَوَاتِ الأَْرْوَاحِ. وَالتَّصْوِيرُ بِقَصْدِ التَّعْلِيمِ وَالتَّدْرِيبِ نَحْوُهُمَا لاَ يَخْرُجُ عَنْ ذَلِكَ.