اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #481: HUKUM MEMAKAN TELUR HAIWAN YANG TIDAK DIBASUH

SOALAN:

Assalamualaikum wbt,

Apakah hukum seseorang yang membuat roti canai telur menggunakan telur ayam yang tidak dibasuh? Adakah ia bernajis atau sebaliknya?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Jika telur tersebut tidak kelihatan padanya najis seperti tahi ayam dan sebagainya maka ia dihukum suci. Berkata Imam Abu Bakar al-Dimyati, dalam syarahnya terhadap kitab Fath al-Mu`in yang bermaksud:

“Perkataan musannif ‘bahawa tidak wajib untuk membasuh zakar selepas berjimak, telur dan anak yang dilahirkan,’ bererti (barang) yang terkena lembapan faraj, sama ada lembapan itu suci atau tidak, dan kalau ia najis sekalipun ia dimaafkan, maka ia tidak menajiskan perkara-perkara yang telah disebutkan.”

Rujuk I’anah al-Talibin (1/104)

Namun jika ternampak najis pada telur itu, maka wajiblah membasuhnya. Jika tidak nampak atau disangka sahaja ada najis, maka kembali kepada hukum bahawa ia tidak bernajis.

Jawapan bagi soalan di atas, maka hukumnya suci selagi tidak ada kesan yang menunjukkan kenajisannya seperti tahi ayam. Jika terdapat najis sekalipun, namun yang dimaka ialah isinya, bukan kulitnya. Justeru, jika tiada nampak najis yang masuk ke dalam roti canai berkenaan maka hukumnya adalah suci pada asalnya. Sekalipun begitu, membasuh telur bagi memastikan kebersihan dan kesucian adalah etika yang baik dalam penyediaan makanan.

Wallahua’lam.