اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #544 : BEREBUT KUASA JAWATAN PENGURUSAN MASJID

Soalan: Apakah hukumnya berebut kuasa dalam organisasi pengurusan atau pentadbiran masjid?

Jawapan:

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ 

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Ibn Kathir berkata: “Disertakan pengakuan iman bagi yang memakmur dan mengimarahkan masjid.”

Yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid adalah membina, menjaga kebersihan, melengkapi kemudahan dan prasarananya, dan membuat penerangan. Juga termasuk kategori memakmurkan masjid adalah mendirikan solat didalamnya, banyak mengerjakan solat berjemaah di dalamnya, belajar dan mengajar ilmu-ilmu yang bermanfaat di dalamnya, ilmu yang bermanfaat yang paling agung adalah belajar dan mengajar al-Quran dan melakukan ketaatan lain, seta mengikhlaskan semua bentuk ibadah hanya untuk mencari redha Allah semata. (Al-Qahtani, 2010)

Dalam hal ini suka kami nyatakan berkhidmat untuk masjid adalah salah satu tugas yang mulia dan utama kerana ia adalah rumah Allah SWT untuk ditegakkan syiarnya. Tugasan seperti ini perlu dilaksanakan dengan amanah bukan berebut mencari jawatan tetapi bersungguh-sungguh untuk menyumbang ke arah kebaikan.

Dalam urusan masjid sewajarnya semua pihak mengelakkan daripada merebut jawatan tetapi masing-masing yang diberi tanggungjawab menunaikan dengan sepenuh hati dan seikhlasnya. Ini kerana memelihara rumah Allah dan mengimarakannya mempunyai kemuliaan dan kelebihan yang besar di sisi Tuhannya. Inilah nasihat kami kepada semua yang terbabit.

Kesedaran untuk mengimarahkan masjid amat penting kepada setiap individu Muslim. Kesedaran ini perlu ditanam untuk memastikan masjid sentiasa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang mendekatkan diri dengan Maha Pencipta dan dapat mengukuhkan perpaduan umat Islam.