اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #687: HAIWAN-HAIWAN YANG HARAM UNTUK DIMAKAN DI DALAM ISLAM

SOALAN

Saya ingin bertanya berkaitan hukum haiwan berkuku, bertaring dan berparuh. Saya difahamkan binatang yang mencari makan begini diharamkan untuk dimakan seperti kucing, harimau dan sebagainya. Namun ayam dan itik juga memiliki ciri-ciri di atas, namun dihalalkan. Mohon penjelasan.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Memakan makanan yang halal lagi baik adalah satu tuntutan di dalam agama Islam. firman Allah SWT:

 

وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik.”

(Surah al-Maidah : 88)

 

Demikian juga firman Allah SWT berikut:

 

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”

(Surah al-A’raf : 157)

 

Menurut al-Maraghi (الطَّيِّبَاتِ) ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala penerangan bagi perkataan (الْخَبَائِثَ) bermaksud melarang daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 5/2420)

Maksud baik-baik ialah perkara yang disukai dan diingini oleh jiwa manusia yang bersih. Berdasarkan ayat tersebut, terdapat tiga prinsip untuk menentukan halal atau haramnya makanan, seperti berikut:

 

Prinsip Pertama: Semua binatang yang dianggap elok oleh orang Arab semasa hidup senang dan pada zaman Rasulullah SAW adalah halal.(Rujuk Kitab al-Fiqh al-Manhaji, 1/497 dan al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/557)

 

Contoh kepada haiwan yang dinyatakan seperti di atas ialah :

 

  1. Semua jenis ikan yang hidup di dalam laut walau apa pun namanya. Ini kerana binatang tersebut dianggap elok oleh orang Arab.
  2. Binatang ternakan (الأنعام), iaitu unta, lembu, biri-biri, kambing, kuda, seladang,

 

Prinsip Kedua: Semua binatang buas yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa adalah haram.

  1. Binatang tersebut seperti anjing, babi, serigala, beruang, kucing, ibn awi (ابن آوي), iaitu sejenis binatang yang besar sedikit daripada musang dan lebih kecil daripada anjing dan kukunya panjang. Selain itu, gajah, singa, harimau, kera dan seumpamanya haram dimakan. (Rujuk Kitab al-Fiqh al-Manhaji, 1/499)
  2. Burung yang haram dimakan ialah yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan, seperti burung hering (النسر), semua jenis burung helang, iaitu saqr (الصقر), baz (الباز), syahin(الشاهين) dan burung rajawali (العقاب).

 

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

 

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya : “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)

 

Prinsip Ketiga: Semua  binatang yang disunatkan bunuh adalah haram. Contohnya, ular, kala jengking, gagak, helang, tikus dan semua binatang yang memudharatkan. Binatang tersebut dan seumpamanya adalah haram dimakan sama ada dianggap elok oleh orang Arab ataupun tidak. Ini kerana hadith telah menghukumkannya sunat dibunuh dan kebanyakannya pula menjijikkan orang Arab. (Rujuk Kitab al-Fiqh al-Manhaji, 1/500)

 

Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

 

خَمْسٌ مِنَ الدَّوَابِّ كُلُّهُنَّ فاَسِقٌ، يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ: الغُرَابُ، وَالْحِدَأةُ، وَالعَقْرَبُ، وَالفَأْرَةُ، وَالْكَلبُ العَقُورُ

Maksudnya: “Kesemua lima jenis binatang adalah fasik, yang boleh dibunuh walaupun di Tanah Haram, iaitu gagak, helang, kala jengking, tikus, dan anjing ganas.

Riwayat al-Bukhari (1732) dan Muslim (1198)

 

KESIMPULAN

Melihat kepada persoalan di atas, Allah SWT memerintahkan hambanya untuk mencari dan memakan rezeki yang halal serta baik. Justeru, para ulama telah mendatangkan beberapa dhawabit yang boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada seluruh umat Islam dalam mengaplikasikan perintah Allah SWT ini dalam kehidupan seharian. Haiwan seperti ikan dan binatang ternakan yang dianggap baik oleh bangsa Arab adalah dihalalkan kepada umat Islam manakala semua binatang buas yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa adalah haram. Selain itu, semua  binatang yang disunatkan bunuh adalah haram untuk dimakan oleh umat Islam.

 

Oleh itu, sebagai umat Islam yang patuh terhadap penciptanya, wajarlah kepada kita untuk mengikuti dhawabit yang telah digariskan bagi memudahkan dalam mengikut perintah Allah seperti di atas.

Wallahua’lam.