AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 361 (15 OGOS 2016 M / 12 ZULKAEDAH 1437 H)
SOALAN:
Salam datuk/tuan, soalan saya apakah hukum jika seseorang meninggalkan solat dengan SENGAJA tetapi PASTI dia akan menqadakannya semula? terima kasih.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Sesungguhnya perbuatan meninggalkan solat secara sengaja adalah haram dan berdosa besar. Imam al-Dzahabi menyebutkan hakikat ini secara panjang lebih dalam kitabnya, al-Kaba’ir (yang bermaksud; dosa-dosa yang besar). Sebahagian ulama bahkan menghukum orang yang meninggalkan solat dengan sengaja sebagai keluar daripada Islam atau kufur.
Banyak nas-nas al-Quran dan hadis yang menunjukkan ancaman keras dan balasan azab yang besar terhadap pelakunya. Justeru kami menasihati agar kita jangan memandang enteng isu meninggalkan solat secara sengaja sekalipun akan menggantikannya. Meninggalkan solat kerana malas juga merupakan perangai golongan nifaq (munafiq).
Jika apa yang disebutkan dalam soalan diatas sudah berlaku atau ingin dibuat, maka kami mengesyorkan agar taubat segera dilakukan, agar tidak terwujud langsung di dalam hati niat untuk meninggalkan solat. Kemudian, wajiblah melakukan qadha’. Sesali perbuatan dan tidak mengulangi lagi. Renungilah firman Allah Azza wa Jalla dalam Surah al-Muddaththir:
مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ
Maksudnya: Apa yang telah kamu berbuat sehingga masuk ke Neraka Saqar? Mereka menjawab,’Kami (di dunia) bukan daripada orang yang mendirikan solat.’
Surah al-Muddaththir, 74:42-43
Wallahua’lam.