اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

PENGISIAN ROHANI, JANGAN SAMPAI KERJA TERABAI

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 170 (29 JANUARI 2016 / BERSAMAAN 19 RABIULAKHIR 1437H)

 

Kredit

Soalan:

Assalamualaikum,

Selamat pagi yang dimuliakan lagi dikasihi Tuan Dato Mufti Wilayah Persekutuan.

Saya ingin bertanyakan tentang isu program agama di pejabat.  Saya beri contoh. Acapkali saya pergi ke beberapa pejabat tanah dalam 3-4 kali bulan ini pada hari Jumaat untuk sesuatu tugas yang memerlukan saya berjumpa sesorang pegawai atau petugas pejabat tersebut, tetapi acap kali akan lambat atau lewat. Kadangkala menunggu dari pejabat buka jam 8 sehinggalah jam 10 pagi, kerana, ada acara atau majlis membaca yasin atau ceramah atau doa selamat di pagi Jumaat. Banyak lagi organisasi atau pejabat yang berurusan dengan orang ramai yang bertindak begini. Pada pendapat saya, Kerja Itu Wajib. Membaca Yasin di Hari Jumaat di waktu kerja itu tidaklah perlu.

Mohon ulasan, pencerahan dan mungkin cadangan pihak Dato Mufti yang bijaksana dan luas pengetahuan.

Terima Kasih.

 

 

Jawapan:

 

Waalaikumussalam wbt,

 

Saya melihat di sini adab meraikan tetamu dan kerja asasi selaku penjawat awam jangan terabai. Dalam masa yang sama, kepentingan mengadakan tazkirah atau sebarang aktivit pengisian rohani jangan dilecehkan. Masing-masing memiliki keutamaan tersendiri.

Sebagai cadangan, saya memberi contoh. Encik Ali sebagai seorang penjawat awam boleh sahaja memberhentikan bacaan Yasin secara waqaf yang sempurna untuk melayan pelanggan, kemudian menyambung bacaan tersebut sehingga selesai. Cara kedua, para pekerja boleh berpakat menyusun masa bagi menjalankan tugas dan mengikuti tazkirah secara bergilir. Kreatif dalam penyusunan masa dan peranan seumpama ini tersangat penting khususnya jika melihatkan suasana agensi yang sibuk.

Saya juga mencadangkan agar pengisian rohani tersebut jangan terlalu panjang masanya. Cukup 30 minit sahaja. Pengisiannya juga perlu menekan konsep amanah, manusia sebagai khalifah, motivasi dan semangat untuk berkhidmat, kepentingan  mendekatkan diri dengan Allah SWT, dan peringatan berkenaan kesilapan-kesilapan yang dilakukan ketika bekerja.

Natijahnya, sesi pengisian rohani yang ringkas tetapi padat dan tepat bukan sahaja memberi kesan kepada para pekerja yang mendengar, malah boleh menjadi model kepada agensi-agensi lain dan metod dakwah bil hal (dakwah dengan sikap) kepada para pelanggan yang melihat.

 

Wallahua`lam.