اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #832: ADAKAH SYAHID JIKA MENINGGAL DUNIA DI MADINAH?

Soalan

Adakah orang yang mati di Madinah dikira sebagai mati syahid?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan, terdapat nas yang menyebut berkenaan kelebihan serta keutamaan mati di Madinah. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَلْيَفْعَلْ فَإِنِّي أَشْهَدُ لِمَنْ مَاتَ بِهَا

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu mampu meninggal dunia di Kota Madinah hendakah dia melakukannya. Sesungguhnya aku akan bersaksi bagi sesiapa yang meninggal di Kota Madinah.”

Riwayat Ibnu Majah (3112)

Dalam lafaz yang lain, daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ اسْتَطَاعَ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَلْيَمُتْ بِهَا ؛ فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ يَمُوتُ بِهَا

Maksudnya: Siapa yang berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah, maka meninggallah di sana kerana aku akan memberi syafa’at kepada mereka yang mati di sana.”

Riwayat Ahmad (5952), al-Tirmizi (3917)
dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4185)

 

Maksud  “meninggal dunia di Madinah” (أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ), ialah tinggal di sana sehingga meninggal dunia di Madinah. Perkataan “meninggallah di sana” (فَلْيَمُتْ بِهَا), bermaksud menetaplah di sana sehingga meninggal dan ia merupakan galakan dan dorongan supaya menetap di sana. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/286)

Imam al-Tibi dinukilkan berkata: “Arahan supaya mati di Madinah itu merupakan perkara di luar kemampuan manusia bahkan ia kembali kepada Allah SWT. Akan tetapi, makna hadis ini adalah perintah untuk tinggal menetap di sana dan tidak meninggalkan kota tersebut. Sehinggalah ia menjadi sebab untuk dapat mati di dalamnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwadzi, 10/286)

Saidina Umar R.A juga pernah berdoa:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah aku syahid di jalan-Mu. Matikanlah aku di negeri Rasul-Mu SAW (Madinah).

Riwayat al-Bukhari (1890)

Berdasarkan doa Saidina Umar ini, Imam al-Nawawi berpendapat bahawa memohon doa agar dimatikan di tempat yang mulia adalah digalakkan. (Lihat al-Majmu’, 5/118)

Berdasarkan nas di atas, tidaklah dinyatakan bahawa meninggal dunia sebagai mati syahid tetapi mendapat keistimewaan pada hari akhirat kelak dengan syafa’at Rasulullah SAW. Justeru, apa yang berlaku kepada Saidina Umar R.A adalah dua kebaikan:

Pertamanya, kematiannya dalam keadaan syahid dan dengan husnul khatimah kerana dibunuh oleh musuh Allah dan dalam keadaan bersiap sedia menuju kepada-Nya.

Keduanya, Saidina Umar meninggal dunia di Kota Madinah, tempat yang Nabi sabdakan untuk mendapat syafaatnya. Justeru, kami tegaskan di sini bahawa mati di Kota Suci Madinah, bukanlah bermakna mati syahid, tetapi mendapat syafa’at daripada Nabi SAW pada hari akhirat kelak.

Semoga Allah kurniakan kepada kita mati dalam keadaan husnul khatimah. Amin.