Soalan
Adakah diwajibkan zakat fitrah ke atas banduan?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Zakat fitrah ialah kadar yang tertentu daripada harta yang wajib dikeluarkan oleh setiap mukallaf bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya setelah matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/553)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.A, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mewajibkan Zakat Fitrah, iaitu segantang tamar atau segantang gandum (pada bulan Ramadhan) atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan.”
Riwayat al-Bukhari (1433) dan Muslim (984)
Syarat Mewajibkan Zakat Fitrah
Zakat fitrah diwajibkan dengan 3 syarat:
Pertama: Islam.
Zakat fitrah diwajibkan atas orang Islam sahaja. Tidak wajib zakat fitrah atas orang kafir sebagai kewajipan yang dituntut di dunia.
Kedua: Terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan.
Sesiapa yang meninggal dunia selepas matahari terbenam pada hari tersebut, wajib zakat fitrah atasnya sama ada meninggal dunia setelah dia mampu mengeluarkannya atau sebelumnya. Namun tidak wajib zakat atas bayi yang baru dilahirkan selepas matahari terbenam, dan sesiapa sahaja yang meninggal dunia sebelum matahari terbenam. Sementara bayi yang wajib dilahirkan sebelum matahari terbenam wajib dikeluarkan zakat fitrahnya.
Ketiga: Memiliki harta yang melebihi keperluan untuk makan bagi diri dan tanggungannya pada siang dan malam raya, serta keperluan tempat tinggal dan khadam jika perlu.
Seseorang tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah jika hartanya tidak mencukupi untuk perbelanjaan pada malam dan siang hari raya bagi diri dan tanggungannya.
Bagaimanapun sekiranya dia mempunyai harta yang mencukupi untuk perbelanjaan pada siang dan malam raya sahaja dan tidak pada hari-hari berikutnya, maka zakat fitrah tetap wajib atasnya tanpa mengambil kira perbelanjaan pada hari-hari selepas raya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/553-554)
Adakah Banduan Diwajibkan Keluar Zakat Fitrah?
Dalam isu di atas, apabila cukup syarat sebagai seorang Islam dan juga mempunyai harta yang mencukupi, maka zakat fitrah adalah diwajibkan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-60 turut telah membincangkan isu zakat fitrah ke atas orang tahanan dan banduan Islam di institusi penjara.
Muzakarah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah ke atas orang tahanan dan banduan Islam di Institusi Penjara adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu:
- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
- Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
- Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
Walaubagaimanapun, kaedah untuk menunaikan pembayaran zakat tersebut perlulah dirujuk kepada pihak jabatan penjara.
Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam Islam dan memudahkannya dalam melaksanakan rukun Islam yang lima termasuk zakat.