اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #316 : ORANG BUKAN ISLAM, NAJIS MUGHALLAZAH?

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 316 (5 JULAI 2016 M / 30 RAMADHAN 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum..sy ade pertanyaan sikit.

Ade la sorg hamba Allah ni ckp dia xnak sentuh org bkn muslim yg pelihara anjing. Kisah dia mcm ni,kami team yg akan buat pemeriksaan kesihatan kt pelajar sekolah. So,kami akan pegang pelajar yg non muslim. pastu si polan tu tnya,"sentuh bdk tu,nanti balik samak ke x? Kalau dorg pgg anjing ke ape ke mcm mna?".

Kami mmg peluk bdk tu sbb dia takut dgn kami. Kami jadi mcm tertanya2 la jgk. perlu ke kami samak? Sy x pernah la dgr pasal kena samak bila sentuh org non muslim. Sy tau islam tu indah,islam tu mudah. tq admin.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Pada zahirnya orang bukan Islam itu tidak bernajis dan tidak perlu membasuk anggota badan yang menyentuh anggota badan mereka. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis.

(Surah al-Taubah, 9:28)

Berkara Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autar (1/35) bahawa sebahagian ahli zahir menganggap najis seperti dalam ayat di atas dan berdasarkan hadis lain, orang bukan Islam itu ialah najis secara hakiki. Jumhur ulama menjawab bahawa najis dalam ayat itu bermaksud kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka.

Dalil mereka ialah Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Para jumhur juga menjawab bahawa Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi.

Dan disebut dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab (1/264), apabila seseorang itu bersuci menggunakan bekas milik orang kafir sedang dia tidak mengetahui suci atau najisnya, terdapat dua keadaan:

Pertama: Jika orang kafir itu tidak termasuk dalam kalangan yang kuat beragama menggunakan najis, maka sahlah taharahnya tanpa khilaf.

Kedua: Jika orang kafir itu termasuk dalam kalangan yang kuat beragama menggunakan najis, maka ada dua wajah (pendapat) bahawa sah taharahnya dan inilah yang dinaskan dalam kitab al-Umm, dan kitab Harmalah. Begitu juga dengan pendapat qadim dan ini telah diberi pandang oleh Ibn Abu Hurairah. Wajah yang kedua pula tidak sah taharahnya dan ini merupakan pendapat Abi ishak dan ditashihkan oleh al-Mutawalli.

Justeru, kami berpendapat dalam isu ini boleh bersentuhan dengan orang yang bukan Islam sekalipun dia memelihara anjing, kecualilah sebelum kita menyentuhnya, dia telah menyentuh anjing dan nampak kesan najis daripada sentuhan itu seperti air liur dan lain-lain.

Hal ini kerana kita memakai hukum dengan mengambil zahir semata-samata dan serahlah kepada Tuhan dalam hal-hal yang batin.

Semoga kita sentiasa berlapang dada dan menjadi juru biacara dakwah kepada non-muslim dan menyakinkan mereka dengan akhlak dan tingkah laku yang baik.

Wallahua’lam.