اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI SIRI KE-531: SOLAT JUMAAT DALAM MUSAFIR

 

Soalan: Apakah hukum solat Jumaat ketika bermusafir?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Kami memulakan perbahasan ini dengan menyatakan hukum solat Jumaat terlebih dahulu:

 

Solat jumaat diwajibkan ke atas semua orang islam berdasarkan:

 

  • Fiman Allah SWT:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”. [al-Jumu’ah:9]

                                                                                        

Para ulama’ memperincikan ayat tersebut dengan meletakkan syarat-syarat wajib Jumaat dan syarat-syarat sah Jumaat. Antara syarat wajib Jumaat ialah bermusthauthin atau bermukim, maka tidak diwajibkan ke atas orang yang bermusafir sebagaimana di dalam hadis Nabi SAW:

 

  • Daripada Thariq bin Syihab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

الجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَربَعَة : عَبدٌ مَملُوكٌ ، أَو امرَأَةٌ ، أَو صَبِيٌّ ، أَو مَرِيضٌ

Maksudnya: “Jumaat adalah hak wajib bagi setiap muslim secara berjemaah melainkan empat (golongan): Hamba, wanita, bayi atau orang yang sakit”. [Riwayat Abu Daud (1067)][Imam al-Nawawi berkata bahawa hadis ini sanadnya sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim]

 

Walaupun hadis tersebut tidak menyebut orang musafir tetapi ulama’ menjelaskan bahawa bilangan yang yang disebutkan tidaklah menghadkan kepada empat golongan itu sahaja bahkan perlu dilihat kepada hadis yang lain juga.

 

Pengecualian kepada orang musafir berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW yang tidak melakukan solat jumaat ketika Baginda SAW bermusafir sepertimana ketika Nabi SAW dalam perjalanan menunaikan haji yang mana hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, maka Nabi SAW telah melakukan solat zohor dan asar secara jamak. Pandangan itu dipegang oleh jumhur ulama’, antaranya:

 

  • Kata Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al majmu’: “tidak diwajibkan jumaat ke atas orang musafir dan ini adalah pegangan mazhab kami yang tiada perselisihan dalam kalangan kami”.

 

Manakala hukum sembahyang Jumaat di atas kapal Flotilla ke Myanmar adalah tidak diwajibkan berdasarkan hujah beberapa hujah:

 

  1. Bahawa mereka sedang dalam keadaan musafir.

 

  1. Solat jumaat hendaklah dilakukan di kampong atau di dalam binaan (tempat) yang ditetapkan seperti masjid,surau atau lain-lain lagi.

 

Walaubagaimanapun , kami berpendapat bahawa solat Jumaat yang telah dilakukan oleh ahli rombongan yang berada di atas kapal tersebut adalah sah dan tidak perlu diulangi (qadha’) kerana mereka yang dalam musafir tidak diwajibkan untuk mendirikan solat Jumaat tetapi bukanlah solat yang dilakukan itu tidak sah. Bahkan sesetengah ulama’ seperti Imam Ibn hazm dan Imam al-Bukhari mengatakan wajib ditunaikan solat jumat ke atas orang musafir dengan bersandarkan kepada zahir hadis tersebut.

 

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbezaan pendapat ulama’ dalam masalah ini dan dengan melihat kepada hujahan maka kami ingin menyimpulkan seperti berikut:

  • Tidak wajib ditunaikan solat Jumaat ke atas orang yang sedang bermusafir.
  • Sah solat Jumaat yang dilakukan oleh rombongan yang berada di atas kapal Flotilla ke Myanmar.
  • Sebaiknya ditunaikan solat zohor dan asar secara jamak.
  • Diadakan slot ceramah atau tazkirah bagi memberi suntikan semangat kepada ahli rombongan.

 

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan.