اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #759: ADAKAH WAJIB KAFFARAH JIKA BERSETUBUH KETIKA PUASA GANTI RAMADHAN

Soalan:

Saya telah menyetubuhi isteri sewaktu sedang berpuasa qadha Ramadhan. Adakah saya dan isteri wajib membayar kaffarah?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Puasa wajib samaada puasa Ramadhan, puasa nazar, puasa qadha, puasa kaffarah atau puasa wajib lainnya, tidak boleh dibatalkan begitu sahaja melainkan jika ada keuzuran seperti sakit dan permusafiran.

Ibnu Qudamah mengatakan bahawa sesiapa yang telah memulakan puasa wajib seperti qadha Ramadhan, puasa nazar hari tertentu atau nazar mutlak, atau puasa kerana kafarah, dia tidak boleh membatalkannya. Hal ini kerana sesuatu yang statusnya wajib ain, perlu dilakukan. Sementara sesuatu yang bukan wajib ain, ia menjadi wajib ain jika telah dilakukan, sehingga statusnya sama dengan wajib ain. (Al-Mughni, 3/160 – 161)

Hal ini berbeza dengan puasa sunat, dimana seseorang bebas untuk meneruskan puasa atau berbuka. Sabda Rasulullah s.a.w:

الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ

Maksudnya: Seseorang yang berpuasa sunat, jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.

(Hadith Riwayat Tirmizi: 732)

Adapun berkenaan persoalan di atas, maka jumhur ulama kecuali sebahagian kecil seperti Qatadah telah bersepakat bahawa tidak wajib kaffarah bagi sesiapa yang membatalkan puasa selain daripada puasa wajib di bulan Ramadhan, samada dengan makan dan minum atau bersetubuh. Ini merupakan pandangan Imam Nawawi, Ibn Qudamah dan Ibn Rusyd. (Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/345; Al-Mughni, 3/139-139; Bidayatul Mujtahid, 2/69)

Maka dalam kes ini, wajib ke atas mereka yang membatalkan puasa qadha Ramadhan untuk mengulangi semula puasa ganti tersebut, bertaubat kepada Allah SWT dan berazam untuk tidak mengulangi kesalahan itu.

Wallahu a’lam.