AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 409 (21 OKTOBER 2016 M / 20 MUHARRAM 1438 H)
SOALAN:
Salam. Apa pendapat tuan dengan gambar ini? Dia mendakwa solat fardu itu hanya tiga kali sehari, cukup satu rakaat dan berakhir dengan salam. Hujahnya berdasarkan ayat al-Quran dan meyakinkan.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Menurut kenyataan yang dilampirkan itu, kami berpendapat orang berkenaan telah dihinggapi syubhah atau kekeliruan golongan Quranis Moden. Mereka ini mendakwa Islam sudah mampu difahami dengan al-Quran semata-mata tanpa perlu melihat penjelasan dari segi pengamalannya berdasarkan kefahaman Rasulullah SAW dan Sahabat, generasi yang di sisi mereka al-Quran diturunkan. Sedangkan, generasi awal Islam ini telah berijmak yakni bersepakat tanpa bantahan bahawa solat itu 5 kali sehari semalam.
Allah Taala berfirman:
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ
Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang, pada dua bahagian siang, dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
Surah Hud, (11:114)
Ayat al-Quran ini merujuk kepada tiga waktu solat, tetapi tidak pula mengehadkannya kepada setiap waktu solat itu ada tiga fardu solat sahaja. Contohnya jika seseorang guru berkata kepada anak muridnya, “Hendaklah kamu belajar pada waktu pagi, petang dan malam.” Apakah yang guru itu maksudkan hanya perlu belajar 3 subjek sahaja? Ternyatalah tidak dan memerlukan kepada perincian.
Sememangnya ulama berbeza pandangan tentang apa yang dimaksudkan “طرفي النهار” dan “زلفا من الليل”. Ada yang berkata “طرفي النهار” itu bermaksud subuh, dan zuhur dan asar, atau subuh dan maghrib, atau subuh dan asar. Begitu juga “زلفا من الليل”, sama ada maghrib, isyak dan subuh, atau maghrib dan isyak sahaja, atau isyak sahaja. Pendapat yang dipilih sebagaimana yang disebut oleh al-Qurtubi di dalam tafsirnya ialah bahagian pertama siang itu bermaksud solat fardu subuh, dan bahagian kedua siang itu merangkumi solat fardu zuhur dan asar. Manakala solat malam pula merangkumi solat fardu maghrib dan isyak. Rujuk Tafsir al-Qurtubi (9/108-109).
Daripada Talhah bin Ubaidillah R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي اليَوْمِ وَاللَّيْلَةِ
Maksudnya: Ada lima solat (yang wajib didirikan) pada siang malam.
Hadis riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)
Hadis ini menafikan kenyataan bahawa tidak ada solat lima waktu di dalam Islam kerana hadis ini hadis yang sahih mengikut piawaian Imam Bukhari dan Imam Muslim. Quranis Moden juga bersikap kritis secara radikal terhadap Imam Bukhari dan Muslim kerana menurut mereka hadis-hadis yang diriwayatkan oleh mereka hanyalah berdasarkan sangkaan mereka. Benar, para ulama hadis membezakan al-Quran dan al-Hadis daripada segi sangkaan kerana ayat al-Quran wujud secara mutawatir, yakni diriwayatkan oleh jumlah perawi yang ramai sehingga tidak boleh untuk menerima kesilapan kerana ramainya yang meriwayat sedemikian. Manakala hadis ahad, yakni hadis yang jumlah perawinya tidak mencapai darjat mutawatir, berada pada sangkaan yang kurang daripada al-Quran. Namun ini tidak menjejaskan kewujudan dan kesahihannya kerana hadis itu diriwayatkan oleh orang yang terpecaya kredibilitinya sejak zaman berzaman, apatahlagi jika dibanding dengan kenyataan akaun facebook berkenaan. Hal ini diperakui oleh Imam al-Nawawi dalam al-Arba’un al-Nawawiyyah bahawa kitab hadith, Sahih Bukhari dan Sahih Muslim ialah kitab yang paling sahih selepas al-Quran.
Kesepakatan solat lima waktu ini bukan sahaja diakui oleh Ahlu Sunnah sahaja, bahkan oleh Syiah dan Ibadhiyyah sendiri. Ijmak terhadap kefahaman solat lima waktu telah terpakai daripada zaman dahulu sehingga sekarang, lantas apabila ada seseorang yang hidup pada zaman sekarang menafikannya mengikut sangkaan dia sendiri yang tidak lebih baik daripada kefahaman generasi terdahulu, lebih selayaknya ditolak.
Hakikatnya, ayat al-Quran tidak boleh diambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, mengikut selera masing—masing. Ketetapan solat lima waktu ini bukannya ditetap melalui ayat ini sahaja. Al-Imam al-Mawardi menyebut dalam al-Hawi al-Kabir (2/6) bahawa al-Quran menyebut secara mutlak dan umum tentang waktu solat ini, sebelum diperincikan tatacaranya di dalam hadis Rasulullah, dalam ayat berikut:
فَسُبْحَانَ اللَّهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ (17) وَلَهُ الْحَمْدُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَعَشِيًّا وَحِينَ تُظْهِرُون(18)
Maksudnya: Maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh. Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji di langit dan di bumi, dan juga pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.
Surah al-Rum, (30:17-18)
Bersambung di laman rasmi PMWP : https://goo.gl/zuXmdf