AL-KAFI LI AL-FATAWI #480: MATI OTAK NAMUN MASIH TERDAPAT TINDAKAN REFLEKS
5 Disember 2016 bersamaan 6 Rabi' al-Awwal 1438 H
Soalan:
Saya ingin bertanyakan mengenai keadaan pesakit yang telah mati otak (brain death) namun masih memberi tindakan refleks melalui pergerakan jari dan sebagainya. Dalam keadaan begitu, adakah pesakit itu boleh disahkan kematiannya kerana dalam keadaan mati otak?
Jawapan:
Mengenai permasalahan hukum berkaitan kematian otak (brain death), kami telah menjawabnya pada siri Irsyad al-Fatwa ke-100 (klik sini untuk bacaan tambahan). Secara asasnya, bagi mereka yang telah disahkan akan kematiannya oleh doktor yang terlatih, tidak akan adanya tindak balas refleks melainkan baki-baki nyawa yang terdapat melalui denyutan nadi serta pergerakan otot dan ini tidak dikira sebagai tanda-tanda sebuah kehidupan.
Di dalam etika perubatan di Malaysia, sebelum seseorang itu disahkan kematiannya disebabkan oleh brain death, pesakit perlulah menjalani beberapa diagnosis serta ujian bagi mengesahkan bahawa brain death yang dilalui oleh pesakit itu adalah brain death yang dibolehkan secara hukumnya untuk dicabutkan alat bantuan pernafasan kerana telah disahkan sebagai mati yang hakiki. Antara diagnosis dan ujian[1] tersebut ialah:
- Perlulah berada dalam koma yang mana tidak memberikan sebarang respons dan markah bagi Glasgow koma (GCS) 3/15.
- Telah melalui ujian apnoea (ujian suspensi pernafasan).
- Ujian bagi penentuan kehilangan refleks bagi brain stem yang mana perlu ditentukan melalui ujian-ujian berikut:
- Pupillary light reflex
- Ocula-cephalic reflex
- Motor response in cranial nerve distribution
- Corneal reflex
- Vestibulo-ocular reflex (Caloric Test)
- Oro-pharyngeal reflex
- Tracheo-bronchial reflex
Sekiranya kesemua diagnosis ini telah dijalankan dan ianya telah disahkan oleh doktor pakar maka barulah boleh disahkan kematian tersebut. Ini menunjukkan pengesahan bagi sesuatu kematian disebabkan oleh mati otak mempunyai prosedur yang amat ketat. Oleh itu, jika terdapat tindakan refleks terhadap pesakit, perlulah dirujuk kepada pihak doktor yang pakar sebelum tindakan selanjutnya di ambil. Wallahu a’lam.
[1] Diambil dari Guideline of The Malaysian Medical Council berkenaan Brain Death. Hlm. 15-18.