Soalan
Assalamualaikum. Datuk Seri, saya ada dengar kisah semut bercakap ketika Nabi Sulaiman melaluinya dan doa Nabi Sulaiman selepas itu. Dalam surah apa dan ayat berapa serta boleh tolong tafsirkan pada kami ayat tersebut?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Allah SWT berfirman:
حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ ﴿١٨﴾ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".
(Surah al-Naml: 18-19)
Sayyid Qutb berkata: Angkatan bala tentera Nabi Sulaiman meneruskan perjalanannya dalam barisan yang teratur rapi. Barisan pertama bersambung dengan barisan terakhir. Mereka berjalan dengan saf-saf yang padu dan dengan langkah yang sama sehingga sampailah di sebuah lembah yang banyak semut sehingga dikenali lembah semut atau wadi al-naml. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 12/154)
Syeikh al-Maraghi berkata: Sehinggalah apabila mereka menghampiri Lembah Semut, salah seekor semut pun berkata. Menurut pemahaman Nabi Sulaiman AS, semut tersebut menyuruh anak buahnya masuk semula ke sarang mereka supaya tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman AS dengan bala tenteranya, kerana mereka menyedari situasi itu.
Ibn Kathir berkata: Semut tersebut takut sekiranya semut-semut lain dipijak oleh tapak-tapak kaki kuda. Maka ia memerintahkan mereka untuk masuk ke dalam sarang-sarang mereka. Perkara tersebut lalu difahami oleh Nabi Sulaiman AS. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/207)
Nabi Sulaiman tersenyum kagum terhadap keprihatinan dan peringatan semut itu kepada kawan-kawannya, serta adanya hidayah yang Allah SWT berikan kepada semut itu. Baginda juga merasa gembira dengan anugerah khusus yang dimilikinya iaitu dapat memahami maksud bahasa semut itu.
Nabi Sulaiman pun berdoa:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
“Wahai Tuhanku! Ilhamkanlah aku agar tetap bersyukur dengan nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua-dua ibubapaku, untuk mengerjakan amalan yang Engkau sukai dan redai. Baginda memohon supaya diwafatkannya dalam keadaan berserah diri kepada-Nya dan dimasukkannya ke dalam golongan hamba-Nya yang soleh.
Sayyid Qutb berkata: Doa Nabi Sulaiman dimulakan dengan “رَبِّ” (“Wahai Tuhanku!). Di sini beliau menggunakan kata-kata seruan dari dekat dan secara langsung. Kemudian beliau memohon dengan “أَوْزِعْنِي” (Ilhamkanlah aku) atau tumpahkan diriku yakni kumpulkan seluruh diriku dan anggotaku, perasaanku, lidahku, hatiku, fikiranku, perkataanku, susunan perkataanku, amalanku dan tujuanku. Begitu juga seluruh daya tenagaku supaya seluruhnya ditumpukan “agar tetap bersyukur dengan nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua-dua ibubapaku.” Ungkapan ini membayangkan nikmat Allah yang telah mengharukan hati Nabi Sulaiman AS pada saat itu dan menggambarkan bentuk perasaan keterharuan, kekuatan tawajjuh dan rasa hatinya yang bergelora ketika beliau menyedari nikmat Allah dan limpah yang dikurniakan kepadanya dan kepada kedua ibubapanya. Beliau mengalami nikmat dan rahmat Allah itu dengan penuh perasaan lalu memohon seperti doa di atas.
Berdasarkan nas ini, kita mendapati ada dua jenis mukjizat dan bukannya satu iaitu mukjizat kefahaman Nabi Sulaiman AS yang memahami amaran semut kepada kaumnya dan mukjizat kefahaman semut bahawa ini adalah Nabi Sulaiman dan bala tenteranya. Mukjizat pertama merupakan ilmu pengetahuan mukjizat yang diajarkan Allah kepada Sulaiman sebagai seorang manusia dan nabi.
Oleh itu, mukjizat yang pertama ini lebih dekat dengan beliau dibandingkan dengan mukjizat yang kedua yang terdapat pada percakapan semut itu. Mungkin semut itu dapat menganggap bahawa makhluk itu adalah makhluk yang lebih besar. Mereka boleh membinasakan warga semut apabila mereka memijaknya. Mungkin juga semut itu dapat melarikan diri dari sesuatu bahaya dengan daya kefahaman yang dijadikan Allah dalam tabiatnya untuk memelihara hidupnya tetapi untuk memahami bahawa orang-orang ini adalah Nabi Sulaiman dan bala tenteranya tentulah merupakan satu kejadian istimewa yang luar biasa dan dapat dimasukkan ke dalam himpunan mukjizat dalam keadaan seperti ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 12/155-157)
Kesimpulannya menurut Syeikh al-Maraghi, seolah-olah Nabi Sulaiman AS bersabda: “Ilmu merupakan puncak pengharapanku dan aku telah pun mencapainya. Oleh sebab itu, tidak ada sesuatu yang aku mohon selain memohon taufik untuk aku mensyukurinya dengan mengerjakan amal salih yang Engkau redai dan memohon supaya Dia memasukkanku ke dalam golongan orang yang salih, seperti bapaku, para nabi dan yang lain
Kami nyatakan di sini peringatan dan pengajaran dari ayat di atas:
- Hasil penelitian ahli penyelidik, mereka berpendapat, kehidupan semut itu adalah ajaib terutama dalam menjalani urusan hariannya. Semut tersebut membuat tempat tinggal di dalam tanah, kemudian membina rumah-rumah yang terdiri daripada atap, ruang tengah dan bilik yang bertingkat-tingkat. Mereka seterusnya memenuhi tempat tinggal mereka dengan biji-bijian sebagai sumber makanan pada musim sejuk dan menyembunyikannya di kawasan paras yang tinggi bagi melindunginya daripada terkena air hujan.
- Ayat ini dapat menggugat akal untuk memerhatikan ketelitian semut tersebut ketika mengurus kehidupan dan kepimpinan yang baik seperti yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada semut. Kemudian semut itu pun berkata untuk mengumpulkan kawannya bagi menunjukkan bagaimana ia memimpin dan mengatur urusannya seperti yang dilakukan oleh seorang raja, dengan tugasnya mengatur dan memimpin seperti pemerintah yang memimpin rakyatnya.
- Menurut al-Quran, perkara itu supaya menjadi pengajaran kepada orang berakal, sehingga mereka dapat memahami keadaan makhluk ini; keadaan semut yang berjaya mengumpulkan kawannya untuk melarikan diri kerana adanya bahaya, seperti mengumpul mereka bertujuan untuk mencari sumber keperluan. Sehinggakan, umat yang mengatur urusannya tidak dapat menandingi seperti apa yang dilakukan oleh semut itu. Sesungguhnya umat tersebut sebenarnya umat yang jahil lagi sesat, bahkan lebih hina daripada serangga dan kutu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/5025)
Semoga Allah mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman serta diberikan taufik untuk mensyukuri-Nya dengan mengerjakan amalan-amalan soleh. Amin.