اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #830 : HUKUM MENYENTUH RUBAH ATAU SERIGALA

Soalan

Adakah rubah atau serigala dihukumkan najis seperti anjing?

Jawapan

Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam keatas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, seperti yang kita maklum anjing (الكلب) merupakan Najis Mughallazoh (Najis Berat) sepertimana yang digariskan di dalam Islam, dan cara menyucikannya mesti menggunakan 7 kali basuhan dan satu basuhan dengan air tanah seperti sabda Nabi S.A.W:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.

Riwayat Muslim (279)

Dan di dalam Kitab Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri (1/201) menerangkan bahawa:

“Setiap haiwan yang hidup adalah bersih melainkan anjing dan babi serta apa yang dilahirkan oleh kedua-duanya (sekalipun ia anjing yang dilatih)”.

Begitu juga apa yang terdapat di dalam Kitab Mughni Muhtaj (1/226) menceritakan:

الْحَيَوَانُ كُلُّهُ طَاهِرٌ لِمَا مَرَّ إلَّا مَا اسْتَثْنَاهُ الشَّارِعُ أَيْضًا

Setiap haiwan adalah suci melainkan apa yang didatangkan syarak akan kenajisannya (anjing dan babi serta keturunannya).

Berkenaan dengan kategori serigala (الذئب) dan rubah(الثعلب), ia tidak termasuk di dalam golongan anjing (الكلب) dan juga keturunannya sepertimana yang dinyatakan oleh Dar Ifta Misriah:

الكلب هو: الحيوان المعروف النباح، فكل ما نبح وإن صغر حجمه (الكلب الرومي) أو كبر حجمه، وتغير شكله من أنواع ذلك الحيوان فهو كلب، وإن ضعف نباحه، وأمَّا ما لا ينبح وإن أشبه الكلب تماما (الذئب-الثعلب) فليس بكلب، ولا يشاركه نفس الأحكام

Maksudnya: Anjing merupakan haiwan yang menyalak, Bagi setiap haiwan yang menyalak sama ada bersaiz kecil seperti (anjing Griffon Lulu) atau bersaiz besar. Dan jika golongan anjing ini berubah akan rupanya (sebab kacukan dan sebagainya) sekalipun maka ia tetap dari kategori anjing. Dan haiwan yang tidak menyalak, sekalipun rupanya seperti anjing (seperti Serigala dan Rubah) maka ia bukanlah dari katagori Anjing dan tidak berkongsi akan hukumnya.

 

Kesimpulan:

Apabila kita perhatikan dalil dan pandangan ulama diatas, dapat kita simpulkan bahawa hukum bagi serigala dan rubah adalah tidak sama seperti hukum anjing serta keturunannya kerana:

  • Tiada dalil yang khusus yang menyatakan bahawa serigala dan rubah itu najis sepertimana anjing.
  • Serigala dan rubah bukanlah kacukan dan keturunan daripada anjing
  • Nas hanya menyebut anjing dan jenis-jenisnya sedangkan rubah tidak termasuk dalam kalangan anjing.

Oleh itu dapat kita simpulkan bahawa najis dan bangkai serigala dan rubah ini tergolong di dalam Najis Mutawassithah (Najis Sederhana) yang hanya perlu menghilangkannya (iaitu sifat najis) dengan menggunakan air Mutlak sahaja. Semoga dengan penjelasan ini dapat memberi kita sedikit kefahaman dalam memahami agama Islam dengan lebih baik.