اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #829 : APA ITU ISTIKHARAH?

Soalan :

Assalamualaikum wbt. Apa itu solat solat istikharah?.Mohon pencerahan dari ustaz.

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Asal bagi perkataan istikharah ialah daripada perkataan خير yang membawa makna kebaikan. Penambahan huruf Alif,Sin dan Ta’ menambah lagi maknanya. استخار  membawa makna memohon pilihan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Munzir di dalam Lisan al-Arab.

Rujuk Lisan al-Arab (4/264)

Berkenaan dengan solat istikharah, ia adalah di antara sunnah yang diajarkan oleh Nabi saw. Ini berdasarkan satu riwayat daripada Jabir Bin Abdullah :

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ ، يَقُولُ : إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ ، ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي ، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ، قَالَ : وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.

 

Maksudnya :” Rasulullah saw pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda : Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah : Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda : sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda : Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.”

Riwayat al-Tirmizi (480),Ibnu Majah (1383).Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sohih ghorib

Sheikh Abdurrahman al-Mubarakfuri menyatakan yang dimaksudkan dengan istikharah di dalam hadis ini ialah solat istikharah. Kata beliau lagi bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa tidak harus bagi seseorang memperkecilkan apa-apa perkara walaupun ianya nampak remeh.Lalu dia meninggalkan istikharah. Berkemungkinan, perkara yang diremehkannya itu nanti pada masa akan datang menjadi mudarat baginya.

Rujuk Tuhfah al-Ahwazi Syarah Jami’ al-Tirmizi (2/482)

Ini membawa erti bahawa solat istikharah adalah satu cara memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapai. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi saw kepada umatnya.

Hukum solat isktikharah adalah sunat. Bagi sesiapa yang ada hajat atau ingin memohon petunjuk tentang satu perkara yang ingin dilakukannya maka disunatkan kepadanya solat dua rakaat dan berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi saw sepertimana yang terkandung di dalam hadis riwayat Jabir. Sehinggakan al-Aini di dalam Umdah al-Qari menyatakan jika ingin memilih tali kasut pun perlu untuk memohon petunjuk Allah melalui solat istikharah.

Imam al-Nawawi menyatakan kaifiatnya adalah seperti berikut :

  1. Rakaat yang pertama selepas membaca al-Fatihah harus membaca surah al-Kafirun
  2. Rakaat yang kedua selepas membaca al-Fatihah harus membaca surah al-Ikhlas.
  3. Berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi ataupun doa-doa yang sesuai.

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/54)

Wallahu’alam.