SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Apakah hukum makan ulat daripada sarang tebuan?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Hukum memakan ulat dalam mazhab Syafie adalah haram melainkan jika ulat tersebut tidak dapat dielakkan. Contoh kes-kes yang dimaafkan ialah ulat yang terhasil daripada keju, cuka dan buah-buahan. Ini kerana ulat-ulat berkenaan lahir daripada bahan-bahan suci tersebut. Sekalipun begitu, yang dimaafkan hanyalah jika dimakan bersama bahan-bahan suci tersebut dan bukannya dimakan secara asing. Misalnya ulat keju dimakan dengan keju, ulat cuka dimakan dengan cuka dan ulat buah dimakan dengan buah. Ada pun jika diasingkan ulat daripada buah misalnya, maka haram memakan.
Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (9/15)
Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari:
“Bahawasanya telah dinaskan oleh ulama atas bahawasanya tiap-tiap ulat, dan jika ada ia suci pada ketika hidupnya sekalipun, haram memakan dia.”
Rujuk Sabil al-Muhtadin (1/38)
Kami berpendapat bahawa jika ulat berkenan dimakan bersama madu yang diambil daripada sarang tebuan itu mata hukumnya adalah harus. Ini kerana dikiaskan madu itu dengan buah, keju dan cuka kerana lahirnya ulat itu bersama madu. Sebaliknya jika sengaja diasingkan ulat daripada sarang tebuan terbabit, lalu dimakan asing maka haram hukumnya. Ini kerana para ulama mengkategorikan secara umum serangga dan seumpamanya dengan sebagai mustakhbitsah (perkara yang jijik) yang tidak makan orang secara ma’ruf. Allah berfirman:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: Baginda (Rasulullah SAW) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.
Surah al-A’raf, (7/157)
Begitu juga haram hukumnya memakan ulat berkenaan sekalipun dengan madu, jika terdapat racun, bisa atau apa-apa yang boleh memudaratkan tubuh manusia dengan memakannya. Firman Allah Taala:
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
Surah al-Baqarah, (2:195)
Rasulullah SAW bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: Tidak boleh mendatangkan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan mudarat yang lain.
Hadis riwayat Imam Ibn Majah (no. 2340) dalam al-Sunan
Kesimpulannya, hendaklah dipastikan mudarat dan kebaikan yang datang daripada memakan ulat tebuan sebelum memakannya.
Wallahua’lam.