اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #755: HUKUM MEMANJANGKAN QUNUT DI DALAM WITIR

 

 

 

Soalan: Apakah hukum imam memanjangkan doa qunut di dalam Solat Witir?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Hasan bin Ali RA di dalam Jami’ al-Tirmizi dan juga di dalam Sunan Abi Daud, daripada al-Hasan bin Ali RA:

 

عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الوِتْرِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ...

Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengajarku beberapa perkataan untuk aku sebut di dalam witir: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu…” [Riwayat al-Tirmizi (464)][Hadith ini hasan menurut al-Tirmizi]

 

Di dalam mazhab al-Syafie, disunatkan kepada imam atau orang yang solat bersendirian untuk membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat sunat Witir dan ia dibaca pada 15 malam terakhir bulan Ramadhan. [Lihat: al-Muktamad, 1/309]

 

Berdasarkan soalan di atas, doa qunut yang dibaca selepas daripada bangun daripada ruku’ pada rakaat terakhir Witir tidak disyaratkan untuk membaca doa-doa tertentu, bahkan adalah lebih baik jika seseorang itu membaca doa sepertimana yang terdapat di dalam sunnah Nabi SAW. Antaranya yang diriwayatkan oleh al-Hasan RA cucu Rasulullah SAW.

 

Adapun pada perkara memanjangkan bacaan qunut, jika dia solat secara bersendirian maka tidak menjadi masalah untuknya memanjangkan bacaan doa tersebut. Namun, jika dia seorang imam maka dia tidak boleh memudharatkan orang yang solat dibelakangnya sekiranya dia memanjangkan bacaan doa tersebut. Ini kerana, terdapat sebuah hadith yang menuntut para imam untuk tidak memberatkan (memanjangkan) solat mereka kerana orang yang solat di belakangnya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Antaranya sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِلنَّاسِ، فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ مِنْهُمُ الضَّعِيفَ وَالسَّقِيمَ وَالكَبِيرَ، وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِنَفْسِهِ فَلْيُطَوِّلْ مَا شَاءَ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu solat bersama orang ramai (menjadi Imam), maka hendaklah dia meringankan kerana ada daripada kalangan mereka orang yang sakit, lemah dan orang tua. Adapun, apabila dia bersolat seorang diri, maka panjangkanlah bacaan sepanjang mana yang dia kehendaki.” [Riwayat al-Bukhari (703)]

 

Selain itu juga, memanjangkan rukun yang pendek di dalam solat merupakan di antara perkara yang membatalkan solat. Antara rukun pendek adalah I’tidal (bangun daripada ruku’) dan doa qunut ini dibaca ketika I’tidal. Disyaratkan agar orang yang solat tidak memanjangkan I’tidalnya selepas daripada ruku’ dengan pemanjangan yang ketara iaitu tidak melebihi kadar bacaan al-Fatihah. Ini kerana, I’tidal merupakan rukun yang pendek, maka tidak dibolehkan untuk memanjangkannya melainkan pada qunut dan solat Tasbih. [Lihat: al-Muktamad, 273/1]

 

Tambahan pula, Imam al-Nawawi menukilkan pandangan ashab al-Khurasan bahawa I’tidal daripada ruku’ merupakan rukun yang pendek serta dituntut agar diringankan (dipendekkan) rukun tersebut. Jika dia memanjangkan dengan sengaja seperti diam (diam yang panjang), membaca qunut yang tidak disyariatkan (tidak warid daripada Nabi SAW) atau dengan zikir yang lain, maka ketiga wajah ini yang paling sahihnya di sisi Imam al-Haramain dan ia juga diputuskan oleh al-Baghawi bahawa perbuatan ini membatalkan solatnya  melainkan apa yang warid (datang) dalam syariat. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 126/4]

 

Penutup

Kesimpulannya, kami menasihatkan agar para imam sebaiknya tidak memanjangkan bacaan qunut kerana keluar daripada khilaf sebahagian ulama’ yang megatakan terbatalnya solat dan ia juga mungkin akan menimbulkan kesusahan atau mudharat terhadap makmum. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan kita sepanjang bulan yang mulia ini. Amin.

 

Wallahua'lam