اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #800 : HUKUM BERSALAMAN DENGAN IBU MERTUA AYAH

 

Soalan:

Ayah saya berkahwin dua. Apakah hukum saya (lelaki) bersalaman dengan ibu mertua ayah saya? Adakah saya jadi mahram juga dengan ibu mertua ayah saya? Syukran ustaz.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibu-ibu mertua kepada ayah adalah golongan wanita yang tidak diharamkan kita berkahwin dengan kita, melainkan mereka adalah nenek kandung kita sebelah ibu. Ini kerana mereka tidak termasuk dalam golongan wanita yang diharamkan berkahwin dengannya. Firman Allah Taala:

وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا ﴿٢٢﴾ حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٢٣﴾

Maksudnya: Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nisa’: 22-23)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam Raudhah al-Talibin (7/112):

لَا تَحْرُمُ بِنْتُ زَوْجِ الْأُمِّ، وَلَا أُمُّهُ، وَلَا بِنْتُ زَوْجِ الْبِنْتِ، وَلَا أُمُّهُ، وَلَا أُمُّ زَوْجَةِ الْأَبِ

Maksudnya: “Tidak menjadi mahram akan anak kepada suami ibu (adik beradik tiri), tidak juga ibunya (ibu bapa tiri), tidak juga anak perempuan kepada suami anak perempuan kita (yakni cucu tiri), dan tiada juga ibunya (yakni ibu kepada cucu tiri yang merupakan isteri kepada anak lelaki kita), dan tidak juga ibu isteri kepada bapa (yakni ibu kepada ibu tiri).”

Ini kerana ibu mertua kepada ayah tidak termasuk dalam kategori wanita yang diharamkan kepada kita dalam ayat tersebut. Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/291) oleh Imam al-Khatib al-Syirbini.

Justeru, ibu mertua kepada ayah adalah wanita ajnabi yang perlu kita menjaga batas-batas pergaulan termasuklah tidak bersalam dengannya, kecuali dengan berlapik jika aman daripada fitnah.  Rujuk Nihayah al-Muhtaj (3/188) oleh Imam Syamsuddin al-Ramli. Wallahua’lam.

 Rujuk juga: AL-KAFI #500: BERSALAMAN DENGAN DATUK MERTUA TIRIAL-KAFI #6 : HUKUM MENANTU PEREMPUAN TIRI BERSALAMAN DENGAN BAPA MERTUA TIRIAL-KAFI #406 : AURAT ANTARA BEKAS MERTUA DAN MENANTUAL-KAFI #722: BATAS AURAT DAN PERGAULAN ANTARA PEREMPUAN DAN BAPA TIRINYAAL-KAFI #655 : HARUS BERKAHWIN ANTARA ADIK BERADIK TIRI, LAIN IBU DAN LAIN AYAH