اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #848 : HUKUM MENYAPU DAHI DAN MUKA SELEPAS SOLAT

af848 compressed

Soalan:

Adakah terdapat hadis tentang hukum menyapu dahi dan muka selepas solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Amalan ini disebut dalam kitab-kita ulama mazhab al-Syafie, bahawa apabila seseorang itu selesai solat, disunatkan baginya untuk menyapu dahi dan wajahnya sambil membaca doa:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (هُوَ) الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ

Maksudnya: “Aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah! Aku mohon agar Engkau buangkan dari diriku kegelisahan dan kesedihan.”

Antaranya:

  • Al-Adzkar (no.193) oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah, daripada Ibn Sunni, daripada Malik bin Anas RA.
  • I`anah al-Tolibin (1/215) oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati Rahimahullah, daripada Ibn Sunni.
  • Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 99) oleh Syeikh Abdurrahman Ba`lawi, daripada Ibn Mansur.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Sunni dalam `Amal al-Yaum wa al-Lailah (no.122) dan Imam al-Tabarani dalam al-Mu`jam al-Awsat (no.3178). Hadis ini disepakati kedaifan oleh para ulama, antaranya seperti yang dinukilan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Nataij al-Afkar (2/285), namun sebahagian ulama menilainya sebagai daif jiddan (lemah yang bersangatan dan maudhu’ (palsu). Lihat al-`Ajalah al-Raghib (no.113) oleh Syeikh Salim Eid al-Hilali.

Kami cenderung kepada pendapat bahawa amalan ini tidak bermasalah untuk diamalkan seperti mana yang difatwakan oleh para ulama mazhab al-Syafie. Walaupun begitu, barangsiapa yang meninggalkan kerana berhati-hati, maka hukumnya tidak makruh dan tidak wajar dijadikan polemik.

Wallahua’lam.