اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #808 : TIDAK MENYERTU KERANA RAGU

Soalan :

Assalamualaikum ustaz.Di sini saya ingin mengutarakan satu soalan. Beberapa tahun lepas, saya dan sekumpulan rakan menyertai sebuah program di sebuah kem. Ketika selesai salah satu slot, kami pulang ke khemah dan jiran kami di khemah sebelah sedang menyertu khemah mereka dengan kerana dimasuki anjing. Walau bagaimanapun, kami tidak yakin yakin dengan apa yang dikatakan olehnya kerana kami sendiri tidak melihat anjing tersebut masuk ke dalam khemah. Kawasan sekitar khemah memang agak berlecak akibat hujan namun tiada langsung kesan tapak kaki anjing di khemah kami dan juga tiada kesan barang-barang kami diganggu. Kami mengambil keputusan untuk tidak menyertu khemah dan barang-barang kami. Jadi persoalan saya, adakah betul tindakan kami tidak menyertu disebabkan kami tidak melihat sendiri anjing masuk ke dalam khemah kami?

 

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Anjing adalah di antara najis mughallazah iaitu najis berat. Sama ada yang digunakan untuk berburu atau tidak, yang kecil atau yang besar. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. Kata beliau :

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي دَارَ قَوْمٍ مِنَ الأَنْصَارِ وَدُونَهُمْ دَارٌ ، قَالَ : فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، سُبْحَانَ اللهِ تَأْتِي دَارَ فُلاَنٍ ، وَلاَ تَأْتِي دَارَنَا ، فقَالَ : فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَنَّ فِي دَارِكُمْ كَلْبًا ، قَالُوا : فَإِنَّ فِي دَارِهِمْ سِنَّوْرًا ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ السِّنَّوْرَ سَبُعٌ.

Maksudnya :” Nabi saw pernah masuk ke rumah seorang Ansar dan Nabi juga pernah tidak masuk ke rumah seorang Ansar yang lain. Abu Hurairah berkata : Perbuatan tersebut menyebabkan mereka terasa. Mereka berkata : Wahai Rasulullah, Maha Suci Allah, engkau masuk ke rumah fulan dan tidak masuk ke rumah kami. Nabi saw bersabda : Ini kerana di rumah kamu ada anjing. Mereka berkata : Di rumah mereka adalah sinnur (sejenis kucing yang disebut juga felidae). Maka Nabi saw menjawab : Sesungguhnya sinnur itu adalah haiwan liar.”

Riwayat Imam Ahmad (8324) di dalam Musnad

Hadis ini menunjukkan bahawa anjing adalah najis. Kata Imam Nawawi :

“Di dalam mazhab kami, keseluruhan bahagian (tubuh) anjing adalah najis, Sama ada yang diajar atau selainya, yang kecil atau yang besar. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh al-Auza’I, Abu Hanifah ,Ahmad, Ishak, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid.”

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab ( 2/585)

Jika satu tempat dipijak atau dijilat anjing, maka perlu membasuhnya sebanyak 7 kali salah satu basuhan tersebut adalah dengan air tanah. Ini berdasarkan hadis :

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya :” Bersihnya bekas kalian apabila dijilat anjing adalah dengan basuh (bekas jilatan tersebut) sebanyak 7 kali. Salah satu (basuhan) adalah dengan tanah.”

Riwayat Muslim (420)

Bagi persoalan yang dikemukakan, tindakan tuan yang tidak menyertu khemah disebabkan oleh ragu-ragu sama ada anjing masuk atau tidak, maka kaedah yang digariskan adalah :

الأَصْلُ بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

“Asal(bagi satu-satu hukum) adalah mengekalkannya seperti mana sebelum”

Ini bermakna bahawa tempat tersebut kekal suci dan tidak perlu disertu. Tambahan pula, tiada bukti atau apa-apa kesan yang menunjukkan anjing tersebut masuk ke dalam khemah seperti tiada kesan tapak kaki, tiada bekas lecak dan barang yang tidak diusik.

Wallahu’alam.