AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 351 (5 OGOS 2016 M / 2 ZULKAEDAH 1437 H)
SOALAN:
Apakah hukum 1 bahagian dari 7 bahagian korban dikongsi oleh lebih dari seorang untuk menampung kos untuk 1 bahagian korban? Contoh 1 bahagian lembu korban berharga RM600. Kemudian 3 orang adik-beradik berkongsi bahagian tersebut dengan masing-masing membayar RM200 bagi membayar 1 bahagian korban.
JAWAPAN:
Di dalam Kitab al-Iqna’ (2/588) oleh al-Imam Muhammad al-Syarbini al-Khatib, ada menyebut:
“Hukumnya ialah sunat muakkad yang dianggap benar di sisi kami (Syafieyyah) secara sunat kifayah, (yakni) jika ramai ahli dalam sebuah rumah itu maka jika dilaksanakan korban seseorang daripada mereka, maka mamadailah (pahala korban) daripada sekalian lainnya. Jika hanya seorang sahaja, maka jadilah sunat ain”
Seterusnya penulis juga menyebut keharusan bersekutu dalam melaksanakan korban daripada seekor haiwan badanah (unta dan lembu) sebanyak tujuh orang berpandukan hadis Jabir RA:
خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُهِلِّينَ بِالْحَجِّ: «فَأَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَشْتَرِكَ فِي الْإِبِلِ وَالْبَقَرِ، كُلُّ سَبْعَةٍ مِنَّا فِي بَدَنَةٍ
Maksudnya: Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan berihram haji lalu Baginda menyuruh kami bersekutu dalam menyembelih korban unta dan lembu, tujuh bahagian korban dibahagi tujuh orang.
Hadis riwayat Imam Muslim (1318)
Ulama juga berbincang tentang perkongsian dalam satu bahagian. Misalnya, seseorang itu berkorban seekor kambing untuk dirinya, untuk keluarganya, dan orang lain.
Dalam sebuah hadis Aisyah R.anha yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (no. 1967) dalam Sahihnya, bahawa Rasulullah SAW berkorban dua ekor kibasy dan bersabda:
بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ
Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah! Terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan daripada umat Muhammad.
Berkata Imam al-Nawawi:
“Ulama berpandukan hadis ini bagi membenarkan ibadah korban seseorang itu bagi dirinya dan keluarganya, dan pahala itu dikongsi oleh dirinya dan ahli rumahnya. Inilah pandangan mazhab kami (Syafieyyah) dan jumhur, sedangkan dianggap makruh oleh al-Thauri, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya.”
Rujuk al-Minhaj (1967)
Memang, asal hukum ialah satu bahagian mewakili nama seorang sahaja. Namun, dari sudut pahala, InsyaAllah Allah akan bahagikan pahala pada syiar, pelaksanaan sunnah, dan tolong menolong atas kebaikan.
Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini:
“Jika seseorang itu berkorban dengan menyembelihnya (kambing) dari dirinya dan dari keluarganya, atau dari dirinya dan orang lain bersekutu pada pahalanya, maka dibenarkan.”
Rujuk Al-Iqna’ (2/567)
Wallahua’lam.