Soalan:
Saya mahu bertanya, apakah hukum bekerja di kilang membuat mesin untuk penghasilan tobacco / rokok?
Jawapan:
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah haram, sebagaimana majoriti ulama’ dan ahli ilmu seperti Dr. Yusof al-Qaradhawi.
Kami juga telah menjelaskan secara panjang lebar akan dalil-dalil pengharaman rokok dalam artikel kami bertajuk Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke- 20 : Kaedah “Asal Bagi Sesuatu Perkara Adalah Harus” Dan Kaitannya Dengan Hukum Merokok. [1]
Adapun hukum terlibat dengan industri yang mellibatkan rokok, maka hukumnya juga haram berdasarkan dalil dan hujah berikut:
- Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Surah al-Ma’idah (2)
- Sebarang usaha ke arah penghasilan dan pewujudan perkara-perkara yang jelas keharamannya seperti penghasilan rokok dan arak, maka hukumnya adalah haram. Ini berdasarkan qaedah yang masyhur iaitu الإعانة على المحرم محرمة (Kerjasama dalam perkara haram, hukumnya haram) dan ما أدى إلى الحرام فهو حرام (Apa yang membawa kepada haram maka ianya haram).
- Sabda Baginda SAW:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan orang lain”.
Sunan Ibn Majah (2341)
Rokok merupakan antara punca pelbagai penyakit dan ia telah terbukti secara saintifik. Sebarang usaha penghasilan rokok merupakan usaha ke arah memudaratkan umat manusia secara keseluruhannya.
Taqwa Membuka Pintu Rezeki
Kami menyedari dalam situasi ekonomi pada zaman sekarang, peluang pekerjaan agak sukar untuk diperoleh dan persaingan juga amat sengit. Namun demikian, Allah SWT juga menekankan bahawa taqwa kepada-Nya akan membuka pintu rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan dipermudah urusan:
وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ
Maksudnya: ...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.
Surah al-Thalaq (2-3)
مَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا
Maksudnya: Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.
Surah al-Thalaq (4)
Allah SWT juga berfirman akan keluasan bumi-Nya:
أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّـهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ
Maksudnya: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?"
Surah al-Nisaa’ (97)
Kesimpulan
Secara tuntasnya, hukum bekerja di kilang rokok atau di kilang yang membuat mesin untuk penghasilan rokok, hukumnya haram. Ini kerana apa yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga haram. Sesungguhnya rezeki Allah itu amat luas, dan Dia sentiasa menjamin rezeki hamba-hamba-Nya di bumi ini, maka carilah pekerjaan yang halal lagi baik bagi membina kehidupan berpandukan syari’at Islam.
Bagi sesiapa yang telah terlibat dengan pekerjaan demikian, segeralah berusaha seupaya mungkin untuk mencari pekerjaan lain yang halal dan diberkati. Sementara menunggu pekerjaan lain, dia boleh kekal dengan pekerjaan asalnya itu, lebih-lebih lagi jika dia mempunyai tanggungan. Namun hendaklah dia membenci pekerjaan itu dengan hatinya, kerana itu adalah selemah-lemah iman sebagaimana tsabit dalam hadith:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ
Maksudnya: Barangsiapa antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan kuasa; jika tidak mampu hendaklah dengan lisan; dan jika tidak mampu hendaklah membenci dalam hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.
Sahih Muslim (49)
Wallahu a’lam.
[1] Rujuk http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-usul-fiqh/2326-irsyad-usul-al-fiqh-siri-ke-20-kaedah-asal-bagi-sesuatu-perkara-adalah-harus-dan-kaitannya-dengan-hukum-merokok?highlight=WyJyb2tvayJd